fbpx“SAYA FOBIA PADA KAUM LELAKI!”

“SAYA FOBIA PADA KAUM LELAKI!”

“SAYA FOBIA PADA KAUM LELAKI!”

"Saya menjadi lebih matang dalam bercinta dan bersikap lebih terbuka dengan kehidupan"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Kongsi artikel ini: 
Saya, Fobia, Pada, Lelaki

"Usia saya sudah 25 tahun, rakan-rakan seperjuangan saya semua sudah bernikah, bertunang, malah ada yang sudah mendapat anak. Saya? Masih lagi digilai pengalaman masa lalu. Saya pernah bercinta. Hubungan saya dengan lelaki itu bermula semasa kami di zaman sekolah menengah lagi. Hubungan cinta yang kami semai ini hampir 5 tahun lamanya. Namun, disebabkan ketidakjujuran si lelaki, hubungan kami putus di tengah jalan.

Semasa tamat sesi persekolahan, saya dan dia ditempatkan di IPTA yang berbeza. Dia ditempatkan di Samarahan, Sarawak, manakala saya, ditempatkan di Machang, Kelantan. Kami sudah jarang berjumpa, berhubung melalui telefon pun sudah jarang apabila masing-masing sudah sibuk dengan assignment dan test. Apabila dah lama sangat tidak berhubung, si dia sudah menunjukkan tidak berminat untuk melayan saya.

Pada mulanya, saya hanya menganggap si dia busy sehinggakan tiada masa untuk saya. Namun, pada suatu hari, si dia menghantar sms kepada saya meminta untuk saya tidak menghubunginya lagi. Pada waktu itu, saya berasa amat terkejut, tergamam saya dibuatnya. Hancur luluh hati saya, hubungan yang dibini sudah 5 tahun usianya akhirnya mahu diputuskan begitu sahaja. Apabila ditanyakan sebabnya, jawapan yang diberikan lelaki itu hanyalah kerana jarak jauh antara kami membuatkan kami sudah tidak sehaluan lagi. Apakah alasan itu benar-benar kukuh?

Pada suatu hari, kawan saya yang kebetulan ditempatkan di kampus yang sama dengan lelaki itu, memberitahu saya bahawa dia ada ternampak lelaki itu dengan perempuan lain. Perempuan mana yang tidak kecewa mendengar perkhabaran ini? Alasan hubungan jarak jauh yang menyebabkan dia memutuskan hubungan kami adalah sangat tidak wajar.

Disebabkan peristiwa ini, sehingga hari ini, saya amat fobia dengan kaum lelaki. Saya sering dinasihati oleh kawan-kawan saya, bahawa bukan semua kaum lelaki macam si dia, mungkin nasib tak menyebelahi saya pada waktu itu, itulah takdir yang sudah tertulis. Namun, untuk membuka hati pada lelaki lain, ianya seakan-akan menjadi sangat sukar kepada saya. Seperti sudah digam hati ini.

Tetapi, sampai bila harus saya terlalu mengikut perasaan saya ini? Kerana lambat laun, pasti saya akan berkahwin jua. Saya sering meminta pendapat sahabat handal, keluarga malah saya juga pernah berjumpa dengan pakar kaunseling mengenai masalah saya ini. Berdoa dan terus berdoa, meminta Allah membuka pintu hati saya untuk lelaki lain, Alhamdulillah, makin hari, makin terbuka hati saya untuk mengenali lelaki lain.

Pada hari ini, genaplah 3 tahun tempoh perkahwinan saya dengan suami saya. Tempoh perkenalan kami hanyalah singkat sahaja. Saya serahkan urusan jodoh kepada keluarga saya, dengan izin Allah SWT, sepupu saya sendiri yang datang melamar saya dan sekarang dialah suami saya. Pada mulanya, saya juga turut keliru adakah ini dinamakan jodoh, namun apabila saya melakukan solat sunat istikharah meminta petunjuk daripada Allah SWT, ternyata dialah yang terbaik untuk saya. Walaupun kami tidak sempat bercinta, namun, bercinta selepas nikah ternyata lebih indah.

Pengalaman masa lalu mengajar saya banyak perkara. Saya menjadi lebih matang dalam bercinta dan bersikap lebih terbuka dengan kehidupan ini dan melaluinya dengan lebih santai. Saya sering memperkatakan di dalam hati bahawa “aku sudah menjadi seorang perempuan yang dewasa, dan selain suami, keluarga dan sahabat, aku ada Allah SWT”. Walaupun saya diuji dengan pengalaman itu, tetapi ianya cukup untuk memberi saya kekuatan untuk kehidupan seterusnya.

Nasihat untuk perempuan di luar sana yang dilanda nasib yang sama, jangan sesekali FOBIA PADA KAUM LELAKI. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Wallahualam."

Kongsi artikel ini: