fbpx7 Nasihat Dalam Bercinta

7 Nasihat Dalam Bercinta

7 Nasihat Dalam Bercinta

"...cinta itu bukanlah satu “trend” yang perlu diikut-ikut, sebaliknya satu fasa hidup yang membawa kepada terbinanya sebuah keluarga bahagia."

Dikarang oleh 238195 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Ayah, seorang insan yang selalu memberikanku nasihat-nasihat yang berguna. Setiap pesanannya membawa makna dan mengiringi langkahku tatkala aku membesar. Aku masih ingat, diwaktu remaja, ayah selalu berpesan padaku agar menumpukan perhatian pada pelajaran dan kehidupan. Akan tetapi, bakal tiba satu masa hatiku dicuri oleh seorang insan yang lain. Insan itu akan memberikan kebahagiaan buatku dan memimpin tanganku menuju ke arah redha Ilahi. Di situlah ayah mengingatkan agar sebelum memulakan sesuatu hubungan, kumpulkan ilmu sebanyak mungkin supaya hubungan itu tidak tersasar daripada landasan agama. Dia juga berkata padaku bahawa cinta itu bukanlah satu “trend” yang perlu diikut-ikut, sebaliknya satu fasa hidup yang membawa kepada terbinanya sebuah keluarga bahagia. Ayah turut berkongsi ayat ini denganku:

“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah.”

(Surah Adh-Dhariyat: Ayat 49)

Sehingga kini, kata-kata orang tuaku sering aku jadikan panduan dalam melakukan aktiviti harian. Dalam senda dan gurauan ayah, dia sempat memberikan 7 nasihat untuk menempuh alam percintaan.

Lebih mendekatkan diri kepada Allah

Sebelum kita memberi ruang kepada diri kita sendiri untuk menjaga orang lain, adalah lebih baik untuk kita memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita terlebih dahulu. Yang pertama, kita mestilah lebih tekun beribadah agar Allah sentiasa melimpahkan petunjuk-Nya kepada kita dan merestui tindakan-tindakan yang kita ambil. Pohonlah doa supaya dalam apa jua keadaan, hati kita akan tetap mengingati-Nya. Mintalah juga supaya bila kita temui jodoh nanti, hubungan itu mendekatkan kita ke syurga, bukannya dihiasi dengan dosa dan maksiat. Memang benar wanita diciptakan sebagai penyejuk mata lelaki, tetapi tidak pula kita diajar untuk mendengar hasutan syaitan atau terus hanyut dibuai rasa cinta manusia sehingga lupa tujuan asal hidup kita. Jangan pula jadi seperti yang digambarkan dalam pepatah Melayu, “bagai kacang lupakan kulit”. Cinta itu kurniaan Ilahi, maka dengan itu hargailah perasaan cinta dengan memanjatkan kesyukuran kepada-Nya. Sesungguhnya lebih kuat cinta kita kepada Dia, lebih bermakna lagi Dia jadikan cinta kita sesama manusia.

Begitulah serba sedikit celoteh ayahku.

Minta restu ibu bapa daripada kedua-dua belah pihak    

Nasihat kedua yang ayahku berikan adalah untuk meminta restu daripada ibu bapa pihak perempuan dan daripada ibu bapaku sendiri. Selain daripada keredhaan Allah, sesuatu hubungan yang baik juga bergantung kepada restu orang tua yang selama ini membesarkan kita. Ibu bapa pastinya gembira apabila anak mereka menemui jodoh yang sesuai. Jika mereka menolak, duduk berbincang untuk mengetahui apakah alasan ibu bapa kita atau si dia kerana menolak calon yang kita bawa. Usah berasa takut kerana andainya jodoh itu benar buat kita, ikatan itu semestinya akan terjalin jua. Mungkin juga masa dan tempatnya sahaja yang kurang sesuai, maka berusahalah untuk memujuk hati orang tua supaya hubungan cinta kita dapat diteruskan ke alam perkahwinan pula. Kata ayahku, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Apa yang penting, ibu bapa harus diberitahu dahulu berkenaan dengan hubungan tersebut.

Elakkan daripada melakukan maksiat

Ini nasihat ayahku yang seterusnya.

Dia berpesan, andai jodohku sudah tiba, jangan pula berani melakukan perkara-perkara yang dilarang selagi tidak mempunyai ikatan yang sah. Sebagai contoh, dia berpesan supaya tidak berpegangan tangan dan tidak berjalan rapat-rapat antara satu sama lain. Di samping itu, ajak pasangan berjalan di tempat yang dipenuhi orang ramai dan bawalah seorang rakan lain untuk menemani si wanita. Cinta itu adiwarna tanpa perlu menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat. Sebagai orang Islam, kita sudah diajar untuk mengikuti garis panduan yang ditetapkan terutamanya dalam mencari teman hidup. Garis panduan ini bukanlah bertujuan untuk menyusahkan hidup kita, sebaliknya perkara tersebut memastikan kita berada di landasan yang tepat. Di penghujung hari, kita hanyalah hamba Allah yang menghuni dunia sementara ini. Maka itu, bercintalah seadanya tanpa mencabar kemurkaan Allah.

Jangan mudah melenting atau terlalu mengikut perasaan

Dalam dunia moden masa kini, ada sahaja gelagat pasangan-pasangan muda yang dapat kita lihat di sekeliling kita. Ada yang bergaduh bagaikan mahu berperang kemudian berbaik semula, ada juga yang merajuk sampai ke sudah. Dalam hal ini, ayah mengingatkan aku agar jangan mudah melenting apabila sudah bercinta kelak. Pergaduhan itu biasa di dalam hubungan percintaan kerana manusia dicipta dengan sifat dan citarasa yang berbeza. Kadangkala perbezaan itu membawa kepada perselisihan faham antara lelaki dan wanita. Jika ini terjadi, beralahlah kepada pasangan kerana tiada gunanya berasa marah atau merajuk terlalu lama. Saudara Syamsul Debat pernah berkata bahawa seharusnya perbezaan lelaki dan wanita itulah yang menjadi pelengkap kepada hidup kita. Sama seperti siang dan malam yang menghiasi hari-hari kita, begitulah cantiknya perbezaan antara kita. Oleh itu, belajar untuk memahami orang lain dan elakkan terlalu mengikut perasaan hati sendiri.

Selalu perbaiki komunikasi di antara satu sama lain

Ayah berpesan lagi, lain orang, lain caranya. Begitu juga dalam berkomunikasi, caranya mestilah sesuai dengan si pendengar. Contohnya, ramai wanita yang suka diberi perhatian dan didengari. Dengan itu, apa salahnya jika si lelaki meluangkan sedikit masa untuk bertanyakan keadaan si dia dan mendengar apa jua luahan yang hendak dikongsi. Mungkin dengan ini, hubungan itu akan menjadi lebih erat dan serasi. Bagi sesetengah orang pula, mereka lebih gemar berasa bebas dan tidak disesakkan dengan pelbagai soalan atau topik perbualan setiap waktu. Jika kita mempunyai pasangan seperti ini, kita mestilah memberikan ruang yang cukup buat si dia supaya dia berasa selesa dan beranggapan bahawa kita memahami caranya itu. Walau bagaimanapun sifat seseorang itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenalinya secara keseluruhan. Barulah mudah untuk kita menambah baik komunikasi kita dengan si dia. Bukankah cinta adalah tentang memahami isi hati orang lain?  

Jangan berkira dalam menggembirakan pasangan

Wang sudah menjadi satu keperluan penting di dalam kehidupan kita. Dengan pasang surut zaman ini, semua orang mesti berkira dalam membelanjakan wang mereka. Sungguhpun begitu, apabila kita hendak bercinta, kita juga seharusnya sudah menyedari bahawa kita perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk menggembirakan hati pasangan kita. Kadang-kadang makan tengah hari berdua pun sudah menelan belanja yang agak besar. Atas sebab itu, persediaan mestilah dibuat sebelum mulakan perhubungan, bukannya bercinta secara melulu tanpa mempunyai hala tuju atau niat yang betul. Pada masa yang sama, kita tidak digalakkan untuk membazir semata-mata demi memikat hati si dia. Allah juga tidak suka orang yang membazir. Ada pelbagai cara untuk menambat hati pasangan kita. Berbelanjalah dengan cermat. Jangan terlalu kedekut dan jangan pula membazir. Tiada salahnya juga untuk kedua-dua belah pihak berkongsi wang sewaktu keluar bersama. Kalau tak mahu berbelanja besar, apa kata bawa pasangan kita berjalan-jalan di taman sambil menghirup udara segar. Ini memberi kita ruang untuk berbual dan merapatkan lagi ikatan yang terjalin.

Bernas pesan ayah. Kalau bercinta, jangan berkira, jangan juga melebih-lebih.

Bina keserasian untuk merapatkan lagi hubungan

Pesanan ayah yang terakhir adalah bina keserasian dengan pasangan untuk merapatkan lagi hubungan yang sedia ada. Dia mengingatkan aku, kadangkala keserasian tidak boleh dicari, sebaliknya perlu dibentuk sendiri. Oleh itu, kita mestilah membina keserasian melalui persamaan dan perbezaan yang kita ada dengan pasangan. Mengenali pasangan secara mendalam akan mengakrabkan lagi hubungan itu selain menjalin persefahaman sesama mereka. Serasi tidak semestinya sama. Ada ketika perbezaan yang ketara itu menjadikan keserasian antara pasangan lebih indah dan membahagiakan. Contohnya, ada orang yang pandai memasak ditemukan dengan orang yang suka makan. Ada pula yang suka bercakap ditemukan dengan orang yang pendiam. Maka perbezaan itu melengkapkan diri masing-masing kerana jodoh yang ditentukan Allah sudah sempurna buat kita. Justeru, terimalah pasangan kita seadanya dan mulakan membina keserasian supaya hubungan menjadi menarik dan kekal lama. 

Bagi diriku sendiri, apa yang paling penting adalah kita perlu ikhlas dalam membina ikatan cinta dengan niat untuk mengahwini si dia. Di samping itu, kesucian cinta juga perlu dijaga dalam kita mengejar kebahagiaan.

Terima kasih ayah atas semua pesananmu itu.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: