fbpxADAB MENYAMBUT KEHADIRAN BAYI DALAM ISLAM

ADAB MENYAMBUT KEHADIRAN BAYI DALAM ISLAM

ADAB MENYAMBUT KEHADIRAN BAYI DALAM ISLAM

"masih ada di antara mereka yang masih ragu-ragu dengan adab yang patut di amalkan semasa menyambut kehadiran bayi mengikut cara islam"

Dikarang oleh 91468 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Bagi ibu bapa yang bakal mendapat cahaya mata terutama buat pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga sudah pasti berasa teruja menanti kehadiran si comel sulung mereka. Selepas ini, rumah mereka akan sentiasa dihiasi dengan tangisan anak kecil. Namun, masih ada di antara mereka yang masih ragu-ragu dengan adab yang patut di amalkan semasa menyambut kehadiran bayi mengikut cara islam. Antara adab-adab dalam menyambut kehadiran bayi mengikut cara islam adalah;

Azan dan Iqamah

Sejurus kelahiran, bayi itu akan diserahkan kepada bapa atau walinya untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga sebelah kiri. Tujuannya adalah untuk memperdengarkan kalimah seruan yang mulia yang mengandungi kebesaran Allah SWT dan merupakan seruan pertama yang didengar oleh bayi. Manakala menurut Sheikh Muhammad Ali Qutub, azan dan iqamah adalah seperti bacaan talqin, ini adalah kerana kelahiran bayi bermaksud berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya semasa di dunia.

Tahnik

Sunat melakukan tahnik di mulut bayi yang baru lahir. Caranya ialah dengan mengunyah kurma, dan kurma yang telah lumat itu diletakkan di hujung jari lalu dimasukkan perlahan-lahan ke dalam mulut bayi dan ratakan kurma tadi ke seluruh bahagian mulut bayi tadi, sekiranya tidak ada kurma, boleh digantikan dengan madu atau sesuatu yang manis. Hikmah bertahnik adalah untuk menguatkan urat-urat di sekitar mulut bayi dengan gerakan lidah dan akan memudahkan bayi untuk menghisap susu ibunya dengan kuat. Namun, tahnik diutamakan dilakukan oleh orang yang soleh untuk mengambil berkatnya supaya kelak bayi itu akan menjadi seorang yang soleh dan bertaqwa.

Aqiqah

Sunat bagi umat islam untuk membuat aqiqah, dimana ianya lebih afdal sekiranya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut bahawa aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Membuat aqiqah bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lembu dan kerbau. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling. Sunah Rasulullah menyuruh dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Namun bagi mereka yang tidak mampu, ia boleh dilakukan sebelum akil baligh si anak.

Mencukur jambul

Sunat untuk mencukur rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya, dan kemudian rambut itu akan ditimbang dan jumlah berat timbangan itu disamakan dengan harga emas atau perak dan disedekahkan ke fakir miskin. Hikmah digalakkan mencukur rambut bayi adalah untuk membolehkan rambut bayi yang lebih sihat dan lebat tumbuh. Amalan ini diamalkan dalam islam supaya segala kekotoran yang keluar dari rahim dapat dibuang.

Memberikan nama anak

Sunat untuk memberikan nama anak yang baru lahir pada hari ketujuh kelahirannya atau secepat yang boleh. Ibu bapa hendaklah memberikan nama yang elok dan membawa maksud yang baik kerana nama itulah yang akan dipanggil di akhirat kelak.

Bagi ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, marilah kita mengamalkan adab-adab ini semasa menyambut kehadiran bayi anda.

 
Kongsi artikel ini: