fbpxJika putus cinta…

Jika putus cinta…

Jika putus cinta…

Putus cinta merupakan salah satu detik yang sangat pahit dan semua orang tidak mahu merasainya. Siapa yang mahukan hubungan cinta mereka berakhir dengan begitu sahaja...

Dikarang oleh 21976 | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Putus cinta merupakan salah satu detik yang sangat pahit dan semua orang tidak mahu merasainya. Siapa yang mahukan hubungan cinta mereka berakhir dengan begitu sahaja tanpa ke jinjang pelamin? Perhubungan yang dijaga dengan baik dan diletak pengharapan yang tinggi, tiba-tiba bertemu dengan pengakhiran berbentuk pengkhianatan, halangan keluarga dan sebagainya. Lalu diri merasa seolah hidup ini sudah tidak ada makna. Masa depan dirasakan gelap dan tiada lagi cahaya. Inilah realiti yang terpaksa ditempuh oleh orang yang putus cinta.

Putus cinta.

Apabila dua insan cuba berusaha untuk bersatu atas nama cinta iaitu perkahwinan, maka mereka akan diuji. Usaha untuk merealisasikan sebuah tuntutan agama yang sedemikian murni adalah suatu usaha yang dibenci oleh Syaitan. Ini kita harus ingat. Maka ujian ke atas usaha itu adalah Sunnatullah (ketentuan Allah) yang perlu diterima oleh semua orang. Barang yang baik dan berkualiti, sudah tentu perlu melalui proses-proses yang ketat dan teliti sebelum dikeluarkan. Begitu jugalah dengan ujian Tuhan.

Dalam tapisan ujian itulah, tersingkirnya sisa-sisa ataupun elemen-elemen yang bersifat negatif . Contoh kes yang berlaku;

Ada orang putus cinta kerana teman lelakinya curang dan keluar dengan perempuan lain. Teman lelakinya mengaku bosan dengan dirinya yang begitu tegas dan enggan menemaninya keluar bertemujanji. Maka ‘cinta’ yang kononnya selama ini dipertahankan putus di tengah jalan apabila dia ditinggalkan lelaki tersebut. Dalam kekalutan membendung rasa kecewa, dia merasa dunia gelap gelita. Seolah tiada masa hadapan, dan seolah memang yang terputus itulah ‘cinta’ nya yang sebenar. Anda mungkin silap.

Sebab apa saya katakan silap?

Ini kerana apa yang terputus itu sebenarnya hanya usaha anda untuk bersama si dia sahaja, bukan sebuah cinta yang sebenar. Anda mengaku menyukai lelaki tersebut dan demikian juga lelaki tersebut mengaku suka dan sayang kepada anda. Namun kedua-dua anda belum diuji. Cakap sahaja belum mencukupi. Maka datanglah ujian dalam bentuk godaan Syaitan, contohnya. Dicucuk-cucuk hati sang lelaki supaya membawa anda keluar berdua-duaan. Apabila anda tidak bersetuju, dihasut pula bahawa anda adalah gadis yang kolot dan tidak memahami jiwa lelaki.

Banyak lagi hasutan dan bisikan lain daripada Syaitan yang mana jika si lelaki tidak kuat keimanannya, akhirnya bisikan-bisikan tersebut akan diterima. Lalu dia mendesak anda kepada perbuatan-perbuatan maksiat sedangkan anda bertegas dengan larangan agama. Bosan dengan sikap anda, dia mencari orang ketiga.

Dalam kes ini, jika perhubungan anda dan dia putus di tengah jalan, ia tidak bermakna ‘cinta’ anda yang putus. Apa yang terputus itu adalah usaha anda berdua ke atas suatu perhubungan, itu sahaja. Bahkan anda dan dia sama sekali tidak tahu apakah wujud jodoh antara kalian atau tidak. Justeru, jika bertemu kegagalan, ia tidak bermakna anda sudah tiada peluang di masa hadapan.

Perbetulkan persepsi dengan cara memperbetulkan istilah. Yakinkan diri anda bahawa anda tidak putus cinta, cuma usaha anda ke atas perhubungan tersebut sahaja yang masih tidak bertemu kejayaan. Hakikatnya, Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk anda. Mungkin bukan dengan dia, mungkin dengan yang lain. Insya-Allah. Semoga bertemu jodoh yang terbaik buat anda.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: