Teladani Budaya Janji Temu (Dating) Di Dubai…

Teladani Budaya Janji Temu (Dating) Di Dubai…

Teladani Budaya Janji Temu (Dating) Di Dubai…

Berjanji temu di Dubai adalah dibenarkan walaupun ia bukanlah kebiasaan. Ada syarat-syarat yang perlu diikuti bagi mereka yang hendak berjanji temu.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Berita
Kongsi artikel ini: 

 

 

Dunia yang kita diami ini luas dan unik dengan cara hidup masyarakat yang berbeza mengikut tempat. Bagi orang Islam di serata tempat, walaupun kita berpegang teguh dengan ajaran agama, namun budaya kita masih berbeza mengikut tradisi setempat dan sejarah masing-masing. Dalam konteks mencari jodoh, kita berkongsi satu budaya yang sama, iaitu budaya janji temu (dating). Jangan salah faham. Janji temu adalah dibenarkan dalam agama asalkan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kami tidak pula menggalakkan orang di luar sana untuk bercinta sehingga lupa batas agama. 

Apa yang menariknya adalah walaupun budaya janji temu ini wujud dalam kalangan orang Islam di seluruh dunia, namun budaya ini juga berlainan mengikut tempat. Sebagai contoh, di Malaysia sendiri tidak ada halangan untuk orang ramai berjanji temu. Cuma setiap daripada kita perlu ingat untuk tidak melakukan sebarang bentuk khalwat ketika bertemu dengan si dia. Bagaimana pula dengan budaya janji temu di tempat lain? Pasti ada yang tertanya-tanya kan? Untuk kali ini, kita akan melihat budaya janji temu di salah sebuah kota yang pesat membangun iaitu Dubai. 

Siapa yang tidak mengetahui tentang Dubai? Bandar ini terkenal dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan hab hiburan yang sungguh gah. Namun adakah bandar ini membenarkan urusan janji temu? Maklumlah, bandar ini berada di dalam sebuah negara Arab yang menekankan peraturan untuk lelaki dan perempuan bergaul. Peraturan-peraturan tersebut bukanlah bertujuan untuk menyusahkan sesiapa. Sebaliknya, ia berpandukan ajaran Islam supaya manusia tidak mudah terpengaruh untuk melakukan kemungkaran. 

Berjanji temu di Dubai adalah dibenarkan walaupun ia bukanlah kebiasaan. Ada syarat-syarat yang perlu diikuti bagi mereka yang hendak berjanji temu. Kalau kita melanggar sebarang syarat, silap-silap kita boleh disaman atau dipenjarakan. Contoh yang paling mudah adalah kita perlu menjaga tatasusila dan akhlak semasa berjanji temu di hadapan orang awam. Kalau seorang lelaki hendak menyapa seorang wanita Dubai, dia perlulah melakukannya dengan penuh berhemah. Lelaki tersebut tidak boleh terlalu mendesak atau ia sudah dikira sebagai satu bentuk gangguan awam. 

Untuk lebih mudah, sama seperti negara lain, Dubai juga membenarkan penduduknya untuk menggunakan portal cari jodoh ‘online’. Portal seperti ini bukan sahaja menjimatkan masa, malahan orang awam di Dubai juga boleh berkenalan dengan orang lain dalam keadaan yang lebih kondusif dan bersesuaian. Tambahan pula, portal sebegini memudahkan orang-orang luar yang menetap di Dubai untuk berkenalan dengan mana-mana individu asal Dubai yang mereka minati. Bukanlah mereka tidak boleh bertemu di dunia luar, tetapi berkomunikasi secara atas talian adalah lebih baik. 

Mungkin kerana Dubai adalah bandar kosmopolitan yang maju, sesetengah lelaki Dubai mementingkan kebendaan dan status apabila hendak mencari teman hidup. Ini bukan sahaja dilihat pada penduduk asal Dubai, malahan pada pendatang asing yang mendiami kota itu juga. Contohnya, mereka mengenakan pakaian yang mahal dan berjenama. Selain itu, mereka turut menggunakan jenama telefon pintar yang premium. Dengan kenyataan ini, kami tidak berniat untuk mengecilkan hati sebarang pihak. 

Satu lagi budaya di negara Arab adalah tiada majlis seperti parti yang boleh dianjurkan. Sebaliknya, kalau seseorang mahu berjanji temu, pilihan yang ada adalah seperti berkelah atau makan di restoran awam. Tetapi sekali lagi, batas pergaulan di Dubai adalah sangat ketat. Mereka yang hendak berjanji temu mesti memilih tempat awam yang dikunjungi oleh ramai orang pada satu masa. Selain itu, pertemuan itu perlulah dibuat dalam keadaan yang paling sopan agar tidak menimbulkan fitnah. 

Dalam meraikan hukum Islam, apabila pihak lelaki sudah mula menyukai si wanita, dia tidak akan berlengah untuk membawa wanita tersebut berjumpa dengan ibu bapanya. Ada yang baru berkenalan beberapa hari tetapi sudah ditemukan dengan ibu bapa lelaki. Hal ini kerana budaya mereka mementingkan restu ibu bapa dalam mencari jodoh, serupa dengan budaya Islam di Malaysia. Kalau hubungan tersebut sudah serius, maka seterusnya bapa kepada si lelaki akan bertemu dengan bapa si wanita untuk menyampaikan lamaran.   

Begitulah serba sedikit suasana di sebalik urusan berjanji temu di Dubai. Kalau diikutkan, caranya tidaklah begitu berbeza dengan cara kita di sini. Kedua-duanya mengutamakan garis panduan Islam dalam berjanji temu atau mencari jodoh. Yang penting, segala yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Bagi sesiapa yang sedang mencari jodoh, semoga artikel ini memberi dorongan yang baik buat anda. Cari jodoh tak salah, tapi jangan sampai tak ingat dunia ya! 

 

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: