fbpxBolehkah Orang Yang Pernah Berzina Mendapat Jodoh Yang Baik?

Bolehkah Orang Yang Pernah Berzina Mendapat Jodoh Yang Baik?

Bolehkah Orang Yang Pernah Berzina Mendapat Jodoh Yang Baik?

Ya. Jawapannya adalah boleh. Tetapi syaratnya mesti bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan mengulangi kesalahan zina tersebut...

Dikarang oleh 21976 | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Mendapat jodoh dan pasangan yang baik merupakan impian bagi semua orang tidak kira lelaki mahupun perempuan. Orang yang baik, insya-Allah pasangannya juga adalah baik. Itu adalah adat dan kebiasaan bagi pasangan yang berkahwin. Jodoh kita selalunya adalah cerminan diri kita. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nur yang bermaksud:

“Wanita yang tidak baik untuk lelaki yang tidak baik, dan lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik pula. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.”  

(Surah An-Nur : Ayat 26)

Namun persoalan yang biasa ditanya ialah, bolehkah orang yang pernah berzina mendapatkan jodoh dan pasangan yang baik buat dirinya?

Ya. Jawapannya adalah boleh. Tetapi syaratnya mesti bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan mengulangi kesalahan zina tersebut. Tidak kisah dosa sebesar manapun, jika kita berbuat salah dengan Allah S.W.T. maka Allah S.W.T. akan ampunkan hamba-Nya. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nisa yang bermaksud:

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Surah An-Nisa : Ayat 17)

Jika penzina tidak bertaubat, maka jodohnya mungkin adalah di kalangan penzina juga. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nur yang bermaksud:

“Lelaki penzina tidak boleh menikah kecuali dengan penzina perempuan atau dengan perempuan musyrik, dan perempuan penzina tidak boleh menikah kecuali dengan lelaki penzina atau lelaki musyrik. Dan yang demikian itu diharamkan bagi orang-orang mukmin”

(Surah An-Nur : Ayat 3)

Maksud ayat di atas ini menurut pandangan Ustaz Azhar Idrus (UAI), ada dua maksud. Pertamanya ialah Allah S.W.T. ingin memberi amaran kepada manusia supaya tidak jatuh ke lembah zina. Jika zina terjadi maka kesan dan akibat kepada penzina amatlah buruk jika tidak bertaubat.

Yang kedua pula ialah Allah S.W.T. menjelaskan dalam ayat tersebut bahawa penzina hanya layak berkahwin dengan penzina sahaja. Maksudnya jika seseorang itu adalah seorang penzina, maka pasangan yang layak baginya juga adalah penzina kecuali dia telah bertaubat.

Jika Telah Bertaubat, Perlukah Kita Memberitahu Dosa Zina Masa Lalu Kepada Bakal Pasangan?

Tidak perlu. Dosa yang telah lalu tidak perlu dikenang. Jika anda memberitahu kepada bakal pasangan, mungkin kesannya lebih buruk kerana bakal menjejaskan perhubungan. Apa yang anda perlu lakukan adalah memohon ampun dengan bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. dan menutup aib anda sendiri.

Abu Hurairah R.A. pernah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Setiap umat-Ku akan dimaafkan kecuali golongan yang menyebarkan (tentang dosa-dosa yang mereka lakukan). Sesungguhnya antara perbuatan Al-Mujaharah ialah seseorang melakukan dosa di waktu malam, dan Allah telah menutup dosanya (daripada diketahui orang lain), lalu orang tadi di waktu pagi berkata: Ya Fulan! Aku telah melakukan itu dan ini semalam. Sesungguhnya dia telah tidur dalam keadaan Tuhannya menutupkan dosanya itu, tetapi dia bangun pada waktu pagi lalu membuka apa yang telah Allah tutupkan.”

(Sahih Al-Bukhari : 5721 dan Muslim : 2990)

Sebagai contoh, kebanyakan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. sebelum kedatangan Islam mereka hidup dalam keadaan jahil. Zaman tersebut digelar sebagai ‘Zaman Jahiliah’ yang bermaksud zaman kebodohan dan kegelapan. Namun setelah kedatangan agama Islam, kehidupan mereka telah berubah ke arah yang jauh lebih baik. Bahkan mereka turut mendapat pasangan yang baik untuk mereka dan keturunan mereka.  
 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: