HUKUM BERKAHWIN DENGAN SEPUPU DALAM ISLAM
HUKUM BERKAHWIN DENGAN SEPUPU DALAM ISLAM
"Ada yang berpendapat, kalau kahwin dengan sepupu, tak digalakkan, malah, akan melahirkan zuriat yang tidak sempurna (kecacatan)"
Ramai yang keliru, sama ada kahwin sesama sepupu ini dibenarkan ataupun tidak dalam Islam. Ada yang berpendapat, kalau kahwin dengan sepupu, tak digalakkan, malah, akan melahirkan zuriat yang tidak sempurna (kecacatan). Namun, dakwaan ini tidak boleh diterima secara mutlak. Ianya berdasarkan kajian perubatan sahaja yang menunjukkan risiko untuk mendapat anak yang cacat hanya pada nisbah 7-8% sahaja, manakala risiko yang sama hanya pada 5% sahaja jika suami isteri bukan terdiri daripada keluarga terdekat.
Manakala hukum berkahwin dalam Islam dengan keluarga terdekat seperti sepupu dan seumpamanya adalah antara perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT. Di dalam firman Allah SWT yang menerangkan wanita-wanita yang diharamkan berkahwin dalam ayat 24 surah al-Nisa’ yang membawa maksud:
“Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu…” Juga firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 50 yang bermaksud: “…dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu…”
Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan sepupu baginda yang bernama Zainab, bahkan baginda sendiri mengahwinkan anak perempuan baginda Ummu Kultsum dan Ruqayyah dengan ‘Utbah dan ‘Utaybah, mereka adalah sepupu kepada anak perempuan baginda. Serta baginda juga mengahwinkan Fatimah dengan Ali (Ali adalah sepupu baginda).
Justeru itu, secara kesimpulannya, perkahwinan dengan keluarga terdekat seperti sepupu adalah halal dan dibolehkan secara mutlak, malah tidak ada kemudaratan yang berterusan padanya. Tidak mungkin Allah membolehkan sesuatu secara berterusan jika perkara itu membawa kemudaratan kepada manusia.
Belum ada jodoh?