Wujudkah Cinta ‘Islamik’?

Mempunyai perasaan cinta pada lawan jantina sebenarnya sesuatu yang normal. Ia tidak menyalahi adat dan kebiasaan. Jika sebaliknya, itu tanda tidak normal.

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Cinta Islamik sebenarnya adalah label yang diberi bagi menggambarkan cinta yang berlandaskan Islam. Pada pendapat saya, sebenarnya cinta Islamik tidak wujud. Cinta adalah cinta. Hukum cinta tetap sama biarpun dilabel dengan perkataan Islamik ataupun tidak. Pada asasnya cinta bukanlah perkara yang salah. Namun perbuatan yang melanggari hukum dan batas-batas agama atas nama cinta itulah yang membuatkan cinta itu menjadi salah.   

Cinta merupakan suatu perkara yang berkaitan dengan hati dan perasaan. Cinta boleh ditafsirkan sebagai perasaan kasih dan sayang kepada seseorang ataupun sesuatu. Malah dengan perasaan cinta itu akan terzahir perbuatan mengambil berat, menjaga sehingga sanggup berkorban demi cinta kita tersebut. Inilah pengertian cinta.

Cinta harus diungkapkan dengan baik dan benar sesuai dengan ukurannya. Jika tidak, ia boleh merosakkan kita. Cinta yang hakiki dan tidak boleh dinafikan lagi tentulah kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Ali Imran : Ayat 31)

Hukum Cinta Berlainan Jantina

Mempunyai perasaan cinta pada lawan jantina sebenarnya sesuatu yang normal. Ia tidak menyalahi adat dan kebiasaan. Jika sebaliknya, itu tanda tidak normal. Mereka perlu segera diubati. Lelaki dan perempuan yang normal akan mempunyai perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam surah An-Nisa yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai..."

(Surah An-Nisa: Ayat 1) 

Oleh sebab itu, perkahwinan merupakan satu bukti dan usaha yang terhasil daripada cinta berlawanan jantina. Jika anda jatuh cinta kepada seseorang, perasaan itu bukanlah dosa. Namun perasaan itu mestilah diuruskan dengan betul dan sesuai dengan ajaran Islam. Caranya ialah dengan berterus terang kepada si dia ataupun walinya. Jika cinta anda berbalas, usahakan untuk berkahwin. Cinta kepada suami atau isteri selepas berkahwin jauh lebih baik dan lebih membahagiakan anda. Percayalah!

Cinta Di Universiti

Universiti atau tempat pengajian adalah salah satu tempat kebiasaan bagi anak muda bertemu dengan bakal pasangan dan bercinta. Jika tanya pendapat saya, boleh sahaja bercinta semasa belajar dengan syarat anda menjaga etika seorang Muslim seperti yang saya sebutkan sebelum ini. 

Seorang mahasiswa pengajian awam dan swasta, pada fikiran saya sudah matang menilai baik dan buruk. Anda bukan lagi di zaman persekolahan dengan ala-ala ‘cinta monyet’. Boleh bercinta bukan bermakna kita habiskan masa 24 jam dengan si dia. Ingat tujuan utama sebagai seorang mahasiswa adalah untuk belajar bukan bercinta. Cinta anda di kampus biar berpada. Fokus utama anda ialah belajar dan apabila bergelar graduan nanti, usahakan untuk memperolehi pekerjaan yang baik.

Biar si dia menjadi pemangkin untuk anda belajar dengan bersungguh-sungguh. Apabila tamat belajar nanti, anda boleh mendapatkan pekerjaan yang baik. Ini sangat penting terutamanya bagi golongan lelaki untuk menyara keluarga kelak. Lepas itu, apa lagi? Masuklah meminang. Barulah gentleman! 

Berpadalah Dengan Cinta!

Cinta ada masanya bahagia. Ada masanya juga menyakitkan. Oleh sebab itu, berpadalah dengan cinta. Mencintai seseorang bukanlah diukur berdasarkan label yang diberi, Islamik atau tidak tetapi apa yang lebih penting ialah pengisian cinta kita. Apakah cinta kita itu mengikut landasan Islam ataupun menyalahi hukum agama. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: