Peringatan untuk ahli BaitulMuslim.com [SANGAT PENTING]

99% orang yang menyertai sistem cari jodoh online tidak ada masalah. Ada 1% yang akan menghadapi pelbagai masalah. Ini enam ( 6 ) tips kami untuk orang yang kurang berpengalaman mencari jodoh secara online untuk mengelak dari masalah:
 
1 . JANGAN SESEKALI BERIKAN WANG JIKA DIMINTA. 
 
Pelbagai alasan akan diberikan untuk meminjam wang yang tidak akan dikembalikan seperti alasan untuk berniaga, menjelaskan hutang, menjelaskan bil perubatan, bayar hutang along, duit sudah kehabisan, nenek sakit, kucing sakit dan sebagainya. Juga berhati hati dengan orang yang meminta wang melalui telefon luar negara  atau dalam negara, berjanji untuk berkahwin tetapi belum boleh pulang dari luar negara. Ada yang memberi alasan tersangkut di lapangan terbang dan ada yang mengaku sebagai pegawai imegresen atau polis minta memasukkan wang dengan segera ke akaun atas nama perseorangan. ini semua adalah modus operandi macau scam atau love scam. mereka ada di mana mana sahaja sama ada di website atau media sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya. Akhirnya orang ini akan hilang begitu sahaja. Ini adalah masalah yang berulang-ulang dan jangan masukkan diri anda dalam statistik mangsa pinjaman wang tidak dibayar balik. hubungi pihak kami terlebih dahulu sebelum memberikan wang. 
 
Belajar untuk berkata "TIDAK". Jika dia meminta wang, anda sudah berada di zon merah. keluar segera. Jangan kata baitulmuslim.com tak payung. Jika terpaksa juga memberi pinjam (tidak memberi pinjam adalah lebih baik dari mengejar balik pinjaman) pastikan pinjaman dibuat dengan perjanjian yang dibuat oleh peguam/lawyer. maklumat peguam di kawasan anda ada di internet.
 
2 . JANGAN BERJUMPA DENGAN BUKAN MAHRAM SECARA BERSENDIRIAN 
 
pastikan ada teman atau teman yang memantau dari jauh. Berdua-duaan bagi yang belum berkahwin adalah permulaan kepada kebanyakkan perkara yang tidak diingini. Ramai yang mahu mengambil kesempatan bila berduaan dan cuba membawa kita ke tempat yang tidak sepatutnya seperti hotel, berduaan dalam kereta di tempat sunyi dan sebagainya. Keselamatan anda adalah paling utama, cari pasangan itu perkara kedua. Bagi wanita jika terpaksa dating (elakkan selagi boleh) wajib ada teman bersama atau dari jauh (adik atau kawan rapat). Jika itu pun si dia tidak selesa, mungkin si dia ada agenda lain.
 
3. JIKA SI DIA ADALAH LELAKI YANG SUDAH BERUSIA 30 TAHUN DAN KE ATAS, PASTIKAN DIA BETUL BETUL BUJANG
 
Minta IC si dia untuk kepastian umur. Kemudian siasat lebih lanjut tentang rumah yang dia tinggal. Paling penting mesti boleh berjumpa ibu ayah atau ahli keluarganya yang TULEN. Ini untuk memastikan dia betul betul bujang. Pengakuan dari si dia tidak boleh diterima sepenuhnya. Sekalipun anda tidak bermasalah untuk berpoligami, anda perlu tahu status perkahwinannya dari awal untuk mengelakkan masalah di masa hadapan. 
 
Fikir 10 kali jika diajak nikah thailand. seronok sekejap tapi jangka masa panjang akan mendatangkan masalah kepada hubungan antara keluarga, taraf anak dan faraid harta. poligami itu ok jika nikah mengikut undang-undang, pasangan sangat-sangat berkemampuan dan semua pihak berpuas hati. Jangan belakangkan keluarga dalam membuat keputusan. 
 
4. JIKA SI DIA MULA MENGGUNAKAN KATA KATA LUCAH LAPORKAN KEPADA ADMIN DAN JIKA PERLU  LAPORAN POLIS AKAN DIBUAT
 
Ya, kadang kadang ada orang gila yang masih belum masuk hospital sakit jiwa ada dalam masyarakat. Segerakan hantar dia ke hospital sakit jiwa dengan cara maklumkan baitulmuslim.com dengan segera.  
 
5. JANGAN BERIKAN MAKLUMAT PERIBADI KEPADA ORANG YANG ANDA KURANG KENAL
 
Jangan berikan nombor telefon, email, alamat rumah, maklumat peribadi, maklumat media sosial dan lain-lain melainkan kepada orang yang anda percaya. 
 
6. JIKA SI DIA BELUM MAHU BERJUMPA AHLI KELUARGA ANDA, ANDA MUNGKIN PERLU BERHATI-HATI
 
Jangan terlalu cepat menaruh harapan kepada seseorang. Kesungguhan seseorang itu tidak akan dapat dibuktikan dengan baik melalui mesej sahaja. Jika seseorang berkata dia serius mahu berkahwin dengan kita tetapi anda tidak boleh berjumpa dengan ibu bapanya yang sebenar atau dia tidak masih belum mahu berjumpa dengan ibu dan ayah anda, anda patut lebih berhati-hati dan persoalkan perhubungan itu kerana ada orang yang tidak serius untuk menjadikan kita isteri atau suami. Jika tidak boleh berjumpa dengan keluarga kita, apa sebenarnya motif perhubungan itu?
 
4 perkara yang melayakkan laporan polis dibuat ialah meminta wang, kata-kata lucah, mengajak kepada maksiat dan berkahwin mengaku bujang. Kami akan membantu anda untuk membuat laporan polis. Berikan gambar individu terbabit untuk rekod kami.  ​
 
kepada yang masih belum bertemu pasangan, teruskan usaha dan jangan putus asa. laman web baitulmuslim.com hanyalah medium, ketentuan jodoh adalah terserah kepada Allah s.w.t. 
 
Ini hanyalah sekadar peringatan sahaja. Kebanyakkan ahli baitulmuslim.com adalah baik dan beradab. sifat berhati-hati dan bersabar tanpa tergopoh gapah adalah untuk kebaikan diri anda sendiri.

sebarang permasalahan sila hubungi
Admin Baitulmuslim.com
Whatsapp link: https://baitulmuslim.com/whatsapp
Telefon/SMS: 601158589024