JODOH ADALAH FITRAH MANUSIA

"fitrah kepada para makhluknya supaya sentiasa merindukan pasangan hidup"

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 
Jodoh, Adalah, Fitrah, Manusia

Secara realitinya, antara sedar tak sedar, semua yang diciptakan oleh Allah SWT adalah secara berpasang-pasangan. Ianya adalah fitrah kepada para makhluknya supaya sentiasa merindukan pasangan hidup. Selain itu, mereka juga akan dahagakan belaian kasih sayang daripada pasangan hidup masing-masing. Kerinduan ini pasti akan terubat apabila mereka menemui pasangan yang mereka cari. Allah SWT turut berkata dalam kitab-Nya,

“Maha suci Allah yang menciptakan semuanya berpasangan daripada yang ditumbuhkan di bumi dan diri mereka, juga daripada apa yang mereka tidak ketahui” Surah Yasin, ayat 36

Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati kekuasaan Kami” Surah az-Zariyat, ayat 51

Begitu juga dengan manusia, sebelum manusia lahir ke bumi ini lagi, manusia telah ditentukan jodohnya, Allah SWT menciptakan manusia secara berpasangan, lelaki dan perempuan, supaya daripada kedua-duanya dapat melahirkan keturunan. Secara fitrahnya mereka akan dikurniakan dengan perasaan ingin dicintai dan mencintai, disayangi dan menyayangi, diperhatikan dan memiliki pasangan hidup.

Surah an-Najm, ayat 53, Allah SWT ada menjelaskan “Dan sesungguhnya, Dia yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan”.

Dialah pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri dan binatang ternak pasangan-pasangannya, dengan itu dikembangkan-Nya zuriat keturunan kamu. Tiada sesuatu pun setanding dengan zat-Nya, dan Dia yang maha mendengar, lagi maha melihat”. Surah asy-Syura, ayat 42

Hebatnya kuasa Allah SWT, Allah menciptakan manusia dengan sifat dan bentuk tubuh yang berlainan, supaya mereka akan saling tertarik dan memerlukan antara satu sama lain. Namun, mereka yang normal akan memiliki kecenderungan ini, iaitu dikurniakan dengan hati yang ingin dicintai dan saling mencintai, ianya juga diibaratkan seperti memakai baju, bagi menutupi auratnya dan juga merupakan perhiasan untuk mencantikkan penampilannya. Begitu juga dengan manusia yang memerlukan pasangan hidup, seperti kita memerlukan pakaian. Allah turut menjelaskan,

“...Isteri-isteri kamu adalah sebagai pakaian untuk kamu dan kamu pula sebagai pakaian untuk mereka…” Surah al-Baqarah ayat 2

Meskipun semuanya nampak indah-indah belake, sebagai seorang manusia, mereka harus selalu berwaspada. Ini adalah kerana, apabila jiwanya merindukan seseorang, mereka lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif. Terutama bagi mereka yang sedang mabuk bercinta. Pada saat inilah, syaitan-syaitan sedang asyik menggoda mereka, supaya tersungkur ke jalannya, sedangkan perbuatan ini paling dibenci Allah SWT.

Oleh itu, mereka seharusnya sentiasa berada di laluan yang betul agar tidak melanggar syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Islam. Sekiranya tidak ada panduan ini, manusia akan jadi seperti binatang. Panduan yang baik adalah panduan yang mengharamkan berlakunya hubungan fizikal sebelum adanya ikatan pernikahan yang sah.

Selepas para manusia mendapat pasangan hidup yang mereka cari selama ini, mereka akan berasa lebih tenang dan bahagia, lebih-lebih lagi sekiranya mereka diijabkabulkan dengan pilihan hati mereka sendiri.

Justeru itu, Allah SWT mencipta seorang isteri untuk seorang suami sebagai sunah-Nya supaya mereka akan berasa tenang dan bahagia selepas mereka diijabkabulkan, tambahan pula, selepas mereka mempunyai ikatan yang sah, iaitu pernikahan. Seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT,
Dan di antara tanda-tanda kekuasan-Nya, Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya itu mengandungi keterangan-keterangan untuk orang yang berfikir” Surah Ar-Rum, ayat 21.

Kongsi artikel ini: