fbpxANTARA REZEKI, JODOH DAN AJAL

ANTARA REZEKI, JODOH DAN AJAL

ANTARA REZEKI, JODOH DAN AJAL

Seperti yang sudah diketahui umum, rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak kita masih berada di dalam kandungan lagi...

Dikarang oleh 21976 | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Seperti yang sudah diketahui umum, rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak kita masih berada di dalam kandungan lagi. Kita sebagai manusia pasti sering tertanya-tanya akan rezeki kita, bagaimana bentuk rezeki yang akan Allah kurniakan pada kita. Selain itu, apabila sudah tiba masanya pula, kita pasti akan memikirkan mengenai jodoh kita pula, siapa yang paling layak untuk dijadikan sebagai pasangan kita, walhal semuanya sudah ditetapkan oleh Allah. Mereka sibuk memikirkan akan rezeki dan jodoh mereka, bekerja kuat demi mencari rezeki, dan berusaha sehabis mungkin dalam mencari pasangan hidup, namun, manusia sering lupa untuk mengumpul amalan di dunia sedangkan ajal dan maut bakal menjemput kita pada bila-bila masa sahaja tanpa kita ketahui.

Rezeki Allah itu luas

Rezeki yang sedikit tetapi diberkati oleh Allah adalah yang lebih baik dan tinggi darjatnya jika dibandingkan dengan rezeki yang banyak tetapi tidak mendapat keberkatan dari Allah SWT. Sesungguhnya, rezeki Allah itu sudah cukup luas. Sekiranya kita dikurniakan dengan rezeki yang sedikit, asalkan ianya mencukupi, daripada banyak tapi sering tidak mencukupi. Sebagai manusia, kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang kita peroleh. Kita mestilah belajar bersabar, berusaha dan bertawakal kepada Allah. Usahlah kita hanya pandai merungut dan meminta-minta sahaja walhal tidak ada sebarang usaha dalam mengejar rezeki Allah.

Rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT bukan hanya dalam bentuk harta dan wang ringgit semata-mata, malah ianya juga melibatkan rezeki seperti cahaya mata.  Dikurniakan dengan cahaya mata yang ramai juga merupakan salah satu rezeki daripada Allah SWT. Selain itu,  rezeki juga boleh didatangkan dalam bentuk pekerjaan mahupun pelajaran. Sebab itulah kita sering didengarkan dengan ayat “rezeki Allah itu luas”. Kalau tanpa keredaan dari-Nya, sudah tentu kita sering terlepas daripada memperoleh rezeki-rezeki itu. Sentiasalah berusaha dan berdoa kepada Allah SWT supaya kita sering dimurahkan rezeki yang berlipat ganda.

Jodoh

“Maha suci Allah yang menciptakan semuanya berpasangan daripada yang ditumbuhkan di bumi dan diri mereka, juga daripada apa yang mereka tidak ketahui”

Surah Yasin, ayat 36

Sekiranya sudah bertemu jodoh, maka sudah tiba masanya untuk anda menamatkan zaman bujang anda. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang masih belum ditemukan dengan jodoh mereka? Jodoh itu adalah ketentuan Allah SWT. Kalau mahu mencari, bukan hanya berdasarkan pada paras rupa sahaja malah haruslah bagus juga imannya terhadap agama.

Jodoh juga seperti suatu perjalanan, kalau jauh destinasinya, maka jauhlah perjalanannya sebelum tiba ke destinasi. Ada orang jodohnya cepat, malah ada orang sudah ditakdirkan jodohnya lambat. Tidak ada sesiapa yang mampu melawan takdir Allah, ternyata setiap kelewatan pasti ada hikmahnya. Allah melambatkan jodohnya untuk mereka sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran dan ujian selepas berkahwin. Sebagai manusia, kita sudah tahu sememangnya jodoh adalah takdir Allah, maka kita hendaklah menyatakan perasaan dan keinginan itu dalam setiap doa terutama selepas solat. Allah itu maha mendengar da yakinlah pada janji-Nya.

Biar lambat jodoh, asalkan mendapat pasangan yang betul-betul tepat untuk dijadikan pasangan hidup. Sebanyak manapun kita mencintai seseorang, tapi kalau Allah tidak menentukan lagi ianya masih bukan jodoh kita, maka pasti tidak akan bersatu juga.

Jangan juga kita terlalu membenci seseorang, kerana apabila terlalu benci ianya akan bertukar menjadi cinta. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 216:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”

Oleh itu, dalam persoalan jodoh, setiap orang haruslah bersungguh-sungguh, baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya harus aktif. Bukan hanya mengharapkan pada kaum lelaki sahaja untuk memulakan dahulu. Semoga urusan kita semua dipermudahkan oleh Allah SWT.

Ajal

“Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un”

Sesungguhnya segala sesuatu berasal dari Allah akan kembali padaNya

Setiap yang hidup, pasti akan mati juga suatu hari nanti. Namun, adakah umat manusia akan mengetahui akan waktu ajal menjemput mereka?

Apabila berbicara mengenai ajal, pasti ada yang takut mendengarnya sedangkan perkara inilah yang paling penting untuk dititikberatkan. Namun, secara hakikatnya, ramai yang tidak peka akan ketentuan ini. Mereka hanya lebih menekankan perkara lain seperti mencari rezeki dan jodoh sahaja, malah ajal dan maut dilupakan.

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh."

(Surah an-Nisa': 78)

Ayat ini sudah menjelaskan kepada kita bahawa seseorang manusia itu tidak boleh memisahkan dirinya dari kematian. Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas hamparan.

Sesiapapun apabila ditentukan matinya di sesuatu tempat dia akan pergi ke tempat itu ketika sampai ajalnya. Hal ini adalah penentuan dari Allah SWT semenjak kita masih dalam kandungan lagi. Justeru itu, mulai dari sekarang, lakukan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya serta memperbanyakkan sunnahnya untuk meningkatkan amal ibadah kita menandakan kita sentiasa bersedia untuk menunggu kematian.

Sesungguhnya, setiap yang ditetapkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya merupakan anugerah yang terbaik untuk kita. Kita sebagai umat manusia hendaklah sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: