Dugaan Orang Bertunang

Dugaan Orang Bertunang

"Ada juga sebelum mengikat tali pertunangan, segala-galanya dalam keadaan baik dan mesra. Namun, dalam tempoh bertunang satu persatu cabaran dalam hubungan timbul..."

Dikarang oleh Inaaina | Ibadah

Darah manis! Itu antara yang sering dikatakan dalam tempoh mereka sedang bertunang. Perkara ini kerana dalam tempoh berkenaan sering kali dikatakan mengenai cabaran dalam hubungan.

Ada juga sebelum mengikat tali pertunangan, segala-galanya dalam keadaan baik dan mesra. Namun, dalam tempoh bertunang satu persatu cabaran dalam hubungan timbul.

Jika tidak bijak mengatur langkah untuk mengatasi cabaran itu, hubungan yang dibina ketika di alam percintaan boleh musnah begitu sahaja.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, sebelum melangkah melepasi gerbang perkahwinan, wujud fasa pertunangan yang bersebab dan wujud hikmah istimewa.

Jelasnya, untuk umat Islam pertunangan digalakkan sebagai suatu wadah untuk calon suami dan calon isteri sama-sama bersedia secara mental dan emosi untuk membina rumah tangga.

"Persediaan mental dan emosi amat perlu kerana rumah tangga yang bakal dibina bukan hanya untuk sehari atau setahun, ikatan suami isteri yang sah perlu dikekalkan ke titik kematian.

"Selain memberi sedikit ruang kepada bakal suami dan isteri untuk mengenali satu sama lain, tempoh pertunangan dapat memberi peluang kepada kedua-dua keluarga besar wanita dan lelaki itu merapatkan hubungan antara mereka," katanya.

Tambahnya, kemesraan yang terjalin dan ikatan persaudaraan yang kukuh kelak dapat membantu, sekiranya badai melanda bahtera perkahwinan pasangan berkenaan pada masa depan.

"Pertunangan sebenarnya unik kepada kelompok masyarakat kita di rantau Asia, lebih-lebih lagi buat ahli rumpun Melayu yang beragama Islam.

"Di barat, pertunangan dilihat tidak terlalu signifikan dan sekadar perjanjian sepasang kekasih untuk kelak berkahwin," katanya.

Katanya, dalam komuniti setempat, pertunangan bukan sekadar perjanjian, tetapi menjadi suatu ikatan awal yang mendekatkan dua keluarga besar, bukan bakal pasangan pengantin itu sahaja. Banyak hikmah atau kebaikan yang dapat diraih dari ikatan pertunangan itu.

"Paling utama, bagi saya ialah 'orientasi ke arah rumah tangga.' Membina keluarga bukan sesuatu yang mudah.

"Emosi, mental, jiwa dan raga seseorang semuanya diperlu diorientasikan atau dihalakan ke arah rumah tangga yang bakal dibina," katanya.

Katanya, hari ini isu perkahwinan yang tidak kekal antara pasangan Muslim dan agama lain menjadi masalah sosial yang membimbangkan kerana ada perkahwinan yang khabarnya bertahan hanya beberapa jam sebelum perceraian. Oleh itu, pertunangan perlu menjadi benteng pertahanan terawal.

"Dilema, konflik dan masalah biasa berlaku ketika tempoh bertunang. Namun, jangan kita lihat dari sudut keburukannya sahaja.

"Jika dilema, konflik dan masalah yang kecil tidak dapat ditangani dengan sabar dan cermat, bukankah itu bererti ada sesuatu yang mungkin tidak kena dengan bakal suami isteri berkenaan?" katanya.

Dr Airil berkata, hikmah dan kebaikan pertunangan ialah tempoh ini dapat memberi gambaran berkenaan personaliti dan perilaku bakal isteri atau bakal suami selepas tempoh berkasih dan bercinta.

"Pertunangan sudah mula membawa implikasi amanah dan tanggungjawab kepada bakal suami isteri berkenaan," katanya.

Katanya, personaliti, perangai dan sikap sebenar bakal pengantin berkenaan mula terlihat dalam tempoh bertunang.

"Ini ditambah pula dengan 1,001 permasalahan lain yang boleh timbul, misalnya kemunculan kembali kekasih lama, kekurangan dana untuk kenduri dan lain-lain lagi.

"Semua pasangan yang pernah bertunang pernah merasai cabaran dan dugaan seperti ini. Lazimnya, semakin lama tali pertunangan itu diikat, semakin banyak pula dilema, konflik dan masalah yang akan ditempuhi," katanya.

Katanya, mental dan emosi pasti akan terganggu memikirkan rumah tangga yang bakal dibina datang dengan 1,001 amanah dan tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan serta perlu dipikul bersama.

"Namun, di sini sebenarnya wujud hikmah terbesar pertunangan iaitu peluang terakhir untuk tidak meneruskan perkahwinan yang sudah dirancang.

"Memang bunyinya kasar dan menakutkan, tetapi jika diamati dan diperhalusi seakan-akan tidak terlihat kebaikan si bakal isteri atau sudah hilang budiman si bakal suami, lebih baik pertunangan itu diputuskan demi mengelak tragedi perceraian pada masa depan yang lebih menyeksa," katanya.

Tambahnya, banyak kebaikan dan hikmah yang akan diraih calon suami dan calon isteri ketika melalui tempoh pertunangan mereka.

"Jika pertunangan itu putus sekali pun, ini tidak bererti harapan sudah hilang dan peluang untuk bahagia sudah berakhir.

"Ketika musim berkasih dan bercinta, janji manis yang dikongsi sebenarnya tidak membawa nilai hakiki. Perkara yang kekal adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib digalas bersama-sama oleh isteri dan suami yang melayari lautan kehidupan dengan bahtera perkahwinan mereka.

"Usahakan untuk melalui tempoh bertunang dengan sabar dan mesra, hadapi cabaran dan dugaan dengan cermat serta bijaksana. Dengan izin Tuhan, kelak perkahwinan itu akan kekal ke akhir usia," katanya.

Kredit artikel myMetro: https://www.hmetro.com.my/WM/2022/07/861354/dugaan-orang-bertunang

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar