Batasan aurat Lelaki dan Wanita

Kali ini diriku rasa terpanggil untuk menjelaskan perihal satu masalah yang dipandang biasa oleh kebanyakan remaja. Firasatku mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan dan jika beliau memang antara seseorang yang mendalami ilmu Islam.

 
Yang sedihnya, golongan yang memahami inilah yang telah melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Contohnya, berseluar pendek, berbaju ketat dan sebagainya.


Apa itu aurat?


Aurat adalah suatu kehormatan diri bagi seseorang, yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Walau di dalam apa jua keadaan, menjadi kewajipan ke atas umat Islam menutup aurat. Definisi lain ialah sesuatu yang tidak dibenarkan wanita mempersembahkannya di hadapan lelaki ajnabi ataupun sebaliknya.


Dalil-dalil berkenaan penjagaan aurat :


Maksud ayat al-Quran,


Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.

 

(al-A`raaf 7:31)

 
Rasulullah saw bersabda:


“Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram.”

 

(Hadith Riwayat Aththahawi)

 
“Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?’ Nabi saw menjawab, “Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu.”

  (Hadith Riwayat Bukhari)

 

“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.”

 

(Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)

 
Jadi berdasarkan dali-dalil di atas menjadi kewajipan ke atas kita menjaga aurat,Maka hukum di sini jika kita membukanya adalah haram dan ditegah dalam agama. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk perubatan. Orang-orang yang suka mendedah aurat mereka pasti akan di azabkan dengan azab yang pedih di akhirat kelak


Batasan-batasan aurat :


A.Aurat di khalayak awam


1. Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak.


2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.

B.Aurat dengan ahli keluarga


1. Bagi Lelaki, antara pusat dan lutut

2. Bagi perempuan, antara pusat dan lutut


C.Aurat sesama jantina (dengan syarat tiada fitnah)


1.Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut

2.Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut

*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.

D.Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)


1.Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan yang wajib ditutup.

2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut

 

Etika menutup aurat


1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya


2.Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.