Dunia baru selepas putus cinta
Dunia baru selepas putus cinta
"Tidak kiralah siapa puncanya, putus cinta sememangnya satu perkara yang sukar untuk diterima seseorang.."
Hubungan percintaan yang putus di tengah jalan sememangnya amat memeritkan dan memilukan. Tidak kiralah siapa puncanya, putus cinta sememangnya satu perkara yang sukar untuk diterima seseorang.
Tentunya tiada ubat atau penawar untuk mengubatinya. Rasa kecewa dan patah hati itu adalah perkara biasa namun kita tidak sepatutnya terus tenggelam dalam kekecewaan yang memudaratkan diri sendiri. Pada Mei 2018, Harian Metro ada melaporkan mengenai seorang lelaki sanggup membunuh diri hanya kerana tidak dapat menerima hakikat apabila ditinggalkan kekasihnya.
Sedangkan dalam Islam, bunuh diri adalah haram dan dosa besar kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabdanya:
“Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”
Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)
Jika kita berfikir dan bertindak secara rasional, tentunya kita dapat mengatasi kekecewaan itu dan teruskan kehidupan dengan tenang terutama bagi mereka yang masih muda. Selain berdoa kepada-Nya untuk menguatkan hati kita, kami kongsikan beberapa tips yang boleh diamalkan oleh mereka yang baru putus cinta.
Terima hakikat
Salah satu kesilapan besar dalam melupakan bekas kekasih kita adalah berpura-pura atau tidak percaya bahawa hubungan yang dibina itu berakhir. Kita berpisah dengannya kerana ada sebab yang sudah tidak dapat dielakkan dan sekiranya ingin kembali bersama ianya bukanlah satu keputusan yang bijak.
Dalam masa yang sama, pelajari apa yang silap dan perbaikinya dalam hubungan yang akan datang. Dengan pengalaman ini juga, ianya memberi peluang untuk kita mengkaji semula apa yang baik dan buruk dalam sesuatu hubungan.
Kita harus belajar menerima hakikat bahawa si dia sememangnya tidak ditakdirkan untuk kita. Dr Yusuf Qaradawi menyatakan seorang Islam harus reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya dan takdir serta rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Reda secara umumnya, sifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan kita. Berusahalah untuk menerima kenyataan bahawa mungkin ada perkara yang lebih baik akan berlaku pada masa depan. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 216)
Bersedihlah sepuasnya
Tidak salah untuk bersedih hati dan menunjukkan kekecewaan apabila cinta berakhir. Kita boleh mengadu kepada rakan, keluarga dan menangislah sekalipun. Memberi masa untuk diri bersedih akan merangkul semua rasa kecewa dalam diri kita. Namun, pastikan ia tidak terlalu berpanjangan. Paling penting, bantulah diri sendiri untuk keluar dari penderitaan.
Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita
Surah At-Taubah:40
Menurut pakar perhubungan, Ammada Major, ianya lebih elok sekiranya kita mengambil sedikit masa untuk meratapi kesedihan dengan apa yang terjadi. Beliau menyatakan bahawa mereka yang putus cinta diibaratkan seperti hilang nyawa kerana rutin harian akan jadi berbeza berbanding semasa mereka mempunyai kekasih.
Jangan contact dia lagi
Sememangnya tangan dan hati ini rasa mahu saja menghubungi bekas kekasih, namun kita perlu melawan perasaan itu. Kita perlu berjauhan dengan bekas kekasih begitu juga dia kerana jika tidak kita tidak akan berhenti berharap dan memikirkannya. Dalam beberapa bulan atau tahun, mungkin masing-masing bersedia berkawan semula.
Namun, Ahli Psikologi Klinikal di Institut Perhubungan Aiki, Mark Sharp, Ph.D. menyatakan bahawa, walaupun terdapat potensi untuk ke arah persahabatan selepas perpisahan tetapi mereka masih memerlukan tempoh masa untuk diri mereka sendiri sebelum mereka memulakan semula atas dasar persahabatan.
Tambah beliau lagi, sekiranya kita masih berdegil untuk berhubung dengan bekas kekasih, ia akan membawa kepada kekeliruan dan konflik yang amat kritikal ke dalam diri kita. Jika ini berlaku, ini bermakna kita telah melambatkan proses untuk melupakan bekas kekasih kita.
Sibukkan diri
Cara yang tidak bagus dalam mengeluarkan diri daripada kemelut rasa adalah dengan duduk seorang diri dalam bilik dan termenung memikirkan apa yang berlaku. Jangan biarkan diri anda bersendirian kerana anda akan merasa sunyi lalu mengingati kenangan-kenangan lalu. Malah sekiranya anda membiarkan diri anda dibelenggu masalah ini, bimbang sekiranya ianya boleh memudaratkan sehingga ke tahap ‘depression’.
Oleh itu, keluarlah atau luangkanlah masa dengan rakan dan keluarga, pergi bersenam atau buat sesuatu yang kita suka untuk mengisi masa. Ia pasti membantu mengubah perhatian kita dan memberi ketenangan kepada kita.
Inilah waktu yang terbaik untuk anda mencari dan mencipta hobi serta minat baru yang berfaedah agar tidak larut terkenangkan perkara lepas. Sertailah aktiviti dalam komuniti perumahan atau masjid. Contohnya mendengar ceramah motivasi, menghadiri kelas menjahit, memanah atau bersedekah kepada orang miskin.
Biar masa tentukan
Masa sememangnya boleh membantu kita mengubati hati. Kekecewaan dan keperitan yang dirasakan sekarang tidak akan berpanjangan walaupun jauh di lubuk hati kita masih berasa kecewa. Jadi, bersabarlah dan kuatkan hati. Semuanya akan okay. Mohonlah kepada Allah agar diberikan ketabahan dan kesabaran kepada diri anda untuk melupakan si dia.
Kesedihan daripada hubungan yang terputus di pertengahan jalan ini hanyalah sementara. Anggaplah ia sebagai satu proses kehidupan agar diri kita lebih bersikap matang dalam segala tindakan, sikap, perilaku, kawalan emosi dan sebagainya.
Justeru itu, bagi mereka yang mengalami hal seumpama ini, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk melihat hikmah pada setiap kejadian. Kawallah pemikiran kita untuk berfikir dengan lebih positif terhadap segala perkara yang berlaku.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?