APA ITU NAFKAH? KENAPA HANYA UNTUK ISTERI?

"seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada si suami"

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 
Nafkah, Isteri

Nafkah untuk isteri? Apa yang dimaksudkan dengan nafkah? Kenapa ianya hanya untuk isteri? Untuk suami tidak ada ke? Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada si suami. Pemberian nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami seperti yang telah ditetapkan oleh Islam. Suami perlu menyediakan nafkah zahir dan batin secukupnya mengikut kemampuan suami.

Ini jelas berdasarkan kata-kata Allah:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita kerana Allah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), kerana mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Surah An Nisa, ayat 24”

Rasulullah juga pernah ditanyakan mengenai apa hak isteri ke atas suami, lalu Baginda menjawab:

“Memberinya makan apabila kamu makan, dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian” (Hadis direkodkan oleh Imam Abu Daud)

Ini menunjukkan bahawa suami hendaklah menjaga amanah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Ianya merupakan tunggak utama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Jika si suami dapat menghayati maksud Sabda Rasulullah SAW ini, sudah tentu masalah rumah tangga yang sering berlaku ini dapat dielakkan.

Tugas si suami bukanlah memperhambakan si isteri, malah menjaga si isteri dan mengawal si isteri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam, sekiranya si suami berkahwin lebih dari seorang isteri, bermakna si suami perlulah bersikap adil terhadap semua isterinya.

Jangan ambil mudah akan perkara ini, pada zaman ini, senang-senang sahaja si isteri pula yang diarah untuk mencari nafkah buat keluarga, walhal si suami goyang kaki sahaja di rumah. Menurut hadis Rasulullah, para suami yang wajib menanggung perbelanjaan makan minum serta pakaian isteri dan juga anak-anak.

Nafkah di sini membawa maksud menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak. Tidak kira lah kalau hari-hari lauk yang sama ke, ianya tetap dikira sebagai nafkah. Wang belanja harian juga perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai mengikut kemampuan. Seorang suami yang tidak memberikan wang saku yang sesuai kepada isteri tanpa sebarang sebab munasabah juga sudah dikira melakukan keganasan kewangan kepada isteri, tambah-tambah lagi kalau isteri seorang suri rumah.

Sekiranya si isteri juga seorang yang berkerja, mereka juga berhak mendapatkan nafkah dua persalinan pakaian yang lengkap termasuk kasut, pakaian dalam, tudung, dan lain-lain dalam setahun.

Namun, jika si suami enggan memberi nafkah kepada si isteri, si isteri berhak mengambil duit suami tanpa pengetahuannya mengikut kadar keperluan belanja keluarga. Hal ini dibenarkan oleh syarak. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluan kamu dengan cara yang makruf” (Hadis direkodkan oleh Imam Al Bukhari)

Sekiranya si isteri berdepan dengan suami seperti ini, isteri boleh mengambil secara diam-diam sejumlah wang yang sesuai bagi menampung perbelanjaan yang sewajarnya, malah si isteri juga sudah meringankan beban dosa suami di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Ianya sudah jelas menunjukkan bahawa pemberian nafkah daripada si suami kepada isterinya adalah menjadi perkara yang wajib, tetapi, mengapa masih ada lagi yang mengambil perkara ini sambil lewa sahaja sedangkan ini adalah salah satu tuntutan di dalam Islam? Wallahualam. Jadi, untuk bakal suami dan para suami di luar sana, tolong ambil serius akan perkara ini, kerana anda juga yang akan terbeban dengan dosa ini di akhirat nanti. Memang nampak mudah, tetapi, jangan sesekali ambil mudah!

Kongsi artikel ini: