Duit bukan segala-galanya

"Malah hanya disebabkan sekeping kertas ada yang bermusuh sesama sendiri...."

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Realiti perkahwinan sebenar amatlah berbeza berbanding apa yang bermain di fikiran mereka yang masih 'single'. Saya bukan seorang pakar rumah tangga tetapi berasa terpanggil untuk berkongsi beberapa realiti dengan mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan atau yang masih bujang.

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia. Makhluk Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa-apa yang mereka tidak ketahui." (Surah Yasin, ayat 36)

Konteks ‘duit’ dalam soal perkahwinan

Dalam konsep perkahwinan, duit memainkan peranan yang sangat penting. Malah disebabkan duit juga boleh menyebabkan sesetengah pasangan itu bercerai berai. Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata berdasarkan statistik Mahkamah Syariah Perak, sebanyak 2578 kes penceraian dilaporkan pada tahun 2016. Punca utama perceraian adalah disebabkan oleh beban kewangan.

Pasangan yang akan mendirikan rumah tangga pasti akan mengimpikan sebuah kebahagiaan dengan pasangan tercinta. Namun disebabkan kemiskinan, ianya akan menghadkan banyak perkara dan mungkin akan menghancurkan sebuah kebahagiaan itu. Segala-galanya akan menjadi terhad.

Malah disebabkan ‘duit’ juga tidak dinafikan ada yang mengimpikan seorang calon isteri dan suami yang berharta. Ianya tidak dilarang sama sekali tetapi sebaik-baik pilihan adalah berlandaskan agama kerana harta akan lenyap pada bila-bila sahaja tanpa kita ketahui. Rasulullah SAW juga menyeru agar memilih pasangan hidup yang setara dalam agama dan statusnya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis di atas menjelaskan bahawa aspek agama menjadi unsur terpenting berbanding aspek yang lain. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW agar seorang lelaki itu memilih wanita yang mengamalkan agama Islam bagi menjanjikan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Pernikahan bukanlah untuk mengejar keseronokan dan kepuasan sahaja tetapi untuk memburu redha dan pahala Allah. Pendamping yang baik dan solehah bakal membantu seorang lelaki itu mendekatkan diri kepada Allah, bukanlah sebaliknya

Duit dipandang seperti 'raja'

Pada zaman sekarang, semua orang mahukan duit bahkan setiap urusan juga memerlukan duit. Meskipun duit bukan segala-galanya tetapi segalanya memerlukan duit. Malah hanya disebabkan sekeping kertas ada yang bermusuh sesama sendiri. Ada yang senang menjadi susah malah ada yang lapang menjadi sempit.

Ramai pasangan terutama kaum wanita mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang 'gah' sehingga sanggup berhabis berpuluh-puluh ribu demi sebuah kepuasan. Tengok kawan-kawan ada photobooth di hari perkahwinan, mereka pun mahu juga. Walhal simpanan sendiri pun tidak cukup sampai sanggup ikat perut. Tambahan pula, ada yang hanya memikirkan tentang kos kenduri semata-mata sedangkan kos selepas kenduri adalah jauh lebih besar yang harus diutamakan.  

Malangnya, ada pasangan yang belum berkahwin terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka hanya disebabkan duit yang belum mencukupi. Bagi yang sudah bertunang pula, apabila masih tidak berkemampuan dari segi kewangan tempoh pertunangan juga terpaksa dipanjangkan. Adakah semua ini berpunca dari duit? Jawapannya TIDAK. Nafsu kita yang membuatkan kepingan kertas ini menghantui kehidupan kita.

Kelewatan jodoh disebabkan oleh 'duit'

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui". Surah An-Nuur: ayat 32

Anas bin Malik memberitahu, Rasulullah SAW pernah menyuruh pemuda supaya berkahwin apabila mereka mampu dan melarang keras hidup membujang. Baginda menyatakan, sikap mahu membujang bertentangan dengan prinsip Islam.

Namun, berdasarkan statistik, faktor paling utama lewat jodoh adalah berpunca dari masalah kewangan. Tambahan pula, perempuan zaman sekarang masing-masing berlumba-lumba untuk meletakkan wang hantaran yang tinggi dan menganjurkan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang (Harian Metro).

Selain itu, hasil kajian daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati lebih daripada 56 peratus responden lelaki yang berpandangan masalah kewangan menjadi punca utama mereka lewat berkahwin. Kaji selidik ini dibuat melalui Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5).  Hasil kajian ini boleh dilihat seperti dalam rujukan.

 

 

Sebanyak 56 peratus responden lelaki berpandangan masalah kewangan menjadi punca utama mereka lewat berkahwin

Duit dan hantaran

Apabila dikaitkan tentang soal hantaran pula, sudah tentulah lelaki yang menjadi ‘mangsa’ kerana mereka perlu mengumpul duit hantaran yang telah ditetapkan oleh pihak keluarga wanita. Ada yang tidak mampu tetapi dek kerana keinginan untuk mengahwini pilihan hati sangat tinggi sehingga sanggup berhutang dengan pihak bank. Malah ada yang lebih parah lagi apabila melibatkan ‘ah long’.

Namun dalam soal hantaran, ianya perlulah tepat agar tidak terlalu rendah sehingga tidak mencerminkan kasih sayang seorang suami kepada isteri atau tidak terlalu tinggi sehingga menyusahkan pihak pengantin lelaki. Meminjam kata-kata masyhur, ‘permudahkanlah tetapi jangan ambil mudah.’

Kesimpulan

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bersederhana. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Justeru ingin saya tegaskan di sini, duit bukan segala-galanya. Jangan disebabkan duit seseorang itu merana.

Kongsi artikel ini: