CINTA SAYA TAK PERNAH BERUBAH
CINTA SAYA TAK PERNAH BERUBAH
Saya seorang lelaki yang berusia awal 30-an. Saya sudah mempunyai pekerjaan tetap. Apa yang boleh saya katakan, kehidupan saya sudah cukup stabil...
Saya seorang lelaki yang berusia awal 30-an. Saya sudah mempunyai pekerjaan tetap. Apa yang boleh saya katakan, kehidupan saya sudah cukup stabil untuk saya memulakan sebuah keluarga. Tetapi, Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Saya pernah melalui fasa bercinta dengan seorang gadis, hubungan kami bermula semasa zaman belajar. Saya mengenali gadis itu ketika kami berdua dilantik sebagai fasilitator sebuah program yang dianjurkan oleh fakulti kami. Dia merupakan junior saya dan masih berbaki setahun sebelum dia tamat belajar.
Setelah saya menjadi seorang graduan, saya telah ditawarkan bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Usia saya pada waktu itu sudah memasuki 24 tahun, dan pada waktu itu juga, saya sudah ditawarkan dengan pendapatan yang tinggi kerana pada waktu itu, syarikat saya amat memerlukan seorang pakar dalam bidang teknologi. Hubungan saya dengan gadis itu juga masih seperti biasa, teapi disebabkan kesibukan bekerja, kami sudah jarang meluangkan masa bersama. Tetapi, saya banyak menanggung perbelanjaan hariannya kerana gadis itu datang daripada keluarga yang sederhana. Bagi saya, tidak salah untuk membantunya kerana saya percaya suatu hari nanti, si dia pasti akan menjadi isteri saya.
Cinta yang kami semai hampir enam tahun itu, akhirnya kecundang di tengah jalan. Selepas si dia tamat belajar, si dia mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta. Pada waktu itu, saya sudah perasan akan perubahan sikap si dia. Tetapi, apabila saya bersuara, pasti si dia menafikannya. Cara dia bercakap dengan saya sudah tidak seperti dahulu, saya sering ditengking dan dimarahi tanpa sebab. Saya sekadar memendamkan sahaja apa yang dirasai. Lama-kelamaan, segala rahsianya akhirnya terbongkar.
Ternyata, si dia sudah menjadi tunangan orang. Lelaki itu juga merupakan rakan kelasnya semasa zaman belajar lagi. Alasan yang diberikannya adalah disebabkan saya jarang meluangkan masa bersamanya, sedangkan pada waktu itu, saya bekerja keras demi mengumpul duit dan bercadang untuk bernikah dengannya sejurus dia tamat pembelajarannya. Walaupun saya dikelilingi dengan rakan seperjuangan yang berlawan jantina, tetapi saya tetap setia menanti si dia. Malah, saya juga pernah menolak wanita lain kerana cinta saya hanya untuk si dia. Cinta saya tak pernah berubah walaupun sedikit! Ternyata, kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan takdir hidup kita. Sesungguhnya. Allah adalah sebaik-baik perancang.
Saya amat bersyukur kerana pada waktu itu, saya diberikan kekuatan oleh-Nya untuk tabah menghadapi ujian ini. Saya percaya pada diri, pasti ada hikmah disebalik kejadian yang menimpa diri saya ini.
Hari demi hari, dengan sokongan moral yang diberikan oleh kaum keluarga dan sahabat, akhirnya saya berjaya menemukan semangat asal saya. Saya reda akan takdir yang sudah ditetapkan untuk saya, mungkin tiada jodoh antara kami. Kita sering didengari dengan ungkapan “cinta memang tak harus memiliki”, namun kenyataannya sukar untuk dilaksanakan. Nasihat saya kepada mereka yang turut mengalami masalah yang sama dengan saya, usahlah kita bersedih hati. Yakinlah bahawa setiap kegagalan dalam percintaan mahupun aspek lain, ianya sudah dirancang dan ditulis sedemikian rupa oleh Allah SWT dan semuanya ada hikmahnya.
Yakinlah, bahawa Allah pasti akan memilih yang terbaik buat kita. Jika kita ditolak pada saat ini, bererti Allah sudah menyiapkan kita dengan yang lebih baik daripada mereka yang menolak kita. Jangalah kita berputus asa dari rahmat Allah, Allah ingin menguji kita tentang kesungguhan kita akan komitmen terhadap pernikahan. Allah ingin lebih mendewasakan kita dan memantapkan keperibadian kita dalam menghadapi segala kesulitan dan kegagalan.
Berkat kesabaran saya dalam menanti pengganti yang sesuai akhirnya membuahkan hasil. Saya telah ditemukan dengan seorang wanita yang cukup sempurna dipandangan mata saya. Sebelum saya membuat keputusan untuk menikahinya, saya telah melakukan solat istikharah terlebih dahulu, untuk mengetahui sama ada adakah si dia yang terbaik untuk saya, ternyata, pilihan yang saya lakukan ini adalah yang paling tepat.
Atas persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, kami bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan. Hati mana tidak gusar menanti hari pernikahan nanti. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran saya. Malah, perkara yang tidak diingini juga sering menganggu benak fikiran saya. Pengalaman lalu mengajar saya untuk sentiasa bersedia. Namun, Alhamdulilillah, berkat kesabaran dan usaha yang dilakukan, saya telah selamat diijabkabulkan dengan wanita ini.
Wanita yang saya kahwini itu telah selamat menjadi isteri saya dan kini kami telah dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan yang sudah berusia 2 tahun. Rumah tangga yang kami bina ini sentiasa diterangi dengan rezeki yang berlipat ganda, saya percaya berkat kesabaran saya dan doa yang tidak putus-putus ini adalah berkat daripada apa yang berlaku. Terima kasih Ya Allah, atas kurniaan ini.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?