Tujuan perkahwinan

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Setiap manusia Allah ciptakan hidup berpasangan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Lelaki dan perempuan merupakan makhluk Allah yang sangat unik. Lelaki secara fizikalnya berbentuk gagah dan kuat. Sifat inilah yang menjadi pelindung kepada perempuan. Perempuan pula fizikalnya lebih lemah berbanding lelaki. Sebab itulah Allah campakkan sifat lemah lembut dan penyayang kepada perempuan sesuai dengan nalurinya. Allah menjadikan mereka adalah untuk mencukupi antara satu sama lain.

Firman Allah taala:

“Dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan daripada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah An nisa, ayat 5)

Perkahwinan merupakan antara satu tingkat kitaran hidup seseorang. Apabila mencapai umur tertentu atau tiba masa tertentu, setiap manusia yang sifatnya normal memerlukan teman untuk terus hidup berkongsi perasaan, naluri, suka, duka dan pelbagai perasaan lagi. Tujuan perkahwinan itu sendiri adalah sebenarnya berbentuk umum. Tetapi pernahkah kita tahu apa tujuan perkahwinan yang sebenar menurut agama islam ? Pada artikel kali ini, kami akan berkongsi beberapa tujuan perkahwinan yang telah dinyatakan oleh islam.

Fitrah manusia normal.

Lelaki menyukai perempuan dan perempuan menyukai lelaki merupakan satu perasaan yang bersifat fitrah, maksudnya semulajadi. Ia menjadi tidak fitrah jika lelaki menyukai seorang lelaki atau perempuan menyukai seorang perempuan kerana ia bertentangan dengan naluri asal seorang lelaki atau wanita. Jadi untuk menghubungkan antara lelaki dan perempuan, maka Allah swt. menetapkan perkahwinan untuk menghalalkan hubungan tersebut.

Sunnah Rasulullah dan rasul sebelumnya.

Perkahwinan juga menjadi amalan nabi dan rasul terdahulu. Sebagaimana nabi kita, Muhammad saw, baginda tetap berkahwin dan baginda merupakan contoh teladan yang terbaik buat umat manusia. Jadi sesiapa yang berkahwin, maka ia telah mengikut salah satu sunnah rasul. Rasulullah bersabda dalam satu hadis yang riwayat oleh al Baihaqi daripada abu hurairah yang bermaksud;

“Sesiapa yang suka kepada fitrahku, maka hendaklah dia melakukan sunnahku. Sebahagian daripada sunnahku adalah nikah”.

Melindungi diri dan memelihara daripada keruntuhan akhlak.

Antara tujuan perkahwinan yang lain adalah ia melindungi diri kita dan memelihara kita daripada keruntuhan akhlak dan moral. Lihat sahaja cara hidup golongan daripada negara barat. Berapa banyak kerosakan yang berlaku dalam kalangan remaja mereka yang hidup bebas dan tiada mempunyai ikatan sebagai suami isteri. Mereka bertukar pasangan apabila bosan dengan pasangan yang lama. Tiada rasa tanggungjawab antara lelaki dan perempuan kerana mereka tiada ikatan yang sah. Hal ini akan merosakkan agama dan bangsa mereka sendiri.

Perkongsian hidup.

Apabila berkahwin seorang lelaki dan perempuan, ia juga bermaksud berkongsi segala-gala. Susah, senang, perasaan suka dan duka serta segala-gala kehidupan kita dengan pasangan kita. Di dalam hidup sebagai suami atau isteri, pasti akan ada halangan yang bakal ditempuhi. Jadi bila berpasangan, ia akan menjadikan kita lebih kuat, dengan syarat mesti ada perasaan bertolak ansur dan rasa bertanggungjawab dalam perhubungan. Saling melengkapi antara satu sama lain. Percayalah, perkahwinan kita akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bahagia jika kita pandai menguruskannya.

Sebagai ibadah dalam meramaikan ummat islam.

Perkahwinan itu juga merupakan salah satu ibadah jika kita melakukannya dengan niat yang betul kerana Allah, dan kita akan dibalas dengan pahala oleh Allah. Dengan perkahwinan, secara tidak langsung kita akan meramaikan umat nabi muhammad dan pengikut islam itu sendiri. Islam akan menjadi bertambah kuat dan lebih berkualiti jika kita berjaya mendidik keturunan kita untuk memahami islam yang sebenar. Bertambahnya zuriat, menjadi tanggungjawab ibu bapa membimbing anak-anak mereka untuk menjadi umat islam yang berkualiti dan memberi sumbangan kepada agama islam.

Sebagai kesimpulannya, perkahwinan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan fitrah normal sebagai seorang manusia. Jika kita mampu, maka segeralah berkahwin. InsyaAllah, pasti kita akan merasai hikmah dan nikmat perkahwinan tersebut.

 
Kongsi artikel ini: