Tanda-tanda Istikharah Dalam Mencari Jodoh
Tanda-tanda Istikharah Dalam Mencari Jodoh
...mimpi bukanlah jawapan mutlak ataupun jawapan akhir bagi Istikharah kerana mimpi juga boleh dipengaruhi oleh perkara lain.
Siapa yang tak mahu bahagia kan? Hari ini, semua orang berpusu-pusu mencari calon kerana teringin untuk memiliki keluarga sendiri. Kalau setiap tindakan itu kena dengan cara dan hukumnya, maka insya-Allah urusan itu akan dipermudahkan oleh Ilahi. Namun bagi sesetengah orang, mereka diuji dengan mendapat lebih daripada satu pilihan sewaktu mencari jodoh. Ini bukanlah salah sesiapa, cuma mungkin Allah mempunyai rancangan yang tidak kita ketahui. Sebagai seorang Muslim, kita bertanggungjawab untuk yakin akan kehendak dan sentiasa berdoa untuk memohon bantuan-Nya. Salah satu cara yang terbaik untuk meminta petunjuk Allah dalam membuat pilihan yang tepat adalah dengan melakukan solat Istikharah. Berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah, maksudnya:
”Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”
[Riwayat al-Tirmizi (480), Ibnu Majah (1383)]
Hukum solat Istikharah adalah sunat, tetapi ia amat digalakkan sewaktu kita berasa berat hati atau keliru untuk membuat keputusan. Sama juga ketika mencari seorang calon suami atau isteri, Istikharah boleh dibuat agar Allah memudahkan usaha yang kita lakukan. Ada pula yang bertanya, selepas Istikharah ditunaikan, apakah tanda-tanda yang boleh kita lihat? Terdapat beberapa jawapan bagi soalan tadi yang pastinya berguna buat kita semua.
1. Mendapat mimpi
Ramai orang beranggapan bahawa jawapan Istikharah kebiasaannya muncul dalam mimpi sewaktu kita tidur. Walaupun kenyataan ini benar, tetapi mimpi bukanlah jawapan mutlak ataupun jawapan akhir bagi Istikharah kerana mimpi juga boleh dipengaruhi oleh perkara lain. Contohnya, mimpi boleh dipengaruhi oleh keinginan kita sendiri, hawa nafsu, malahan godaan syaitan yang cuba mengganggu urusan kita. Justeru, jangan terus mempercayai mimpi kita bulat-bulat. Sebaiknya, tunaikanlah Istikharah secara istiqamah agar petunjuk itu lebih jelas. Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya,
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
Selain itu, rujuklah juga ahli-ahli agama yang terdekat bagi mengetahui adakah mimpi itu sebenarnya merujuk kepada jodoh kita atau tidak. Jika jawapannya tidak, mungkin mimpi tersebut dipengaruhi oleh perkara-perkara yang disebutkan sebelum ini. Tapi jangan risau kerana tanda-tanda Istikharah juga boleh muncul dengan cara yang lain. Agama Islam itu indah dan mudah, jadi kuatkan semangat kita untuk terus taat dalam beribadah demi mengejar keredhaan-Nya. Walaupun dalam mencari seorang calon, letakkan niat kita mencari si dia kerana ketakwaan kita kepada Ilahi. Insya-Allah, usaha kita akan diberkati.
2. Gerak hati terhadap sesuatu
Satu lagi tanda Istikharah adalah melalui gerak hati atau naluri terhadap sesuatu mahupun seseorang. Barangkali ketika kita baru bangun tidur, fikiran kita terbayangkan seseorang itu. Mungkin juga ketika kita memikirkan tentang si dia, hati kita berasa tenang dan seperti ada tarikan yang memanggil kita untuk menyapa orang tersebut. Ini hanyalah sebahagian daripada contoh sebagai gambaran bagi tanda Istikharah melalui gerak hati. Terdapat banyak lagi cara untuk Allah tunjukkan siapa jodoh kita yang sebenar. Sekali lagi, seandainya kita berasa was-was, maka teruskanlah Istikharah sehingga kita yakin bahawa seseorang itu adalah jodoh yang terbaik bagi diri kita. Di samping itu, tambahkan juga amalan-amalan sunat yang lain di dalam rutin harian kita. Rajinkan berzikir, membaca al-Quran dan berdoa semoga Allah membuka jalan seluas-luasnya buat kita sewaktu mencari jodoh. Semoga dengan amalan-amalan ini juga gerak hati kita menjadi lebih kuat dalam menentukan calon yang bakal menemani hidup kita nanti. Sebagai langkah tambahan, kita juga boleh menimba ilmu dengan membaca rujukan-rujukan yang menerangkan soal tanda-tanda Istikharah. Bukan sahaja kita memperoleh ilmu pengetahuan, malahan Allah mengurniakan ganjaran pahala kepada hamba-hambanya yang tekun berusaha dan menuntut ilmu, insya-Allah. Oleh itu, jangan berkira dalam melakukan solat Istikharah dan memohon hidayah dari-Nya.
3. Dipermudahkan urusan yang baik
Selain tanda-tanda tadi, ini juga salah satu tanda Istikharah yang dapat kita lihat iaitu urusan kita yang baik dipermudahkan. Sebagai contoh, jika kita mempunyai dua pilihan hati, proses taaruf dengan seorang daripadanya terasa mudah dan menggembirakan. Bagi seorang lagi pula, proses taaruf itu terasa janggal dan sulit. Mungkin itulah petunjuk yang Allah berikan supaya kita memilih calon yang betul. Sebagai contoh yang lain, mungkin juga kita tidak mencari, tetapi tiba-tiba sahaja ada orang yang sudi berkenalan dengan kita. Istikharah tidak semestinya dilakukan jika kita mempunyai beberapa pilihan sahaja. Kalau hati kita sudah terbuka untuk berkahwin tetapi kita tidak mempunyai calon, Istikharah tetap boleh dibuat. Hal ini bertujuan untuk meminta panduan daripada Allah agar diberikan seorang calon yang beriman dan didekatkan jodoh itu dengan kita. Cantik sungguh aturan Allah kan? Sesungguhnya agama Islam itu meliputi segalanya. Kita hanya perlu belajar dan ikhlas beribadah sahaja. Oleh itu, lihatlah tanda ini setelah selesai solat Istikharah walaupun berkali-kali. Siapa tahu, Allah mungkin sudah menyediakan jalan pintas untuk kita bertemu jodoh.
Kepentingan Istikharah
Istikharah bukanlah semata-mata kita memohon jawapan daripada Allah. Sebaliknya, ibadah ini menunjukkan kebergantungan kita kepada Yang Esa kerana kita yakin bahawa Dia sahaja yang mampu mengawal kehidupan ini. Selain itu, Istikharah juga membuktikan bahawa petunjuk itu datang hanya daripada-Nya selaku Tuhan Yang Satu. Tiada manusia atau makhluk lain yang boleh memberikan kita petunjuk selain-Nya. Atas sebab itu, jangan pernah alpa kepada-Nya walaupun di dalam urusan mencari jodoh.
Kesimpulannya, tanda-tanda Istikharah hadir dalam pelbagai bentuk. Yang tertulis ini adalah sebahagiannya sahaja. Jika kita berasa sangsi, teruskanlah Istikharah sehingga kita mendapat petunjuk yang nyata. Dalam negara Malaysia ini masih banyak kuntuman bunga yang belum disunting, masih banyak kumbang yang terbang sendirian. Entah-entah jodoh itu berada hampir sekali dengan kita tetapi kita terlepas pandang. Itulah pentingnya Istikharah. Akhir sekali, kita mestilah meletakkan sepenuh keyakinan kita terhadap ketentuan Ilahi. Dia jualah sebaik-baik perancang. Seandainya jawapan itu sudah muncul, maka itulah yang terbaik buat kita.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?