Best ke kahwin ?

Best ke kahwin ?

Ingin berpasangan antara lelaki dan perempuan merupakan satu fitrah manusia yang agak susah untuk ditolak keinginannya...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Ingin berpasangan antara lelaki dan perempuan merupakan satu fitrah manusia yang agak susah untuk ditolak keinginannya. Ia adalah normal bagi seorang lelaki atau perempuan. Melawan fitrah boleh menyebabkan berlakunya kerosakan. Sebagai contoh, berpasangan antara sesama jantina ataupun tidak berpasangan dan berkahwin hingga menyebabkan berlakunya hubungan seks di luar pernikahan. Ini bakal mengundang masalah yang besar kepada masyarakat.

Maka, fitrah itu harus disalurkan ke jalan yang betul dan tepat. Dengan asbab itu juga, maka Allah mewujudkan satu kaedah yang benar dan selamat iaitu pernikahan. Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Kita akan dapat lihat banyak dalil-dalil daripada Al Quran yang bercerita mengenai berpasang-pasangan. Antaranya ialah di dalam surah Ar Rum ayat ke 21, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah Ar rum: Ayat 21)

Kahwin bukan sekadar seronok.

Perkahwinan sebenarnya adalah sesuatu perkara baru dalam fasa kehidupan kita. Mana tidaknya, daripada seorang, kita jadi berdua selepas kahwin. Dulu makan seorang, sekarang makan berteman. Kalau dulu, apabila hari raya, hanya fikir pasal diri, tapi apabila berkahwin, terpaksa fikir tentang persiapan raya untuk isteri dan anak-anak sekali. Perkahwinan jika diwarnai dengan betul, mengikut cara dan sunnah nabi, ia pasti akan menjadi bahagia dan seronok.

Namun, perkahwinan bukanlah semuanya indah seperti drama dalam televisyen. Perkahwinan akan ada masa pasang dan surutnya. Jangan ingat apabila kita berkahwin hanya perkara seronok dan ‘best’ sahaja akan muncul dalam kehidupan kita. Perkahwinan itu juga sebenarnya ujian daripada Allah sama ada kita betul-betul menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam keluarga kita ataupun tidak.

Suami haruslah memainkan peranan sebagai ketua, manakala isteri pula sebagai pembantu ketua keluarga. Jika peranan dan amanah dijaga dengan betul dan baik, maka keluarga kita akan menjadi sebuah keluarga yang di dalamnya ada sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang).

Berkahwin jika mampu.

Jika kita sudah bersedia memikul tanggungjawab dan berkemampuan, nasihat saya berkahwinlah. Nabi ada bersabda yang bermaksud;

Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan.

(Hadis Nasai dan Abu Daud)

Di dalam hadis tersebut juga ada mengatakan, jika tidak mampu, maka dianjurkan untuk berpuasa supaya dapat memelihara diri daripada kejahatan. Sebab apa ? Kerana apabila kita berpuasa, ia akan menurunkan dan melemahkan nafsu kita. Jadi dengan kita berpuasa, nafsu dapat dikawal dan diuruskan.

Tetapi ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang untuk masalah ini. Ia mungkin sesuai dalam jangka masa yang pendek dan selagi belum mampu. Apa yang perlu kita buat adalah terus berusaha ke arah meraih kemampuan supaya dengan perkahwinan ia akan menjaga maruah diri serta pandangan kita.

Kesimpulan.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang seronok dan ‘best’ jika suami dan isteri tahu dan amanah dalam tanggungjawab masing-masing. Ia mungkin tidak sempurna seperti yang digambarkan di dalam kaca televisyen yang mana 24 jam bahagia, namun itulah lumrah kehidupan. Adakala mungkin ia menyebabkan kita menangis dan berdukacita. Tetapi semuanya ada hikmah yang kita tidak tahu. Perkahwinan itu merupakan satu sunnah Rasul. Kitalah yang memilih dan membentuk keluarga kita nanti sama ada mahu perkahwinan kita itu bahagia atau derita.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar