fbpxRahsia menjadi lelaki ‘handsome’ di mata wanita

Rahsia menjadi lelaki ‘handsome’ di mata wanita

Rahsia menjadi lelaki ‘handsome’ di mata wanita

Apabila berbicara mengenai ‘handsome’ kita akan mengatakan ia sinonim dengan sifat lelaki. Setiap lelaki ingin menjadi ‘handsome’ terutama apabila berada di hadapan wanita yang mereka cintai...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Apabila berbicara mengenai ‘handsome’ kita akan mengatakan ia sinonim dengan sifat lelaki. Setiap lelaki ingin menjadi ‘handsome’ terutama apabila berada di hadapan wanita yang mereka cintai. ‘Handsome’ atau cantik itu sewajarnya bagaimana?

Sudah tentu kita bukan mahu berbicara sekadar kecantikan yang bersifat luaran semata-mata. Cantik kerana bedak yang disapu ke muka, cantik kerana gaya rambut atau cantik kerana memakai pakaian yang cantik. Kita mahu berbicara tentang konsep cantik yang sebenar.

Konsep cantik yang sebenar itu, sesungguhnya tidak pernah memisahkan antara jantina, lelaki mahupun perempuan. Justeru, sebagaimana wanita perlu menjadi cantik untuk pasangannya, maka lelaki juga wajib menjadi cantik untuk pasangan mereka.

Kecantikan seorang lelaki.

Inilah yang perlu diberi perhatian oleh seluruh kaum Adam, terutama yang masih belum melangkah ke alam rumahtangga. Tidak terkecuali juga mereka-mereka yang sudah berumahtangga. Selalukah anda membuat muhasabah tentang kecantikan diri anda untuk bakal pasangan (bagi yang belum berkahwin) dan di hadapan pasangan (bagi yang sudah berkahwin) ?

Lelaki yang lambat matang dan tidak pernah mahu matang, adalah lelaki yang hidupnya hanya bermodalkan ‘macho‘ dan ‘handsome‘ untuk menawan hati pasangan. Kerana apa saya sebutkan isu matang? Kerana, lelaki seperti itu tidak pernah mahu sedar bahawa tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar adalah sebagai pemimpin yang ulung kepada pasangan mereka.

Dan untuk memimpin, macho sahaja tidak cukup. Berlagak gentleman sahaja belum memadai. Sebaliknya elemen-elemen penting yang membawa kecantikan kepada diri mereka perlulah diambil perhatian secara serius.

Ciri lelaki ‘handsome’.

Ada beberapa ciri yang boleh menyebabkan lelaki itu bukan sahaja ‘handsome’ daripada segi luaran, bahkan paling penting untuk kita cantik dari dalaman. Kami sediakan beberapa ciri yang mungkin anda boleh ikut dan amalkan untuk menjadi lelaki yang ‘handsome’ pada akhlaknya.

1. Jaga hubungan dengan Allah.

Ini merupakan ciri yang sangat penting. Sesungguhnya kejernihan dan ketenangan pada wajah seseorang hanya dapat dianugerahkan oleh Allah dan bukannya oleh produk-produk kecantikan yang ditempek ke muka siang dan malam. Dan wanita, sangat suka kepada lelaki yang menjaga hubungan dengan Allah. Mereka yang menjaga hubungan baik dengan Allah insyaAllah akan menjaga hubungan baik juga dengan sesama manusia.

2. Akhlak dan peribadi.

Akhlak dan peribadi yang cantik merupakan suatu eleman bonus kepada lelaki. Ini kayu ukur paling utama kepada kecantikan seseorang lelaki. Wanita akan menilai seseorang lelaki itu cantik apabila peribadi lelaki itu benar-benar memikat hatinya. Tidak berpoya-poya, tidak mengambil kesempatan, tidak hipokrit, tidak bermuka-muka dan tidak menindas kaum wanita.

3. Sifat kepimpinan.

Lelaki mesti mempunyai sifat kepimpinan kerana merekalah bakal pemimpin kepada isteri dan anak-anak mereka. Lelaki yang tidak mahu mengambil berat tentang nilai ini dalam diri mereka, akan menjadi lelaki yang rendah nilainya di mata wanita. Ini kerana, ‘kecantikan’  dirinya ibarat sudah tiada. Apatah lagi jika dia yang sepatutnya memimpin, tetapi dengan pasangan menjadi orang yang dipimpin pula. Maka, terjadilah istilah baru iaitu ‘Queen Control’.

4. Matang dan sabar.

Wanita adalah kaum yang suka dilindungi. Sejauh mana pun mereka melangkah, mereka tetap mahu didampingi dan mereka tetap mahukan tempat berpaut. Wanita tidak suka kepada lelaki yang keanak-anakan, tidak pandai mengurus emosi, tidak sabar, tidak bijak membahagikan masa dan sebagainya. Kesemua kecacatan ini bisa menjadikan seseorang lelaki tampak sangat hodoh di mata wanita.

5. Ada matlamat hidup.

Seorang lelaki yang mempunyai visi serta misi yang jelas dalam hidupnya, akan menjadi rebutan ramai wanita. Ini kerana, lelaki tersebut sebenarnya telah menjadi sangat cantik di mata wanita. Dia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa dirinya bukan seorang yang tidak serius, bukan seorang yang tiada matlamat, bukan seorang yang sambil lewa sebaliknya seorang yang benar-benar konsisten dengan target hidup. Sesiapa yang melangkah bersamanya akan beroleh selamat. Inilah perkara yang sangat disukai oleh kaum wanita.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: