Islam Menggalakkan Perkahwinan Dan Membenci Zina

Islam Menggalakkan Perkahwinan Dan Membenci Zina

Islam Menggalakkan Perkahwinan Dan Membenci Zina

"Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat fizikal rohaninya, pasti memerlukan pasangan hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi seperti cinta mencintai.."

Dikarang oleh Inaaina | Dakwah
Kongsi artikel ini: 

Perkahwinan adalah sebahagian daripada liku-liku kehidupan yang dilalui oleh kebanyakan umat manusia. Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dengan malam, pasang dan surut. Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menemukan pasangan untuk mengharungi segala suka duka kehidupan. Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat fizikal rohaninya, pasti memerlukan pasangan hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi seperti cinta mencintai. Seperti firman Allah S.W.T

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan) Kami dan mentauhidkan Kami.”

 (Surah Adz-Dzaariyaat : 49)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: 

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” 

(Surah Yassin: 36)

Salah satu fitrah yang telah ditanamkan dalam diri manusia adalah keinginan untuk memiliki pasangan dan juga nafsu syahwat terhadap pasangan. Fitrah ini tidak dapat dibuang dan ia akan ada dalam diri setiap manusia. 

Lelaki menyukai perempuan dan perempuan menyukai lelaki merupakan satu perasaan yang bersifat fitrah, maksudnya semulajadi. Ia menjadi tidak fitrah jika lelaki menyukai seorang lelaki atau perempuan menyukai seorang perempuan kerana ia bertentangan dengan naluri asal seorang lelaki atau wanita. Jadi untuk menghubungkan antara lelaki dan perempuan, maka Allah S.W.T menetapkan perkahwinan untuk menghalalkan hubungan tersebut.

Hikmah Perkahwinan

Sunnah Para Nabi dan Rasul

Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus Rasul sebelum kami dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan.” 

(Surah Al-Ra’d: 38)

Allah mengutus para Nabi dan Rasul sebagai pemimpin umat manusia ke jalan kebenaran. Mereka adalah model kepada umatnya yang mesti diikuti demi keamanan, kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. Dengan mencontohi sunnah Rasul yakni membina keluarga melalui sebuah perkahwinan, kita akan memperoleh kebaikan yang berpanjangan bukan hanya di dunia malah juga di akhirat.

Rasulullah S.A.W bersabda dalam satu hadis yang riwayat oleh Al Baihaqi daripada Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesiapa yang suka kepada fitrahku, maka hendaklah dia melakukan sunnahku. Sebahagian daripada sunnahku adalah nikah”.

Tenang Dan Tenteram

Melalui sebuah perkahwinan, seseorang itu akan berasa bahagia, aman dan tenteram dengan adanya ikatan yang sah antara suami dan isteri. Apa yang penting, dengan perkahwinan mampu menewaskan syaitan daripada terus menghasut kita melakukan maksiat.

Memelihara Iman

Dengan berkahwin, ianya dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan serta nafsu seseorang. Perkahwinan juga mampu menjadi benteng kerana kita akan cuba menjauhi fitnah, mengawal nafsu diri dan menjaga hak pasangan. Al Baihaqi R.A meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W:

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah S.W.T pada separuh yang belum disempurnakan lagi”

Hadis ini menjelaskan, apabila seseorang itu telah berkahwin maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara dosa terutama yang berkaitan dengan nafsu syahwat.

Zuriat

Selain itu, hikmah perkahwinan juga adalah dapat melahirkan zuriat dan meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba Allah S.W.T yang bertakwa. Rasulullah S.A.W amat berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Berkahwinlah kamu dengan wanita pengasuh dan subur kerana aku berbangga dengan jumlah kamu yang ramai”

(Riwayat Abu Daud)

Rezeki Melimpah Ruah

Rezeki yang dimaksudkan bukan hanya terletak pada wang ringgit semata-mata. Ia juga boleh disimpulkan dengan sebuah ketenangan, kesihatan dan lain-lain lagi. Selain itu, rezeki juga bukan hanya bersifat harta benda, malahan boleh jadi keceriaan dan kebahagiaan ataupun rezeki menimang cahaya mata yang ramai. 

 

Sesungguhnya tiap rezeki itu datangnya dari Allah S.W.T dan kita hendaklah Istiqamah, berusaha serta berdoa untuk mendapatkan nikmat rezeki dari-Nya. Dari Aisyah R.A., Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:

“Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta dan boleh menjimatkan harta”

(Riwayat Imam al-Bazzar)

Permudahkanlah Urusan Perkahwinan

Nilai perkahwinan hari ini begitu jauh dengan pelaksanaan sunnah. Majlis perkahwinan pada zaman sekarang juga sangat berbeza dengan apa yang Rasulullah S.A.W laksanakan. Dr Mohd Asri juga turut menekankan tentang budaya masyarakat kita sekarang yang lebih memudahkan yang haram dan menyukarkan yang halal terutama dalam aspek perkahwinan. 

Kerenah yang berbagai telah menyukarkan seseorang untuk menghalalkan pasangan mereka. Umpamanya, urusan kenduri kahwin telah disukarkan oleh ibu bapa atau keluarga sehingga perkahwinan itu ditangguh demi mencapai sebuah perkahwinan yang gah. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun untuk bernikah. Tambah beliau lagi, meskipun kenduri kahwin itu disuruh, namun biarlah ianya memadai dengan kadar yang termampu. 

"Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing." 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam erti kata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. 

Islam Melarang Umatnya Mendekati Zina!

Firman Allah S.W.T Taala:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

(Surah al-Isra’, 17:32)

Melalui firman-Nya ini, Allah S.W.T bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina, bahkan melarang keras daripada melakukan sesuatu yang berpotensi mengundang terjadinya perbuatan zina. Ini termasuk membaca atau menonton bahan lucah yang memberahikan, melihat aurat yang diharamkan, berdua-duaan (lelaki dan perempuan yang bukan mahram), saling menghantar Whatsapp atau gambar yang boleh merangsang nafsu jahat dan sebagainya.

Sesungguhnya zina merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Malahan, zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah selain menjadi penyebab turunnya bala.

Oleh sebab itu, perbuatan zina adalah haram dan satu jenayah dalam Islam kerana ia banyak menimbulkan masalah sama ada kepada pelaku zina itu sendiri mahupun kepada keluarga, masyarakat dan negara. Jadi, segala perkara yang boleh menggoda nafsu ke arah melakukan zina wajib dijauhi.

‘Islam Menggalakkan Perkahwinan Dan Membenci Zina’

Bagi mengelak manusia daripada terjebak dengan maksiat zina, Islam mensyariatkan perkahwinan sebagai wasilah memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram dan menghubungkan silaturrahim. Perkahwinan membolehkan seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram dapat menjalin hubungan yang sah dan melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

Kongsi artikel ini: