BILA JODOH BELUM SAMPAI….

BILA JODOH BELUM SAMPAI….

"Apabila masih belum bertemu jodoh, bukan bermakna saya keseorangan"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Bila, Jodoh, Belum, Sampai

Bila jodoh belum sampai… Usia saya sudah pun menjangkau 27 tahun pada tahun ini. Tapi, saya masih lagi menanti jodoh saya dengan penuh kesabaran. Nak cakap saya tak usaha, tipu lah, bermacam usaha yang telah saya lakukan. Berdoa, berusaha dan seterusnya saya hanya serahkan pada Allah SWT sahaja. Kerana saya yakin, hanya Dia yang mampu memakbulkan doa saya. Saya sebagai manusia, akan terus berdoa dan berusaha.

Apabila masih belum bertemu jodoh, bukan bermakna saya keseorangan. Saya pernah mendengar ceramah Ustaz Don, beliau ada menyatakan:

“Kaum hawa ini untung sebenarnya, sebelum bernikah, ayah yang akan menjaganya, selepas bernikah, maka suami pula yang akan menjaga dan berada di sisi kita”. Alangkah beruntungnya seorang perempuan kan? Apabila difikirkan balik, ada betulnya tentang ungkapan itu.

Hari demi hari, saya masih dibelenggu dengan masalah yang sama. Saya juga kerap diajukan dengan soalan “bila nak kahwin?”, “dah ada boyfriend ke?”, jujur saya cakap, saya cukup rimas apabila diajukan soalan begitu, cuma saya pendam sahaja dalam hati. Hati siapa sahaja yang mampu bertahan bila sering sahaja diajukan soalan berkaitan jodoh. Semua orang mahu berkahwin, cuma masanya belum tiba. Lain orang, lain rezekinya. Kita hanya mampu berusaha. Selebihnya, kita serahkan pada yang Maha Esa sahaja.

Saya pernah meluahkan perasaan saya pada keluarga saya, ternyata mereka juga turut bimbang akan masalah saya, tapi percayalah, ketika ditimpa masalah sebegini, keluarga lah insan yang paling sesuai untuk kita berkongsi masalah yang kita hadapi. Sokongan moral yang diberikan, sudah cukup untuk mententeramkan jiwa saya.

Kerunsingan makin bertambah, lebih-lebih lagi ketika rakan seperjuangan saya ketika di zaman sekolah mahupun di zaman universiti, masing-masing sudah bernikah, malah ada juga yang sudah dikurniakan cahaya mata, saya disini, masih lagi terumbang-ambing mencari jodoh yang entah mana perginya.

Ada juga yang bertanya kepada saya, “memang tak pandai bergaul ke apa?”, jujur saya katakan, saya mempunyai ramai kawan lelaki, tetapi hanya sekadar kawan sahaja. Mungkin Allah belum ketemukan saya lagi dengan jodoh yang sesuai dengan saya, beribu kawan lelaki sekalipun, kalau Allah masih belum kata ‘Ya’. maka, ‘belum’ lah jawapannya. Tapi, saya tetap tidak pernah berputus asa dalam berdoa, kerana saya yakin, pasti suatu hari nanti, Allah akan makbulkannya.

Sementara masih menanti jodoh ini, saya tetap juga amalkan beberapa perkara yang patut saya lakukan. Salah satunya, saya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan lagi amal ibadah saya, selain itu, saya juga cuba untuk memperbaiki diri saya untuk menjadi yang terbaik. Kenali kelemahan saya dan cuba untuk memperbaiki kekurangan itu. Tak lupa juga, semasa masih single inilah saya banyak meluangkan masa bersama-sama keluarga saya terutama kedua orang tua saya. Yakinlah, setiap kelewatan, pasti ada hikmahnya. Wallahualam. Sekadar perkongsian.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar