Kebaikan Kahwin Muda

Kebaikan Kahwin Muda

"Mungkin pasangan muda zaman ini selalu mengelak untuk berkahwin muda kerana ia seolah halangan untuk melakukan banyak perkara sebelum sah menjadi suami isteri."

Dikarang oleh Inaaina | Ibadah

Konteks menikah di usia muda pada zaman sekarang sudah semakin diterima oleh masyarakat zaman sekarang. Kalau dibandingkan dengan zaman datuk nenek kita, ianya seperti menjadi kebiasaan buat mereka. Kita sering dengar kisah perkahwinan nenek moyang yang mendirikan rumah tangga di usia muda seawal 18 tahun lagi. Malah ada juga yang bernikah seawal 15 tahun lagi!

Mungkin pasangan muda zaman ini selalu mengelak untuk berkahwin muda kerana ia seolah halangan untuk melakukan banyak perkara sebelum sah menjadi suami isteri. Tetapi sebenarnya berkahwin awal mempunyai kebaikannya yang boleh dimanfaatkan pasangan bercinta.

Menundukkan pandangan dan menjaga diri anda dari pergaulan bebas

Sabda Rasulullah ada menekankan supaya mereka yang sudah mampu hendaklah menikah kerana dapat menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Namun apa yang dapat dilihat pada kondisi sekarang, pergaulan antara lelaki dan perempuan seolah-olah menjadi semakin bebas. Pergaulan bebas seperti ini boleh cenderung ke arah kemaksiatan. Sebagai contoh, kita sering disaji dengan berita mengenai pembuangan bayi yang berleluasa diakibatkan oleh perbuatan terkutuk sesetengah pasangan.

Oleh itu, antara manfaat yang boleh diperoleh apabila bernikah pada usia muda ini dapat mengurangkan dari berlakunya kejadian seperti ini. Ia dapat mengelakkan dari pasangan yang sedang dilamun cinta terlanjur perbuatan dan sekaligus mengurangkan kes pembuangan bayi.

Tuntutan agama

Selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga, mereka secara rasminya sudah menjadi pasangan yang halal dan tidak perlu takut lagi terhadap pandangan negatif orang lain. Mendirikan rumah tangga seumpama kita mendirikan sebuah masjid. Ia adalah satu tuntutan agama yang disarankan dalam Islam. Hubungan percintaan digalakkan untuk mempercepat urusan pernikahan jika sudah cukup syarat dan layak untuk berkahwin.

Menerusi rancangan Tarbiah bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menjelaskan mengenai tujuan sesuatu perkahwinan. Perkahwinan itu haruslah tidak berlandaskan kepada keinginan nafsu semata-mata tetapi bertujuan untuk menjaga agama Allah dan menjaga kemaluan manusia dari terjebak dari sebarang noda dan dosa.

Menjadi lebih bertanggungjawab dan fikiran menjadi semakin matang

Perkahwinan sebenarnya boleh mematangkan diri seseorang apabila mereka ada rasa tanggungjawab dengan pasangan yang mereka nikahi. Ini kerana perhubungan yang diijab kabulkan secara sah dapat menimbulkan komitmen untuk menjaga pasangan hidup kita dan lebih ke arah kekeluargaan. 

Pasangan yang menikah muda akan belajar lebih cepat mengenai kehidupan, lantas menjadikannya semakin matang dan dewasa dalam mengurus hal keluarga.

Masa depan anak-anak yang lebih baik

Apabila pasangan itu mendirikan rumah tangga pada usia muda, maka peluang untuk mendapat cahaya mata di usia muda juga kemungkinan besar. Dalam dunia kedoktoran, ianya dijelaskan bahawa kesuburan organ reproduksi wanita semakin menurun seiring bertambahnya usia seseorang itu. Oleh itu, jika kita menikah di usia muda maka peluang untuk hamil juga lebih besar. 

Namun rezeki itu hanya dengan izin Allah. Sekiranya mereka dikurniakan anak pada usia muda, mereka mempunyai banyak masa dalam mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Malah juga turut berkesempatan untuk melihat kejayaan anak-anak kelak. Insha Allah.

Memperbaiki diri

Sah sahaja sesebuah ikatan perkahwinan itu, ia bukan hanya dapat mematangkan diri kita malah ia dapat memperbaiki diri kita untuk menjadi seorang yang lebih baik. Sering kita dengar di kalangan remaja berusia 18 hingga 24 tahun selalu mempunyai masalah sosial. 

Jadi, perkahwinan di usia muda dapat mengubah diri dan sikap ke arah yang lebih baik. Perkahwinan di usia muda juga sememangnya digalakkan kerana ia dapat membendung banyak perkara buruk dari berlaku di kalangan remaja.

Bagi mereka yang sudah bersedia dan mampu untuk mendirikan rumah tangga mengikut syariat Islam, percepatkanlah perkahwinan agar anda dapat merasai kebaikan di atas.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia



 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar