fbpxCara Kenali ‘Dia’ Lelaki Yang Baik

Cara Kenali ‘Dia’ Lelaki Yang Baik

Cara Kenali ‘Dia’ Lelaki Yang Baik

"Apabila kita mahukan yang terbaik maka kita harus berusaha untuk mencari yang terbaik untuk kita.."

Dikarang oleh 91468 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Perempuan sering merungut tentang ‘lelaki baik sudah pupus, yang tinggal hanyalah yang biasa-biasa’. Sebelum kita meletakkan persepsi sebegitu, pernahkah kita terfikir sama ada adakah kita sudah menjadi yang terbaik untuk dapatkan lelaki yang baik? Namun adakah ianya benar sekiranya kita menjadi yang terbaik maka kita akan dianugerahkan pasangan yang baik juga?

Ada satu ayat Al-quran:

“Lelaki yang baik dengan wanita yang baik dan lelaki yang tidak baik dengan wanita yang tidak baik.” 

Adakah ianya bermaksud, kalau kita inginkan pasangan yang baik maksudnya kita kena jadi baik? Ramai yang salah faham tentang definisi ayat ini. Kenapa? Kerana ada sahaja wanita yang baik tetapi mendapat pasangan yang tidak baik. Contohnya Aishah dan Firaun, Nabi Luth dan isterinya dan ramai lagi di luar sana malah ada yang terjadi pada kenalan terdekat kita.

Ustaz Habib Ali Zainal mengatakan bahawa ayat tersebut adalah salah satu syariat yang Allah turunkan sebagai panduan bahawa orang yang baik akan memilih mereka yang baik sebagai pasangannya dan mereka yang tidak baik akan lebih cenderung memilih pasangan yang tidak baik. Atau lebih mudah, pasangan yang sekufu. Ayat ini menjelaskan apabila kita mahukan yang terbaik maka kita harus berusaha untuk mencari yang terbaik untuk kita.

Namun, bagi perempuan di luar sana, tahukah anda mengenai cara untuk kita kenal siapa itu lelaki yang baik untuk dijadikan calon pasangan kita?

Tengok pada tahap keimanan si dia

Seperti yang kita tahu, seorang lelaki yang baik adalah mereka yang taat perintah Allah. Menunaikan perkara wajib yang sudah disyariatkan dalam Islam merupakan salah satu tanggungjawab hamba-Nya. Sekiranya seseorang itu tidak lupa akan tanggungjawabnya terhadap Allah Yang Satu, inshaAllah mereka tidak lupa akan tanggungjawabnya terhadap anda

Seperti yang ditekankan oleh Ustaz Hanafi dalam ruangan Sinar Harian, sekiranya seorang lelaki itu jaga solatnya (iaitu hubungannya dengan Allah), inshaAllah dia mampu menjaga isterinya nanti. Namun sekiranya janji dia dengan Allah pun dikhianati, maka tidak hairanlah sekiranya janji dengan seorang perempuan turut dikhianati. 

Tambah beliau lagi, sekiranya seorang perempuan itu sudah berjumpa dengan lelaki yang soleh, ianya adalah tidak salah untuk mereka meminang lelaki tersebut kerana dibenarkan dalam Islam.

Lihat pada perangai si dia

Semasa dalam tempoh perkenalan, sudah pasti sedikit sebanyak kita sudah dapat kenal perangai mereka. Mereka yang baik pasti memiliki sifat lelaki yang terpuji serta mampu mengendalikan emosinya dengan baik. Selisih faham macam mana sekalipun, dia masih mampu mengawal emosinya. 

Kalau dari awal sudah nampak sifat baran, maka jauhkanlah diri dari lelaki seperti ini. Mereka yang mempunyai sifat baran sebelum kahwin berisiko untuk menjadi lebih buruk selepas berkahwin. Lebih-lebih lagi apabila mereka tahu dengan adanya ‘kuasa veto’ yang mereka miliki akan disalahgunakan pula nanti.

Meskipun ianya terbukti selagi seseorang itu tidak tinggal sebumbung, selagi itu kita tidak akan kenal perangai sebenarnya. Namun sedikit sebanyak pasti sudah boleh tahu bagaimana orangnya. Seperti baru-baru ini, seorang aktres membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa pukul bekas tunangnya dan isu itu telah mendapat perhatian umum. Lalu hubungan pertunangan mereka sudah diputuskan dan itu merupakan satu langkah yang bijak sebelum mereka mendirikan rumah tangga. 

Berfikiran matang atau dewasa

Mereka yang berfikiran matang dapat dikenal pasti berdasarkan cara si dia berfikir atau cara si dia melontarkan sesuatu idea atau membuat keputusan. Jika mereka seorang yang matang, mereka mampu mengendali masalah yang datang dengan baik. Mereka akan bertindak secara rasional dan tidak akan marah tanpa usul periksa. 

Mereka yang matang tidak semestinya bergantung kepada umur. Umur seseorang tidak akan menentukan tahap kematangannya. Ada yang sudah berusia tapi masih bersifat kebudak-budakan. Tindak-tanduknya seolah-olah seperti tidak sesuai dengan umurnya, membuatkan si perempuan tidak senang dengan perbuatannya. 

“Kedewasaan tidak datang dengan usia, tetapi datang dengan penerimaan akan tanggungjawab” - Edwin Louis Cole

Berdasarkan statistik perceraian di Malaysia, hampir setiap tahun kes perceraian bagi pasangan Islam dilaporkan meningkat meskipun pelbagai langkah sudah diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara faktor remeh yang menjadi punca perceraian adalah disebabkan sikap tidak matang dalam mengurus masalah. Ianya dapat disimpulkan di sini bahawa tahap kematangan seseorang turut mempengaruhi hubungan rumah tangga yang akan dibina nanti.

Mempunyai cita-cita

Carilah mereka yang serius dalam percintaan, yang bukan mahukan keseronokan semata-mata malah turut memandang serius mengenai masa depan untuk jangka masa yang akan datang. Lebih-lebih lagi ketika mereka menitikberatkan mengenai persediaan apabila bersama isteri dan anak-anak kelak. Ini membuktikan bahawa si dia sudah benar-benar memikirkan tentang soal perkahwinan. 

Kalau mereka (lelaki) obses dengan anda tapi tanpa sebarang usaha atau cita-cita, itu bukanlah satu petanda yang baik. Mereka harus ada impian dan cita-cita untuk ke arah yang lebih baik dan terjamin. Mereka sepatutnya berfikiran jauh ke hadapan demi merancang masa depan.

Utamakan Keluarga

Lelaki yang yang menjaga hubungan dan tanggungjawab dengan ibu adalah salah satu ciri lelaki yang baik dan boleh menjadi calon suami yang hebat. Ada sesetengah persepsi mengatakan lelaki yang rapat dengan ibu mereka adalah seorang yang sangat manja. Namun sejauh mana kesahihan ini? Sedangkan dalam Islam juga ada menetapkan bahawa seorang ibu perlu didahulukan oleh seorang anak lelaki selagi ianya tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan.

Ramai wanita yang tidak tahu, lelaki yang memiliki ciri-ciri ini biasanya seorang yang penyayang. Oleh kerana dia sudah terbiasa melayan ibunya dengan memenuhi segala permintaannya, dia pasti akan lakukan perkara yang sama terhadap isterinya. Ini membuktikan dia akan sentiasa mendahulukan keluarganya daripada orang lain.

Selain itu, lelaki yang rapat dengan ibu adalah seorang lelaki yang gentleman. Mereka biasanya mempunyai perwatakan yang lemah lembut dan baik tutur kata dan pandai menghormati kaum wanita. 

Akhir kata, ‘bila anda dah jumpa lelaki yang baik, usah sesekali cari yang lagi baik kerana yang lagi baik belum tentu yang terbaik untuk anda’

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

Kongsi artikel ini: