3 tahun bercinta tetapi hubungan masih tidak mampu bertahan

3 tahun bercinta tetapi hubungan masih tidak mampu bertahan

Malangnya hubungan yang sudah bertahun-tahun itu tersungkur jua akhirnya. Hakikat sebenar kita tersilap perhitungan kerana terlupa ada yang lebih berkuasa...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

“Bercinta bukan main lama tetapi akhirnya terputus jua.”

Pernah ke anda melalui pengalaman seperti ini? Ataupun terjadi kepada kawan-kawan atau saudara-mara anda? Menyemai hubungan cinta sejak dari zaman belajar lagi tetapi masih juga tidak berjodoh dengan si dia. Mengenali si dia sudah bertahun-tahun lamanya tetapi sekarang masih juga solo. Benar, kalau sudah namanya tidak ada jodoh nescaya lama macam mana pun ikatan yang dibina pasti akan terputus jua.

Perempuan 1 : Awak percaya ke dia betul-betul sayangkan awak?

Perempuan 2 : Ya, saya yakin. Dah bertahun-tahun saya kenal dia. Saya tahu sangat dia macam mana.

Usah sesekali meletakkan keyakinan 100% pada seseorang. Seolah-olah anda yakin dialah jodoh anda hanya disebabkan perkenalan yang sudah bertahun itu. Ianya seperti anda sudah mengenali siapa diri dia dan yakin dia milik anda selamanya.

Malangnya hubungan yang sudah bertahun-tahun itu tersungkur jua akhirnya. Hakikat sebenar kita tersilap perhitungan kerana terlupa ada yang lebih berkuasa. Kita sebagai manusia hanya mampu untuk merancang. Namun sehebat mana pun perancangan kita, jangan pernah terlupa perancangan Allah itu lebih hebat daripada segala-galanya. Ada segelintir manusia apabila dilanda masalah seperti ini pasti dia cuba menyalahi takdir.

Pernahkah anda terfikir apakah antara punca keretakan sebuah hubungan itu meskipun ianya sudah bertahan bertahun lamanya?

1.Penipuan

Sesungguhnya menipu adalah ‘pembunuh’ utama dalam sebuah perhubungan. Malah ada yang sanggup menipu untuk ‘menyelamatkan’ sebuah perhubungan hanya kerana tidak mahu hati pasangan mereka terluka.

Mungkin ianya nampak biasa tetapi cukup memberi kesan kepada pasangan. Sebagai contoh, kerap memberikan alasan yang tidak munasabah sehingga menimbulkan keraguan buat pasangan. Lama-kelamaan ianya membuatkan pasangan sudah jemu dengan alasan yang diberikan.

2. Kebebasan

Ada sesetengah pasangan baik lelaki mahupun wanita, kedua-dua mereka meletakkan  harapan yang tinggi kepada pasangannya. Mereka mahukan kebebasan berbanding kongkongan.

Masalah ini berpunca daripada pasangan yang terlalu mengongkong aktiviti ataupun pergerakan dan perbuatan pasangannya. Mungkin ada sesetengah mereka menyukai tentang hal ini tetapi ada juga yang tidak suka dan berasa seperti tidak bebas.

3.Berbeza pendapat

Perbezaan pendapat dalam rumah tangga juga mampu membawa kepada pergolakan inikan pula pasangan yang belum berkahwin. Anda mempunyai idea yang berbeza dengan pasangan dan hal-hal inilah yang membuatkan anda dan pasangan sering berbalah.

Anda sudah menaruh cita-cita yang sudah lama diinginkan namun ditentang oleh pasangan anda atas sebab-sebab tertentu. Punca daripada inilah mampu membuat sebuah hubungan itu putus kerana merasakan lontaran pendapat yang tidak sehaluan.

4.Sentiasa mengungkit hal yang lalu

Ianya seperti perangai kebudak-budakan yang sering mengungkit-ungkit perkara lalu. Ada sesetengah mereka sangat pantang tentang perbuatan ini. Perkara ini akan menimbulkan kemarahan sama ada lelaki mahupun wanita. Perbuatan seperti ini kebiasaannya berpunca daripada sikap si wanita yang suka mengungkit-ungkit tentang kesilapan lalu si lelaki. Lebih-lebih lagi sekiranya berkaitan dengan kekasih lama.

Belajarlah dari kesilapan. Jangan mengungkit kisah lalu kalau anda sayangkan perhubungan yang dibina.

5.Pengaruh kawan-kawan atau keluarga

Tidak dinafikan lagi, kawan-kawan dan keluarga juga boleh menjadi punca keretakan sebuah hubungan. Sedangkan rumah tangga pun boleh bergolak disebabkan masuk campur kawan-kawan atau keluarga inikan pula hubungan anda yang masih tidak tahu penghujungnya. Pengaruh daripada mereka mampu mempengaruhi keputusan anda dan menjurus kepada keretakan.

Kesimpulan

Pada saat awal percintaan, semuanya nampak indah. Malah hati juga sering berbunga-bunga. Namun pada saat keretakan ibarat seperti dunia sudah berakhir. Seolah-olah itulah penamat. Usah berduka dengan apa yang terjadi, kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Perbaiki kelemahan yang ada pada diri anda dan cuba untuk menjadi yang terbaik.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar