Solat Sunat Istikharah Dalam Hal Mencari Jodoh

Solat Sunat Istikharah Dalam Hal Mencari Jodoh

Solat sunat Istikharah lazimnya dilakukan berulang-ulang kali supaya petunjuk itu datang dengan lebih jelas kepada kita.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Ibadah

 

 

          Kita semua tahu bahawa manusia dilahirkan dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Atas sebab itu, Allah S.W.T telah mengurniakan kita dengan perkahwinan agar lelaki dan wanita boleh disatukan dalam ikatan yang sah. Namun begitu, kadangkala urusan mencari jodoh boleh menjadi susah terutamanya pada masa kini. Mungkin jodoh yang hadir itu kurang baik atau orang yang kita harapkan tidak membalas kembali cinta kita. Alhamdulillah, ramai antara kita yang kerap menunaikan solat sunat Istikharah untuk memohon jawapan daripada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Dia sahaja yang boleh memberi kita petunjuk yang benar. Walau bagaimanapun, adakah umum mengetahui tujuan sebenar solat sunat Istikharah dilakukan? Di sini kami nyatakan beberapa hujah bagi menerangkan mengapa kita perlu menunaikan solat sunat Istikharah. 

1) Supaya Kita Tahu Pilihan Mana Yang Terbaik Buat Kita 

Sesetengah daripada kita pasti pernah mengalami satu keadaan di mana sesudah kita berdoa untuk mendapatkan jodoh, Allah menghadirkan kita dengan lebih daripada seorang calon. Ini merupakan perkara biasa kerana manusia berdepan dengan pelbagai pilihan setiap hari. Di sinilah pentingnya Istikharah sebagai jalan penyelesaian. Selepas kita melakukan Istikharah kepada Allah, Dia akan menurunkan gerak hati atau lintasan kepada kita tentang apa yang terbaik buat hidup kita. 

Apabila jawapan itu sudah ada dan hati kita juga yakin dengan petunjuk tersebut, maka redhalah dengan ketentuan-Nya dan pilih calon yang betul. Disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata, maksudnya:

"Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. 

WaAllahu a’lam."

Walau bagaimanapun, jangan pula kita gelojoh dan tergesa-gesa dalam beribadah. Solat sunat Istikharah lazimnya dilakukan berulang-ulang kali supaya petunjuk itu datang dengan lebih jelas kepada kita. Oleh itu, ajar diri untuk bersabar kerana Allah sentiasa berada di samping kita. Jadi selepas ini jika kita buntu untuk memilih di antara dua orang calon, maka rajinkanlah diri untuk menunaikan solat sunat ini. 

2) Tanda Kita Berserah Sepenuhnya Pada Allah 

Kita mesti ingat bahawa kita hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan keburukan dan dosa. Oleh itu, sebenarnya Istikharah dilakukan sebagai tanda kita mengakui kelemahan kita dan berserah dengan sepenuh hati terhadap ketetapan Ilahi. Orang yang sentiasa bersandar kepada ihsan-Nya akan berasa tenang. Tidak ada rencana yang Dia turunkan selain untuk memanfaatkan kita sama ada di dunia atau di akhirat. Jika kita terima hakikat ini, jadi mengapa perlu kita berasa bimbang akan perkara-perkara dalam hidup kita, bukan? 

Begitu juga dengan jodoh. Jodoh itu pemberian Ilahi, jadi terima sahaja segalanya dengan hati yang terbuka. Biar saja cepat atau lambat, baik dan buruk, itu semua sudah Allah rancang untuk memberikan yang terbaik kepada kita. Ucaplah Alhamdulillah atas nikmat-nikmat yang sudah diberikan oleh-Nya. Yang penting sekarang adalah kita berusaha untuk mencari yang tepat, selebihnya kita serahkan kepada Yang Esa. Begitulah serba sedikit mengenai Istikharah dan kepentingan mendekatkan diri dengan Ilahi. 

3) Supaya Allah Membuka Jalan Yang Betul Seluas-luasnya Untuk Kita

Selain itu, Istikharah juga berperanan untuk memudahkan urusan kita khususnya dalam mencari jodoh. Kadang-kadang, jawapan itu ada di depan mata tetapi kita terlepas pandang. Sebab itulah Istikharah perlu dilakukan agar Allah membantu kita dalam memilih jalan yang betul untuk mendirikan rumah tangga. Apabila Allah sudah membuka jalan, semuanya akan menjadi lebih mudah buat kita. Caranya sudah ada tetapi terserah kepada kita untuk menunaikannya atau tidak. Kalau kita dilanda kesulitan, mungkin kerana hidup kita sudah jauh tersasar dari landasan dan Allah menyempitkan jalan tersebut. 

Oleh itu, muhasabah diri setiap hari supaya setiap detik dalam hidup kita diisi dengan perkara-perkara yang mengikut panduan agama. Hal ini termasuklah dengan urusan mencari jodoh. Insya-Allah selepas solat sunat Istikharah ditunaikan, Allah akan mendekatkan kita dengan calon suami atau isteri yang tepat. 

4) Supaya Hati Kita Tenang Kerana Mengetahui Allah Sentiasa Membimbing Kita Dalam Membuat Keputusan  

Dalam kita membuat keputusan, mungkin saja pilihan yang kita buat itu salah. Namun begitu, jika kita ikhlas menunaikan solat sunat Istikharah, kita pasti akan berlapang dada. Ini kerana kita tahu pilihan yang kita buat itu adalah berpandukan petunjuk yang Allah berikan. Apabila satu-satu hubungan itu direstui, proses untuk mendirikan rumah tangga juga akan menjadi lebih senang dan teratur. 

Begitulah istimewanya Istikharah. Yang kusut dileraikan, yang jauh didekatkan, yang sulit dipermudahkan semua dengan kehendak Yang Esa. Justeru, jangan pernah sombong untuk tunduk kepada Allah kerana segala kebaikan datang atas keizinan-Nya.  

5) Untuk Menjamin Kebahagiaan Pada Masa Hadapan 

Akhir sekali, tunaikanlah solat sunat Istikharah demi kesejahteraan hidup kita pada masa akan datang. Keputusan kita pada hari ini akan menentukan nasib kita pada hari esok. Jika kita membuat keputusan mengikut petunjuk dari Allah, maka kita akan berasa lebih tenang untuk menempuhi hari-hari mendatang. Apabila kita mencari jodoh yang diredhai oleh Allah pula, kita akan dapat membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan dirahmati selalu. 

Justeru, tunaikanlah Istikharah jika kita masih ragu-ragu tentang siapakah bakal suami atau isteri kita. Semoga Allah memberikan kita penyelesaian yang terbaik. Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya: 

"Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana."

(Hadis Riwayat al-Tabrani)

Kesimpulannya, kita perlu mendekatkan diri dengan Allah sebelum melakukan apa-apa perkara dalam kehidupan kita. Hal ini supaya kita sentiasa berada di dalam rahmat-Nya. Selain Istikharah, lakukan juga amalan-amalan sunat yang lain agar urusan mencari jodoh kita dipermudahkan. Di samping itu, amalan-amalan sunat juga boleh membersihkan hati dan membantu kita untuk menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik. 

Yang terakhir, bincang dengan ahli keluarga, rakan-rakan atau ahli agama sebelum memberi kata putus mengenai bakal calon kita. Mungkin mereka boleh memberi nasihat yang lebih mendalam sebelum kita membuat keputusan yang muktamad. 

 

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia  

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar