SEBAB LELAKI RAGU-RAGU UNTUK BERCINTA

Meskipun lelaki sering dilabel sebagai seorang hero namun mereka tetap layak untuk memiliki perasaan ‘takut’. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah ada pengalaman dalam percintaan dan malangnya hubungan itu berakhir dengan perpisahan...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Ramai perempuan di luar sana yang terkilan akan perangai lelaki apabila langsung tidak menunjukkan reaksi untuk serius dalam bercinta. Mereka lebih memilih untuk berkawan sahaja daripada memulakan sebuah hubungan. Rata-rata jawapan yang diberikan oleh kaum lelaki adalah ‘saya belum bersedia’, ‘masih terlalu awal’.

Namun lain pula yang bermain di fikiran para wanita. Mereka merasakan seolah-olah si lelaki tidak berminat dengannya. Mereka juga berpendapat bahawa si lelaki itu terlalu memandang pada kesempurnaan dalam memiliki pasangan hidup. Namun sejauh mana kebenaran bagi persepsi itu yang dilemparkan terhadap kaum lelaki? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui sebab kenapa lelaki masih ragu-ragu untuk bercinta:

Cinta lama masih menyelubungi diri mereka

Meskipun lelaki sering dilabel sebagai seorang hero namun mereka tetap layak untuk memiliki perasaan ‘takut’. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah ada pengalaman dalam percintaan dan malangnya hubungan itu berakhir dengan perpisahan. Hubungan cinta lama masih segar dalam ingatan mereka dan membuatkan mereka masih ‘trauma’.

Soal hati dan perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa. Hanya individu itu sendiri yang mampu mengubahnya. Sekiranya si lelaki masih tidak dapat melupakan cinta lama, itu tandanya si dia masih tidak terbuka hatinya untuk menerima ‘orang’ baru. Kekecewaan daripada cinta lama membuatkan si dia masih belum bersedia dan takut sekiranya dikecewakan lagi buat kali kedua.

Takut sekiranya cinta tidak dibalas

Ada segelintir antara mereka yang pernah berusaha untuk mendapatkan wanita yang diminatinya. Namun malangnya cinta itu tidak dibalas oleh wanita tersebut. Setebal mana pun mukanya pasti terbit juga perasaan malu dalam diri setelah usahanya itu gagal.

Mungkin ada sesetengah daripada mereka yang masih berani untuk berusaha lagi, namun ada juga yang sudah takut untuk meneruskan misi mereka. Lalu diharapnya ‘perigi mencari timba’ pula. Zaman sekarang perkara itu sudah menjadi tidak asing lagi. Tidak ada salahnya untuk perempuan pula yang memulakan terlebih dahulu.

Takut akan kehilangan

Masyarakat telah ditularkan dengan berita seorang lelaki terpaksa menerima qada’ dan qadar apabila wanita yang bakal dikahwininya meninggal dunia akibat penyakit kanser. Impak daripada peristiwa itu membuatkan si lelaki masih belum bersedia membuka hatinya untuk wanita lain. Hal ini kerana kesan daripada kehilangan suri hatinya itu masih segar dalam ingatannya.

Dia juga berasa takut sekiranya berlaku ‘kehilangan’ lagi buat kali kedua. Jangan sesekali kita mempertikai akan tindakannya. Mereka pasti mempunyai sebab tersendiri. Berilah mereka ruang untuk mengembalikan keyakinan mereka itu.

Masih belum bersedia dengan komitmen

Untuk menjadi seorang ketua keluarga bukanlah perkara yang mudah. Bagi setiap lelaki, tanggungjawab mereka secara automatik akan menjadi lebih berat selepas mereka bergelar seorang suami. Jika dibandingkan dengan seorang wanita, komitmen bagi seorang lelaki ternyata lebih tinggi.

Kaum lelaki masih terikat dengan komitmen terhadap keluarga mereka. Lebih-lebih lagi terhadap ibu bapa dan juga bagi mereka yang masih mempunyai adik-adik yang perlu diberi perhatian. Setelah mendirikan rumah tangga, komitmen itu akan menjadi lebih besar sejurus mereka mempunyai seorang isteri dan anak-anak kelak. Oleh sebab itulah mereka memberi alasan ‘belum bersedia’. Sebagai wanita, anda haruslah hormat dengan keputusannya.

‘Permintaan’ perempuan terlalu tinggi

Pada zaman kini, soal hantaran pun boleh mengakibatkan berlakunya perbalahan antara masyarakat. Jumlah hantaran yang telah ditetapkan oleh pihak perempuan ada kalanya seperti tidak masuk akal. Akibat trend terkini yang terlalu pentingkan adat sehinggakan yang wajib dilupakan.

Gara-gara perkara ini jugalah ramai lelaki di luar sana memilih untuk terus hidup membujang. Oleh itu, bagi kaum perempuan pastikan ‘permintaan’ anda itu sejajar dengan kemampuan si lelaki.

Kesimpulan

Bagi kaum wanita, jangan terlalu menyalahkan kaum lelaki atas perkara ini. Mereka juga mempunyai sebab tersendiri yang ada kalanya mahu disimpan seorang diri tanpa mengekspresikannya. Apa yang anda harus lakukan adalah dengan menghormati pendiriannya. Pasti hati mereka akan terbuka suatu hari nanti. Usah sentiasa berfikiran negatif sahaja terhadap setiap penolakan cinta itu.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: