APAKAH HUKUM MELIHAT TUNANG/BAKAL ISTERI?

APAKAH HUKUM MELIHAT TUNANG/BAKAL ISTERI?

"kecantikan memang perlu untuk mengekalkan kasih sayang antara suami isteri"

Dikarang oleh Inaaina | Dakwah
Hukum, Melihat, Tunang

Gadis yang mempunyai wajah yang cantik dan manis sering menjadi pilihan utama lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga. Ini memang tidak dapat dinafikan kerana faktor inilah yang menjadi pendorong buat para lelaki untuk berkahwin. Rasulullah SAW bersabda:

“Wanita dikahwini kerana harta, kecantikan, keturunan, atau agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beruntung”

Ya, ianya benar kecantikan memang perlu untuk mengekalkan kasih sayang antara suami isteri, tetapi kecantikan juga mampu membawa kepada kemusnahan sebuah rumah tangga. Hanya wanita cantik yang dididik dengan syariat sahaja yang mampu untuk membahagiakan rumah tangga mereka.

Kembali kepada tajuk entri pada kali ini, sudah pasti sebelum seorang lelaki ingin mengahwini si perempuan, si lelaki pasti mahu melihat dahulu bagaimana rupa bakal isteri mereka kan? Cantik ke bakal isteriku ini? Mereka akan menjadi tertanya-tanya akan soalan ini. Namun, apakah hukum melihat tunang? Wajib atau sunat? Ikuti cerita mengenai Siti Aisyah dan Rasulullah SAW sebelum mereka disatukan.

“Wahai puteriku, Aisyah, kau hantarkanlah buah kurma ini ke rumah Rasulullah SAW dan katakan kepadanya:

“Ya Rasulullah, ini sahaja yang ada padaku.”

Siti Aisyah mengangguk tanpa banyak soal. Sebaik sahaja sampai di rumah Rasulullah SAW, Siti Aisyah pun memberi salam dan lantas di jawab oleh baginda.

Siti Aisyah pun menghulurkan barang pesanan ayahandanya, Saidina Abu Bakar As Siddik, seraya berkata,

“Ya Rasulullah, ini sahaja yang ada padaku.”

Rasulullah tersenyum panjang, sebuah senyuman yang penuh bermakna. Senyumnya berbalas. Wajah anak comel itu ditenungnya dengan pandangan penuh kasih sayang.

“Terima kasih. Khabarkan kepada ayahandamu, aku menerimanya.”

Aisyah pun berlalu tanpa mengetahui rahsia sebenar disebalik kata-kata Rasulullah itu. Apabila sampai di rumah, Siti Aisyah pun memberitahu apa yang telah diperkatakan oleh Rasulullah kepadanya. Saidina Abu Bakar pun tersenyum lebar lalu diciumnya dahi puteri kesayangannya itu. Rupa-rupanya itulah pengikat kata tali pertunangan antara Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah r.a tanpa memerlukan sebarang hantaran yang mahal-mahal mahupun perbelanjaan yang mahal, cukup hanya sekadar sepiring buah kurma dan sebuah kata-kata simbolik.

Kita sebagai umatnya digalakkan agar mencontohi setiap tindak tanduk Rasulullah, kerana besar pahalanya dan dirahmati Allah SWT. Oleh itu, bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga, amalkan sunnah Rasulullah SAW iaitu:

  1. Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah seorang perempuan (wakil) untuk memeriksa latar belakang peribadi gadis pilihannya itu.

  2. Semasa di majlis peminangan, DISUNATKAN pihak lelaki melihat bakal tunangnya itu, Aurat yang boleh dilihat ialah, MUKA dan DUA TAPAK TANGAN.

  3. MUKA - untuk mengetahui kecantikan dirinya. Bila sudah saling bertentangan mata, bertambahlah kasih sayang di hati. Sabda Rasulullah:

“Kamu lihatlah kepadanya, maka sesungguhnya mudah-mudahan terpadulah kasih di antara kamu berdua.”

  1. DUA TAPAK TANGAN - untuk memastikan kesuburan tubuh badannya

Berdasarkan entri kali ini, ianya sudah jelas bahawa kaum lelaki adalah DISUNATKAN melihat tunang/bakal isteri mereka. Tetapi ingat, anda dilarang melihat tunang/bakal isteri secara bersendirian! Sekadar perkongsian dari baitulmuslim. Wallahualam.

“Tidak boleh sesiapa pun di antara kamu berkhalwat dengan seorang perempuan melainkan hendaklah bersama-sama muhramnya (bapa atau keluarga yang diharamkan berkahwin dengannya” - Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Dipetik dari Rahsia Kepimpinan Suami Dalam Rumah Tangga - Fauziah Mohamad

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar