Cinta Bertepuk Sebelah Tangan?

Cinta Bertepuk Sebelah Tangan?

Apabila Si Dia yang anda cinta cuba menjauhkan diri daripada anda, ia sebenarnya isyarat yang jelas bahawa si dia tidak selesa bertemu mahupun bersembang dengan anda...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Aisyah sukakan Haikal. Setiap kali bertemu dengan Haikal, hatinya berdegup kencang sepantas larian kuda. Aisyah adalah seorang yang pemalu. Mungkin juga kerana dia seorang perempuan. Suatu hari, Aisyah cuba memberanikan dirinya untuk memberi ‘hint’ kepada Haikal tentang perasaannya. Namun begitu, Haikal menganggap Aisyah tidak lebih hanya sebagai seorang kawan sahaja. Dia menolak cinta Aisyah. Rupa-rupanya perasaan Aisyah selama ini hanyalah cinta yang bertepuk sebelah tangan.”

Anda pernah mengalami situasi seperti yang di atas? Mungkin ada sesetengah daripada anda yang mempunyai pengalaman cintanya ditolak. Nasihat saya, teruskan ‘move on’ daripada si dia. Jika si dia tidak sudi, jangan dipaksa. Memaksa orang menyukai kita adalah perbuatan yang salah.

Bertepuk sebelah tangan dan memendam perasaan mungkin merupakan suatu perkara yang menyakitkan hati bagi seseorang. Anda mencintai si dia dengan sepenuh hati, namun cinta anda tidak berbalas. Sebenarnya tanda-tanda bertepuk sebelah tangan boleh dilihat dengan sikap dan layanan si dia terhadap anda. Jom lihat 5 tanda-tanda cinta anda hanya bertepuk sebelah tangan.

1. Si Dia Cuba Menjauhkan Diri Daripada Anda

Apabila Si Dia yang anda cinta cuba menjauhkan diri daripada anda, ia sebenarnya isyarat yang jelas bahawa si dia tidak selesa bertemu mahupun bersembang dengan anda. Mungkin pelbagai usaha sudah anda buat untuk mengambil hatinya, namun si dia tetap menolak dan cuba mengelak daripada terserempak dengan anda.

Jika anda melihat ada tanda-tanda ini, maka jangan sia-siakan waktu yang ada untuk mengambil hatinya lagi. Boleh teruskan jika masih mahu mencuba, namun peluang untuk si dia menyukai anda adalah tipis kerana si dia telah menolak anda daripada awal. Ingat peribahasa ini, “bunga bukan sekuntum, kumbang juga bukan seekor.”

2. Tiada Sifat Hormat Kepada Anda

Ciri kedua yang mungkin menunjukkan petanda bahawa cinta anda ditolak ialah hilangnya sikap hormat si dia kepada anda. Sebagai contoh, walaupun pelbagai perkara dan kebaikan yang telah anda buat untuk si dia namun si dia tetap tidak menghargainya. Malah lebih malang lagi jika si dia merendah-rendahkan maruah anda di hadapan kenalan-kenalannya yang lain. Calon suami atau isteri yang baik bukanlah daripada orang yang sudah hilang nilai ‘respect’ kepada orang lain.

3. Terlalu Banyak Syarat Untuk Kriteria Bakal Pasangan

Selain itu, terlalu banyak syarat terhadap kriteria pasangan yang diingini juga menunjukkan bahawa si dia tidak ada minat kepada anda. Meletakkan syarat adalah normal, namun menyusahkan bakal pasangan dengan syarat-syarat yang tidak masuk akal menunjukkan bahawa si dia sebenarnya sudah menolak lamaran anda. 

Apabila kita menyebut tentang syarat perkahwinan, mungkin kita akan terbayang satu kisah dongeng yang agak terkenal iaitu kisah ‘Puteri Gunung Ledang’. Semua orang tahu bahawa Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat yang tidak masuk akal kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah yang ingin mengahwininya. Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat serta beberapa orang yang menjadi utusan Sultan Melaka pada ketika itu menyampaikan syarat-syarat kepada Sultan Melaka.



Antara syarat-syarat itu ialah:

1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka

1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang

7 dulang hati nyamuk

7 dulang hati hama

7 tempayan air mata anak dara

7 tempayan air pinang muda

1 mangkuk darah anak Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Ahmad Shah



Puteri Gunung Ledang sebenarnya dikatakan sudah menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tidak mampu ditunaikan itu. Jadi apabila anda melihat si dia seperti Puteri Gunung Ledang ‘alaf baru’, maka tidak perlulah anda bersusah payah lagi untuk menambat hatinya.

4. Selalu Beralasan

Tanda yang keempat cinta anda bertepuk sebelah tangan ialah apabila si dia selalu memberi alasan kepada anda. Sebagai contoh jika anda ingin berjumpa dengan keluarganya bagi tujuan perkenalan namun si dia akan mencari alasan supaya pertemuan itu tidak berlaku.

Anda sudah menunjukkan usaha ke arah perkahwinan, tetapi si dia pula tidak bersungguh-sungguh dan asyik memberi alasan kepada anda. Satu istilah orang bijak pandai ada mengatakan bahawa, “orang yang mahukan sesuatu sentiasa mencari jalan untuk melakukannya hingga berjaya sementara mereka yang lain mencipta alasan”.

5.Mengambil Kesempatan Terhadap Diri Anda

Tanda cinta bertepuk sebelah tangan yang terakhir ialah apabila si dia mengambil kesempatan terhadap diri anda. Si dia sebenarnya tidak berminat dan tidak pernah suka kepada anda. Namun apabila si dia berada dalam keadaan tersepit sebagai contoh perlukan bantuan kewangan, maka andalah orang pertama yang akan dicari.

Si dia akan mengambil kesempatan atas perasaan anda yang suka kepadanya. Anda mungkin akan berasa sebaliknya kerana anda memang sudah terpukau dengan kata-katanya dan berharap si dia akan sukakan anda. Jika perkara ini sedang berlaku, saya berharap anda cepat-cepat sedar daripada mimpi ini. Jangan biarkan orang mengambil kesempatan atas kebaikan kita.

Persoalan yang mungkin timbul sekarang adalah macam mana jika anda sudah terjebak dalam konflik cinta tak berbalas ini? Bagaimana jika tanda-tanda yang disenaraikan tadi terkena pada diri anda sendiri? Ok. Di sini saya cadangkan pula 5 cara yang mungkin anda boleh gunakan untuk melupakan cinta yang bertepuk sebelah tangan.  

5 Cara Melupakan Cinta Yang Bertepuk Sebelah Tangan

1. Terima Hakikat

Bukan mudah untuk menerima kenyataan bahawa si dia tidak sukakan anda seperti mana anda menyukainya. Namun kita perlu menyedari bahawa hakikat cinta yang bertepuk sebelah tangan ini tidak akan ke mana. Bagaimana anda hendak berkahwin dengan si dia jika si dia tidak menyukai anda?

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah menerima kenyataan ini dengan redha. Kalau ada rezeki, adalah. Begitu juga jika sebaliknya. Penting bagi anda untuk memberi ruang dan masa bagi merawat luka di hati. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Al-Insyirah yang bermaksud:

"Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan kami pun telah menurunkan beban darimu. Yang memberatkan punggungmu. Dan kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu. Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (dari suatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.”

(Surah Al-Insyirah: Ayat 1-8)

2. Luahkan Perasaan Anda, Jangan Pendam

Luahkan perasaan anda kepada orang yang anda percaya. Jangan simpan dan pendam sendirian kerana ia boleh menyebabkan anda ‘stress’. Jika perlu, anda boleh berjumpa dengan kaunseling untuk meminta khidmat nasihat daripada pakar-pakar tentang masalah yang sedang anda hadapi.   

Jika anda tidak selesa bercerita dengan sesiapa, tuliskan perasaan anda di atas sehelai kertas. Apabila selesai, anda akan rasa lega dan lebih bersemangat mencipta azam untuk melupakan si dia.

3. Buang Semua Mesej Dan Perkara Yang Mengingatkan Kepada Si Dia

Kadang-kadang kita terperangkap dengan istilah ‘teman tapi mesra’ atau ‘friend zone’. Kita dilayan dengan istimewa namun si dia tetap menganggap kita tidak lebih sebagai teman sahaja. Jika betul-betul mahu melupakan cinta yang bertepuk sebelah tangan ini, maka satu perubahan harus dibuat.

Anda perlu membuang semua memori-memori lama anda dengan si dia. Ini termasuk semua mesej, gambar dan perkara yang boleh ingatkan pada si dia. Tidak salah untuk anda meneruskan perhubungan sebagai kawan, namun elakkan menyimpan benda atau perkara yang boleh mengingatkan kepada si dia.

4. Elakkan Bertemu Dengan Si Dia

Jika boleh, elakkan bertemu dengan si dia dalam waktu yang terdekat selepas anda tahu bahawa cinta anda hanya bertepuk sebelah tangan. Hati anda memerlukan masa untuk dirawat. Ambillah sebanyak mana masa yang anda perlukan untuk menjauhkan diri daripada si dia. Ini adalah penting bagi memberikan anda peluang untuk melupakan si dia.

Apabila diri anda benar-benar sudah boleh melupakan peristiwa itu, maka terpulanglah pada anda untuk meneruskan persahabatan atau terus mengelakkan diri daripada berhubung dengannya.

5. Jangan Salahkan Sesiapa

Urusan cinta adalah sesuatu yang sukar diduga kerana ia melibatkan soal hati dan perasaan. Hati kita tidak boleh dipaksa. Hati juga mempunyai citarasa yang berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh sebab itu, ramai yang cenderung melahirkan perasaan malu, bodoh, atau geram kerana terlalu mudah jatuh cinta. Ada yang sampai fobia untuk bercinta dan berkenalan dengan sesiapa lagi selepas itu.

Jika si dia tidak sukakan anda, janganlah menyalah diri sendiri mahupun si dia kerana tidak mempunyai rasa yang sama dengan anda. Bukan mudah meneruskan hidup setelah menyedari hakikat cinta yang bertepuk sebelah tangan. Namun ia perlu juga dilakukan demi diri anda sendiri. Buat apa mengenang orang lain yang tiada perasaan pada kita, lebih baik teruskan hidup, betul tak?

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar