Elakkan Diri Dari Lelaki Panas Baran

Elakkan Diri Dari Lelaki Panas Baran

"Meskipun belum ada apa-apa ikatan yang sah, seseorang itu sudah berani marah pasangan mereka dengan perkataan yang tidak sedap didengari.."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

Sejak kebelakangan ini, kita sering kali digemparkan dengan berita mengenai suami yang panas baran sehingga sanggup memukul dan mencederakan isterinya. Walaupun kesalahan isteri terlalu kecil namun disebabkan tidak dapat mengawal perasaan dan emosi menyebabkan si suami sanggup menggunakan kekerasan untuk memuaskan hatinya. Hal ini sekali gus dapat mempamerkan sikap si dia yang panas baran. 

Sikap panas baran dan pemarah adalah sesuatu yang menakutkan terutamanya dalam perhubungan. Mana tidaknya, meskipun belum ada apa-apa ikatan yang sah, seseorang itu sudah berani marah pasangan mereka dengan perkataan yang tidak sedap didengari. Malah yang lebih merunsingkan lagi, ada sesetengah orang sanggup bertahan atau stay dengan pasangan mereka disebabkan kerana terlalu sayang. Walhal sekiranya sikap ini sudah ketara sebelum mereka berkahwin lagi, orang perempuan terutamanya dinasihatkan untuk meninggalkan lelaki seperti ini agar tidak menyesal di kemudian hari.

Turut memberikan pandangan mengenai masalah ini adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA dan Pengamal Ilmu Kaunseling United Kingdom, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, marah adalah suatu tindak balas semula jadi dan secara automatik terhadap kesakitan fizikal atau lazimnya kerana gangguan emosi. Jelasnya, kemarahan berlaku apabila seseorang tidak sihat, ditolak atau tidak diterima, terancam atau mungkin sedih atas rasa kehilangan yang berlaku dalam hidupnya.

Atas dasar itu, pasangan yang belum berkahwin seharusnya tahu untuk mengesan tanda-tanda panas baran terhadap pasangan sebelum membuat keputusan untuk hidup bersama.

Maki Hamun

Penggunaan perkataan kesat kepada anda dan orang lain adalah satu tanda yang menunjukkan seseorang itu panas baran. Malah ada ketikanya kata-kata dan perlakuan seperti pengabaian ataupun reaksi muka dengan niat bertujuan menyakitkan hati atau menimbulkan provokasi kepada pasangan dikatakan salah satu jenis penderaan. Dalam isu pasangan berkahwin, tindakan marah disertai dengan makian dan kata-kata kesat sering berlaku antara pasangan. Namun tidak ramai melihat ia satu krisis atau isu serius seperti penderaan.

Bagi yang belum berkahwin pula, sekiranya semasa tempoh perkenalan atau sepanjang tempoh pertunangan pun si dia sudah berani memaki hamun, mungkin sikap ini akan menjadi lebih teruk selepas berkahwin.

Serangan fizikal

Lempang, tumbuk, cekik, tarik tudung atau rambut, mencubit serta genggaman tangan secara kasar adalah salah satu serangan fizikal yang sering berlaku. Ianya berlaku sama ada antara pasangan yang belum berkahwin dan juga mereka yang sudah berkahwin.

Astro Awani pernah menyiarkan sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang suami membelasah isterinya di dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam. Insiden itu telah mendapat perhatian banyak pihak. Perkara seperti ini sepatutnya tidak patut berlaku lebih-lebih lagi tugas suami adalah untuk melindungi isteri mereka bukan mencederakan mereka.

Menurut pendakwah bebas Dr. Fathul Bari Mat Jahya, hukum memukul isteri adalah harus namun ada cara dan syaratnya. “Islam membenarkan seorang suami memukul isterinya dengan bersyarat iaitu memukul bertujuan untuk mengajar, pukulan yang tidak meninggalkan kesan dan tidak memukul di muka”.

"Sesempurna iman orang-orang mukmin ialah yang paling baik kelakuannya, dan yang paling lembut terhadap isterinya"

(Riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim)

Cepat Marah

Pasangan anda penyayang dan baik orangnya tetapi ada ketikanya dia menjadi seorang yang sangat pemarah. Kadang-kadang perkara itu nampak remeh sahaja tetapi dia memandangnya seperti sesuatu yang besar. Misalnya kenderaan lain potong barisan tiba-tiba dia jadi terlalu marah, memaki hamun, meludah, bergaduh dan sebagainya. 

Hampir setiap hari juga ada sahaja pengguna media sosial berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan individu panas baran dalam kehidupan seharian mereka. Lebih mendukacitakan, terdapat kes me­nyaksikan pelakunya tergamak membunuh ahli keluarga sendiri kerana tidak lagi mampu menahan atau mengawal rasa amarah serta dendam yang membelenggu diri. Disebabkan itu, ramai yang mudah ‘naik tangan’ dengan pasangan mereka. Realiti tersebut sememangnya berlaku, tidak kira­lah sudah berkahwin atau pasangan bercinta.

Menjerit

Ini selalu disalahertikan sebagai bercakap dengan kuat tapi sebenarnya tidak. Tidak dinafikan memang ada sesetengah lelaki yang mempunyai suara lantang meskipun ketika bercakap namun lain pula intonasinya ketika marah.  Anda boleh kenal pasti ketika si dia ingin memanggil anda. Perhatikan nada dan intonasinya, dia panggil dengan jeritan terutamanya apabila berlaku sesuatu krisis. 

Tidak boleh bergurau

Ada yang tidak boleh bergurau langsung tapi ada yang sekejap boleh, sekejap tidak. Ini yang selalu merunsingkan anda kerana ianya akan membuat anda keliru apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Ada hari yang anda boleh bergurau, dia akan ketawa terbahak-bahak tetapi esoknya dia menjeling anda dengan pandangan yang amat tajam dan menakutkan, mendengus dan terus marah dengan gurauan anda. Malah disebabkan sebuah gurauan, ada yang sanggup membunuh pasangannya. 

Harapkan pegar, pegar makan padi. Itulah ungkapan yang sesuai ditujukan untuk para lelaki seperti ini yang tanpa rasa bersalah sanggup meragut nyawa pasangan sendiri. Oleh itu, nasihat saya pada wanita di luar sana, hati-hatilah dalam memilih calon suami. Jangan kerana sayang anda sanggup korbankan segala-galanya.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar