Istilah ‘single’ tidak mengenal batasan usia

Jangan membiarkan perasaan mereka terguris hanya kerana belum memiliki pasangan di lewat usia. Jangan sesekali disebabkan kata-kata anda itu mampu mengakibatkan mereka berasa sangat tertekan...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Menurut Kamus Bahasa Melayu, bujang atau ‘single’ bermaksud seorang yang belum berkahwin baik lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata lain seorang yang tidak berpasangan. Seperti contoh tidak (belum) beristeri atau tidak (belum) bersuami.

Istilah ‘single’ tidak mengenal batasan usia bagi sesiapa sahaja. Sama ada orang itu orang dewasa yang belum nikah mahupun remaja yang sedang mencari pasangan. Istilah ini cukup terkenal pada masa kini terutama dalam kalangan remaja. Istilah ‘single’ ini juga diberikan kepada mereka yang belum memiliki status hubungan cinta atau tidak mempunyai kekasih.

Malah tidak dinafikan juga, istilah ini seolah-olah tidak wajar untuk diberikan kepada mereka yang sudah menjangkau usia lewat 30-an. Walaupun usia seseorang itu sudah memasuki lewat 30-an, mereka sebenarnya masih lagi layak diberi gelaran ‘single’. Selagi mereka belum berkahwin selagi itulah mereka layak diberi gelaran ‘single’.

Namun persepsi masyarakat kita telah mengubah segalanya. Dengar sahaja mereka yang berusia lewat 30-an yang belum berkahwin pasti akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan mereka. Ada yang memberi gelaran spesifik kepada mereka sedangkan status mereka juga masih sama seperti remaja lain yang belum berkahwin.

Jangan membiarkan perasaan mereka terguris hanya kerana belum memiliki pasangan di lewat usia. Jangan sesekali disebabkan kata-kata anda itu mampu mengakibatkan mereka berasa sangat tertekan. Sekiranya diri mereka tidak kuat mereka pasti akan menyalahkan takdir atau keadaan tentang kenapa diri mereka masih ‘single’. Malah ada juga yang melakukan perkara yang tidak wajar kerana kecewa atas gelaran yang diberikan.

Seperti yang berlaku baru-baru ini, seorang wanita sanggup mengakhiri kehidupannya dengan membunuh diri gara-gara masih belum menikah di usia 30 tahun.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya adalah, kenapa mereka yang lanjut usia masih ‘single’? Jawapannya mudah sahaja. Jodoh itu adalah misteri dan rahsia ilahi. Kalau Allah SWT masih belum katakan ‘ya’ untuk mereka, menjangkau usia 50-an pun belum tentu seseorang itu akan berjumpa dengan jodoh mereka. Selagi itu jugalah mereka layak diberi gelaran ‘single’.

Firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” (Surah al-Rum:21)

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap jodoh manusia sudah diciptakan namun masih lagi dijadikan rahsia. Secara hakikatnya, ramai orang yang berharap agar segera dipertemukan dengan jodohnya. Namun kadang kala hingga di usia senja pun jodoh masih juga tidak kunjung tiba. Kenapa? Cuba tanya pada diri anda sendiri.

Sudahkah anda bersedia untuk menukar status kepada seorang isteri/suami? Persediaan yang dimaksudkan adalah dari segi mental dan fizikal. Bukan bersedia dari segi luaran sahaja. Contoh: bukan hanya bersedia dari segi wang ringgit semata-mata. Ramai beranggapan “cukup duit, bolehlah kahwin”.

Selain itu, jodoh juga tidak kunjung tiba kerana peribadi anda yang tidak mahu berusaha dan sibuk menyalahkan takdir tentang kelewatan itu.

Kesimpulan

Sesungguhnya ajal, jodoh dan rezeki sudah ditetapkan oleh Allah SWT. Sekiranya anda masih belum dipertemukan dengan jodoh yang sesuai, usahlah kecewa akan takdir yang telah tertulis. Tidak ada salahnya kalau anda masih lagi diberi gelaran ‘single’.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: