fbpxTIPS MEMBUKA PINTU REZEKI

TIPS MEMBUKA PINTU REZEKI

TIPS MEMBUKA PINTU REZEKI

"sebagai manusia, kita mestilah berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT untuk memperoleh rezeki yang halal"

Dikarang oleh 91468 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Setiap rezeki manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT. Jadi, sebagai manusia, kita tidak perlu risau akan hal ini. Seperti yang telah disebut di dalam surah Al-An’am ayat 151 yang bermaksud; “Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. (yakni anak-anak)”. Namun, sebagai manusia, kita mestilah berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT untuk memperoleh rezeki yang halal. Terdapat beberapa amalan yang patut diamalkan dalam memperoleh rezeki yang halal. Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut:

Sentiasa beribadah kepada Allah SWT

Solat merupakan tiang agama bagi umat islam dan merupakan perkara wajib yang patut di laksanakan. Jangan sesekali meninggalkan solat 5 waktu dan sebaik-baiknya ditunaikan secara berjemaah kerana pintu rezeki sentiasa terbuka luas bagi mereka yang sentiasa beribadah kepada Allah SWT.

Sentiasa beristighfar

Istighfar bermaksud, pengakuan dosa dan rintihan seorang hamba di hadapan Allah SWT, dan ini boleh menyebabkan Allah SWT akan bertambah kasih kepada kita. Sesungguhnya Dia Maha Mengasihi dan Maha Pengampun. Sabda Nabi SAW:

“Barang siapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaanya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)

Banyakkan bersedekah

Amalan bersedekah adalah amalan yang ajaib. Setiap kali kita bersedekah, Allah akan tambahkan lagi rezeki kita, namun, bersedekah mestilah dengan niat kerana Allah SWT. Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak sekali ayat yang menyeru manusia untuk senantiasa bersedekah. Di antara salah satu ayat di dalam Al-Quran adalah;

''Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.'' (QS An Nisaa [4]: 114). Namun, pahala sedekah juga akan lenyap sekiranya si pemberi selalu menyebut-nyebut sedekah yang telah diberikan dan menyakiti perasaan si penerima. Hal ini juga telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: ''Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima.'' (QS Al Baqarah [2]: 264).

Amalan Solat Dhuha

Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan setelah terbit matahari hingga menjelang masuk waktu Zohor, lebih afdal dilakukan pada waktu pagi ketika matahari sedang naik, dalam erti kata lain, ketika manusia lain sedang sibuk dalam mengejar urusan duniawi (aktiviti harian), ianya membawa kepada pintu rezeki yang luas bagi mereka yang mengamalkan Solat Dhuha ini. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

Berbakti dan sentiasa mendoakan Ibu Bapa

Berbakti dan mendoakan Ibu Bapa adalah salah satu amalan di mana Allah akan membuka pintu rezeki yang luas buat mereka yang mengamalkannya. Islam mewajibkan ke atas setiap anak agar mentaati ibu bapa. Ini adalah kerana, Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas Allah SWT dan Rasul-Nya. Seperti yang telah disebut dalam Hadis,

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami). Oleh itu, sebagai anak, kita wajib mentaati ibu bapa selagi tidak bercanggah dengan hukum syara'.

Berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT

Apabila kita berdoa, jarak kita dengan Allah menjadi semakin dekat. Dalam Al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan, namun, janganlah kita mudah berputus asa dalam berdoa. Bersyukur bererti pengakuan atas segala nikmat dari Allah.

Firman Allah SWT maksudnya :  “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)

Setelah mengamalkan amalan-amalan yang tertera di atas, kita mestilah bertawakal. Yang membawa maksud, berserah semata-semata kepada Allah SWT setelah berusaha, maksud firman Allah SWT: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah At-Thalaq ayat 3). Mari lah kita mengamalkan amalan-amalan ini agar pintu rezeki sentiasa terbentang luas untuk kita.

InshaAllah :)

 
Kongsi artikel ini: