fbpx“Cinta Dalam Diam”

“Cinta Dalam Diam”

“Cinta Dalam Diam”

Sudah pasti ada di antara kita yang pernah merasakan “indahnya cinta”. Begitu dalam makna perkataan cinta itu, sehingga sedalam manapun ia digali, tetap tidak akan dapat menemui dasarnya...

Dikarang oleh 21976 | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Sudah pasti ada di antara kita yang pernah merasakan “indahnya cinta”. Begitu dalam makna perkataan cinta itu, sehingga sedalam manapun ia digali, tetap tidak akan dapat menemui dasarnya. Ramai yang salah faham tentang cinta sehingga mereka terperangkap di dalam dunia cinta itu sendiri dan bagi sesiapa yang memahaminya, mereka akan mendapat kedamaian dalam cinta.

Wanita Muslimah Jatuh Cinta?

Wanita muslimah juga adalah manusia seperti kita dan bukankah cinta itu adalah fitrah manusia? Mereka juga mempunyai hati dan perasaan sama seperti orang lain. Jangan kita anggap wanita muslimah ini tiada hati dan perasaan tetapi tahukah kita betapa berbezanya mereka ketika cinta seorang lelaki menyapa hatinya. Tiada senyuman bahagia diukir dan tiada perasaan suka di dalam hati. Namun sebaliknya, ketika wanita muslimah jatuh cinta, apa yang mereka rasakan adalah ketakutan yang begitu besar akan cinta yang tidak suci lagi. Apa yang ada hanyalah kegelisahan kerana rasa yang tidak tentu arah dan juga penderitaan hati yang mulai sakit.

Ketika wanita muslimah itu jatuh cinta, bukan harapan untuk bertemu yang mereka nantikan, tetapi yang ada hanyalah rasa ingin menjauh daripada orang tersebut. Bahkan tiada kata-kata cinta dan rayuan yang ingin dilafazkan. Apa yang ada hanyalah kerisauan yang teramat sangat akan hati yang mula merindukan lelaki yang belum halal ataupun mungkin yang tidak akan pernah halal baginya. Ketika mereka jatuh cinta, maka perhatikanlah kegelisahan di hati mereka yang tidak mampu lagi memberikan ketenangan di wajah mereka yang dahulunya lebih tenang. Mereka akan terus berusaha menghilangkan rasa itu tidak kira bagaimana sekalipun caranya. Bahkan jika cinta mereka perlu hilang, maka itu pun akan dilakukan oleh mereka.

Alangkah kasihannya jika wanita muslimah jatuh cinta kerana yang ada hanyalah penderitaan. Tetapi bersabarlah dan jadikan ini sebagai ujian daripada Allah. Buangkan rasa itu secepat mungkin. Kemudian bina tembok penghalang antara kamu dan dia. Palingkan kembali hatimu, agar rasa itu tetap terarah hanya kepadaNya. Hapuskan rasa rindu padanya dan kembalikan dalam hatimu rasa rindu kepada Allah.

Memperjuangkan Cinta dalam Diam?

Allah tidak pernah mengharamkan rasa cinta. Cinta adalah rasa yang sudah menjadi fitrah bagi setiap manusia. Namun, manusia diperintahkan untuk menjaga agar cinta itu tidak terjerumus kepada tindakan yang diharamkan olehNya. Cinta haruslah menjadi medium untuk mendekatkan diri kepadaNya. Jadi cinta seperti mana yang mampu mendekatkan diri kita kepada Sang Pemberi Cinta ini? Cinta yang dimaksudkan itu adalah cinta dalam diam.

“Cinta dalam diam” menurut Islam adalah cara mencintai yang dirasakan paling tepat ketika diri belum mampu terikat dalam sebuah ikatan yang suci iaitu pernikahan. Jika kita belum mampu untuk mencintai dan dicintai dalam ikatan pernikahan maka cinta dalam diam merupakan jawapan atas segala kegelisahan hati. Bagaimana pula cara memperjuangkan cinta dalam diam?

Perbaiki Diri Adalah Cara Cinta Dalam Diam

Persoalan tidak akan selesai dengan hanya sekadar kita mengatakan, “ya Allah aku mencintainya keranaMu”. Lantas, apakah yang menjadi bukti bahawa perasaan itu adalah cinta kerana Allah? Mungkin betul ia sebuah perjuangan. Setelah rasa yang bernama cinta itu hadir maka kita akan berusaha memperjuangkan rasa cinta itu. Cinta tidak semestinya memaksa diri untuk melupakan, tetapi cinta juga tidak semestinya boleh memiliki. Perasaan cinta haruslah dikawal agar rasa cinta itu dapat hadir dengan sewajarnya. Memperbaiki diri merupakan cara terbaik untuk mencintai dalam diam.

Berdoalah kepada Yang Maha Pemilik Cinta

“Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang maka Allah timpakan ke atas kamu pedihnya sebuah pengharapan supaya kamu mengetahui bahawa Allah sangat mencemburui hati yang berharap selain Dia. Maka Allah menghalangimu dari perkara tersebut agar kamu kembali berharap kepada-Nya”  (Imam Syafi'i)

Adakah kita benar-benar yakin bahawa dia adalah jodoh kita? Jodoh itu mungkin sahaja sahabat kita, ataupun orang yang baru sahaja kita jumpa di suatu tempat, ataupun seseorang yang pernah kita tinggalkan. Jodoh itu boleh sahaja orang tua atau wali kita yang carikan, atau sahabat kita yang menjodohkan. Bagaimanapun, jodoh itu bukan hanya soal cinta, tetapi juga tentang perancangan Allah kepada kita. Kita perlu sedar bahawa bukan cinta yang pada akhirnya membuatkan kita berjodoh dengan seseorang, tetapi sebenarnya Allah yang menjodohkan kita dengan seseorang. Kita juga sedia maklum yang semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz.

Jadi, janganlah kita mencintai seseorang melebihi cinta kita kepada Allah. Cukuplah cinta dalam diam dan serahkan sepenuhnya kepada Allah. Sambil kita berusaha mencintai dalam diam, kita juga perlu terus berusaha menjadi seorang muslim dan muslimah yang baik kerana jodoh kita adalah cerminan diri kita seperti firman Allah S.W.T dalam surah An- Nuur ayat 26 yang bermaksud:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia”

Bercintalah dengan bijak dan tidak perlu terlalu berharap terhadap cinta manusia, cukuplah sekadar cinta dalam diam. Berdoalah pada Yang Maha Kuasa atas segala pilihan-Nya yang terbaik. Semoga kita diberikan pilihan yang terbaik serta menjadi pendamping dunia dan akhirat.

InshaAllah.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: