Apabila lelaki dan perempuan bersahabat
Apabila lelaki dan perempuan bersahabat
Allah telah menciptakan manusia itu dalam keadaan pelbagai bangsa dan berbeza jantina lelaki dan perempuan. Tujuannya ialah supaya manusia itu saling kenal mengenal antara satu sama lain...
Allah telah menciptakan manusia itu dalam keadaan pelbagai bangsa dan berbeza jantina lelaki dan perempuan. Tujuannya ialah supaya manusia itu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Allah swt. telah berfirman dalam surah Al Hujurat, ayat ke 13 yang bermaksud;
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
(Surah Al Hujurat : Ayat ke 13)
Lelaki dan perempuan.
Kedua-dua lelaki dan wanita, hidup sebagaimana yang ditetapkan ke atas mereka. Lelaki cenderung menjadi gagah lagi kuat fizikalnya, manakala wanita cenderung menjadi lembut dan tertib. Lelaki sampai kiamat tidak akan boleh mengandung apatah lagi beranak. Wanita pula pasti akan didatangi haid dan sebagainya. Mereka, lelaki dan wanita, hidup sebagai diri mereka. Satu sama lain tidak boleh menukar keistimewaan diri masing-masing walaupun kedua-duanya mahu.
Islam, sebagai satu cara hidup yang paling sempurna dan sesuai untuk semua manusia, tidak hanya berbicara perihal solat dan zakat. Bahkan Islam juga membicarakan tentang bab mu’amalat iaitu perhubungan sesama manusia. Termasuk juga perbincangan tentang perhubungan antara lelaki dan wanita.
Apabila lelaki dan wanita hidup sebagai diri masing-masing, maka di sana ada etika tertentu yang perlu mereka patuh dan ikut jika mahu berhubung sesama mereka. Sungguh Allah itu tidak zalim dan kejam, sehingga menyekat manusia berjantina lelaki untuk hidup serta bergaul sesama lelaki sahaja manakala wanita juga hanya bergaul sesama wanita sahaja.
Salah faham seperti ini, kerap kali menjadikan wanita sebagai mangsa, sehingga pergerakan mereka terbatas dan sudut pandang mereka menjadi sempit. Hakikatnya, mangsa yang sebenar bukanlah wanita sebaliknya Islam itu sendiri ditohmah sebagai punca kepada sindrom tersebut.
Pergaulan.
Bergaul dan bersahabat merupakan satu aktiviti sosial semasa manusia. Islam tidak menyekat manusia untuk maju. Bermakna, Islam juga tidak menyekat manusia bertindak atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan mereka maju. Antara cara manusia maju adalah dengan bekerja, terlibat dengan bisnes, mendekati masyarakat dan sebagainya.
Secara dasarnya, kedua-dua lelaki dan wanita tidak disekat untuk memajukan diri mereka dalam apa sahaja aspek yang mereka ceburi. Tidak ada istilah hanya lelaki boleh maju, wanita perlu duduk di rumah. Islam itu prinsipnya bukan menyekat, sebaliknya memberi saluran dan alternatif.
Apabila manusia bergerak untuk maju, mereka akan bertemu dalam lapangan-lapangan tertentu. Seumpama kehidupan di kampus, kerja di pejabat mahupun turun memberi sumbangan pada masyarakat. Manusia yang bertemu ini, bukan hanya sesama jantina sebaliknya lelaki pasti akan bertemu wanita, dan wanita pula akan bertemu lelaki. Islam tidak menghalang perkara tersebut.
Tidak haram lelaki bertemu wanita dalam satu-satu lapangan kerja, begitu juga wanita tidak haram bertemu lelaki. Mereka boleh berhubung, bergaul dan bekerja bersama-sama. Cuma, Islam menyalurkan manusia dengan etika yang betul. Etika inilah yang akan menjadikan pergaulan serta perhubungan tadi selamat, bukan hanya di dunia bahkan hingga ke akhirat. Antara etika yang Islam tetapkan adalah menjaga pandangan.
Tundukkan pandangan.
Menundukkan pandangan maksudnya jangan pandang tanpa ada keperluan untuk pandang. Jangan pandang dengan nafsu. Jangan pandang dengan keinginan tertentu. Jangan pandang tempat-tempat tertentu.
Jangan dan jangan ini, untuk kebaikan manusia sendiri. Apabila suka pandang, dari mata jatuhlah ke hati. Salah. Dari mata jatuhlah ke nafsu. Timbullah keinginan-keinginan tertentu. Akhirnya bila bertemu jalan buntu, zinalah menjadi jalan keluar paling mudah.
Bersahabat dengan perempuan.
Lelaki dan wanita berbeza ciptaannya. Bersentuh tangan atau duduk dekat-dekat sesama jantina, tidak sama dengan bersentuh tangan atau duduk rapat-rapat dengan beza jantina. Ada ‘cas’ tertentu yang akan mengalir. Oleh itu, Islam sama sekali mengharamkan sentuh menyentuh, pegang memegang, tepuk menepuk, dakap mendakap dan yang sewaktu dengannya oleh manusia yang berbeza jantina kecuali setelah berkahwin.
Bersahabat mesti ada tujuan. Dan tujuan yang dibenarkan dalam Islam adalah tujuan yang membawa kepada Al-Birr (kebaikan) dan At-Taqwa (ketaqwaan). Sebagaimana Firman Allah ta’ala dalam Surah Al-Maaidah;
”dan hendaklah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan , dan janganlah kamu sekalian bertolog-tolong dalam perkara maksiat dan permusuhan“
Jadi, kalau bersahabat atas dasar taqwa dan kebaikan, caranya juga mestilah ada ciri-ciri orang bertaqwa dan orang yang membawa kebaikan. Orang bertaqwa tidak akan sembrono sahaja bergaul dengan bukan mahramnya. Dia pasti akan memelihara adab dan sahsiahnya. Begitu juga, tujuan yang sama-sama diusahakan juga tentulah yang menuju kepada Allah, seumpama dalam satu team dakwah, program untuk masyarakat dan sebagainya.
Kesimpulan.
Sebagai mukmin yang membawa Islam sebagai cara hidup, lelaki mahupun wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam hanya kerana sikap masing-masing. Kadang-kadang, ada wanita yang kononnya terlalu ‘menjaga perhubungan’ sehingga pergaulannya dengan lelaki meskipun dalam hal-hal kerja menjadi begitu sempit, tertutup dan menyusahkan. Jadi, anda yang menentukan persahabatan yang macam mana yang anda ingin bentuk. Bersahabat kerana Allah dan dengan redha Allah ataupun sebaliknya.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?