APABILA TIADA JODOH BUATKU...

APABILA TIADA JODOH BUATKU...

“Ruzi seorang pegawai tadbir di sebuah jabatan di Kuala Lumpur sudah merasa putus asa untuk mencari pasangan hidup. Umurnya sudah mencapai 43 tahun...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

“Ruzi seorang pegawai tadbir di sebuah jabatan di Kuala Lumpur sudah merasa putus asa untuk mencari pasangan hidup. Umurnya sudah mencapai 43 tahun. Dia menyerahkan soal jodohnya kepada Tuhan. Biar Allah yang menentukan siapa dan bila.”

Firman Allah SWT:

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir. (Ar-Rum:21)

Kalau sudah takdir...

Tiada hamba yang boleh menolak kekuasaan Tuhannya. Begitu juga dalam soal mencari pasangan atau jodoh ini. Manusia boleh berusaha tetapi yang menentukan kejayaan sesuatu rancangan itu adalah Allah SWT.

Jika anda lewat bertemu jodoh sekalipun, usahlah menyalahkan takdir. Kita akan hilang kebahagiaan hidup. Kebahagiaan itu letaknya di hati. Kalau tidak bertemu jodoh tetapi kita redha dan faham dengan kerja-kerja Tuhan ke atas hamba-Nya, kelewatan dalam bertemu jodoh bukan menjadi satu masalah besar.

Bahkan kita masih mampu hidup dengan tenang dan bahagia. Kebahagiaan hidup akan kita perolehi jika kita memiliki 3 perkara iaitu rasa bertuhan, rasa kehambaan dan tahu mengapa Allah takdirkan sesuatu atas dirinya.

Tanpa tiga perkara ini, seseorang itu tidak akan pandai mengharungi hidup sebagai hamba Allah. Tiga perkara ini penting dalam mencapai kebahagiaan hidup meskipun lewat dalam bertemu jodoh yang sesuai. Ini adalah kerana:

Pertama: orang yang hatinya tidak merasa bertuhankan Allah SWT ialah orang yang tidak kenal Allah walaupun dia percaya adanya Allah. Dia seolah-olah tiada tempat rujuk, tempat sandaran dan tempat untuk menggantungkan harapan malah juga tidak mempunyai tempat untuk meminta dan mengadu. Sedangkan setiap manusia tidak terlepas daripada bermacam-macam masalah dalam hidupnya.

Kedua: orang yang tidak terasa dirinya hamba Allah adalah orang yang tidak mengenal dirinya sendiri. Orang yang tidak terasa dirinya hamba Allah sebaliknya merasakan dirinya seperti tuan walaupun di sudut ilmunya dia tahu dirinya hamba, akan mempunyai sifat sombong dalam dirinya. Apabila ada orang yang lebih gagah daripadanya, jiwanya akan menderita disebabkan ketuanannya tercabar.

Dalam kes lewat bertemu jodoh, kita patut rasakan bahawa tiadanya jodoh kita menunjukkan lemahnya seorang makhluk dalam merancang untuk dirinya sendiri kerana kekuasaan Tuhan mengatasi usaha hamba-Nya. Barulah kita kenal siapa diri kita di sisi Tuhan.

Sebagai contoh, seorang ketua pejabat tiba-tiba mendapati orang bawahannya sudah tidak taat lagi kepadanya.

Ketiga: orang yang tidak tahu kenapa dan mengapa Allah SWT takdirkan sesuatu pada dirinya sama ada disukai atau tidak disukainya ialah orang yang tidak kenal kerja-kerja Allah. Contohnya apabila ditimpa sakit, hatinya menjadi keluh-kesah menyesali sakit yang menimpanya itu. Kemiskinan akan membuatkannya rasa terhina manakala kekayaan pula akan menjadikannya seorang yang sombong dan tidak mahu korbankan hartanya pada jalan Allah.

Sama ada ujian kesusahan mahupun ujian kesenangan, disebalik itu ada maksud baik Allah SWT. Maha suci Allah yang tidak pernah melakukan sesuatu itu sia-sia sahaja. Allah SWT lakukan semua itu dengan penuh hikmah. Ada mengandungi pengajaran, falsafah malah ada yang mempunyai maksud tersirat.

Bagi siapa yang kenal kerja-kerja Allah, masalah tiada jodoh, ditimpa sakit dan kemiskinan hatinya akan terhibur kerana:

Pertama, dia sedar Allah SWT hendak memberinya kerehatan dan mengurangkan tanggungjawabnya.

Kedua, dia merasa ujian lewat bertemu jodoh adalah sebagai penghapus dosanya dan dia sedar akan dosa-dosanya.

Kemiskinan, kesakitan dan kelewatan dalam bertemu jodoh yang didatangkan oleh Allah juga bermaksud untuk memberi pahala sabar pada seseorang itu. Sabar dalam menanggung perasaan ketika ditimpa ujian amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

KESIMPULAN

Begitulah kepentingan tiga perkara yang diperjelaskan di atas agar manusia hidup bahagia sebagai hamba dan sentiasa redha dan faham akan kerja-kerja Tuhan. Kita sepatutnya sedar akan diri kita ini yang tidak berupaya dalam menentang takdir Allah. Perkara seperti kelewatan dalam bertemu jodoh bukan terjadi kepada semua wanita kerana Allah tidak menzalimi makhluk-Nya bahkan tersangat sayang pada makhluk ciptaan-Nya cuma kita yang tidak sedar akan hakikat itu.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar