Jangan takut untuk mulakan cinta jarak jauh

Jangan takut untuk mulakan cinta jarak jauh

"Apabila anda memilih untuk menjalin hubungan cinta jarak jauh, ianya bukan tiket untuk anda berlaku curang dengan pasangan..."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

Cinta jarak jauh pastinya mengundang seribu satu persoalan mengenai kejujuran dan rasa curang bagi mereka yang sedang melaluinya. Lebih-lebih lagi apabila rasa rindu mula menebal dan membuatkan kita terfikir-fikir pada si dia. Kata orang, apa yang dilakukan pasti serba serbi tidak kena. Malangnya, perasaan rindu yang dirasai tidak terbalas disebabkan kekangan oleh jarak yang jauh antara anda dan si dia.

Fenomena ini sering terjadi pada anak muda yang sudah berkerjaya ataupun menuntut di tempat yang berlainan dengan pasangan. Hal ini membuatkan masing-masing sudah komited pada gaya hidup sendiri dan sukar untuk bertemu. Ia dianggap sukar bagi sesetengah pihak kerana hubungan ini memerlukan tahap kesetiaan tinggi dan kepercayaan sepenuhnya antara satu sama lain. Mana tidaknya, kita tidak mampu melihat ataupun menegur apa saja perbuatan pasangan yang mungkin boleh curang bila-bila masa saja. 

Di sini kami kongsikan beberapa tips buat mereka yang sedang dilema dengan cinta jarak jauh ini.

Faham antara satu sama lain

Kepercayaan sahaja tidak cukup untuk menjamin hubungan cinta itu terus sihat. Dalam perhubungan, kita perlu bijak memahami pasangan lebih-lebih lagi buat mereka yang sedang berada jauh di perantauan. 

Contohnya, pasangan yang sedang komited pada kerjaya perlu memahami gaya hidup seorang pelajar yang sibuk dengan tugasan kolej sehingga ada saat tidak boleh berjumpa kerana tiada masa sesuai. Elakkan dari mengambil serius akan sesuatu perkara sebaliknya anggap ia sebagai ujian untuk mematangkan hubungan. 

Sebenarnya, cukup hanya bertanya khabar dan meluahkan rasa rindu. Dengan wujudnya teknologi yang canggih seperti WhatsApp, WeChat, Telegram dan Facetime, ianya sudah cukup untuk menjadi penghubung utama buat pasangan bercinta terutama bagi mereka yang berjauhan. Kalau timbul rasa tidak sedap hati, minta penjelasan dan jangan sesekali membuat andaian sendiri.

Jujur

Apabila anda memilih untuk menjalin hubungan cinta jarak jauh, ianya bukan tiket untuk anda berlaku curang dengan pasangan. Kejujuran adalah perlu dalam setiap hubungan kerana ia boleh dijadikan pengukur selama manakah hubungan itu mampu bertahan. 

Sebagai pasangan yang jarang berjumpa, pastinya setiap seorang inginkan perkataan diucapkan terkandung mesej yang benar dan tiada unsur dolak-dalik. Jika ada apa-apa perkara yang patut diberitahu kepada pasangan, jujurlah kepadanya kerana ia mampu menguatkan lagi hubungan itu.

Jujur dalam Islam bukan hanya dalam percakapan, tetapi termasuklah apa yang difikirkan dan juga perbuatan. Sifat jujur ini ada pada diri Rasulullah SAW hatta sebelum dilantik menjadi Rasul. Oleh kerana itulah, masyarakat Arab jahiliah pada masa itu suka kepada perwatakan Rasulullah SAW sehingga baginda digelar sebagai ‘Al-Amin’ yang bermaksud orang yang dipercayai. Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah An-Najm yang bermaksud:

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (Surah An-Najm: Ayat 4-5)

Ada prinsip

Jarak yang jauh dan masa terhad untuk berjumpa pastinya boleh mengundang segala masalah yang mendatang. Contohnya, mereka yang sedang bekerja atau belajar sebenarnya mampu bertukar kasih sayang jika dirinya tidak mematuhi prinsip seperti kepercayaan dan jujur pada percintaan. 

Ini kerana anda akan berasa keseorangan setiap kali melihat pasangan lain keluar bersama. Namun itulah yang dikatakan ujian bercinta jarak jauh sekali gus menjadikan anda individu kuat dalam menghadapi apa jua cabaran. 

Bagi anda yang mengalami kesukaran ini, tetapkanlah prinsip untuk setia dan anggap bahawa hanya pasangan kita adalah yang terbaik dan sempurna di mata kita.  Tidak mustahil, isu curang tidak akan timbul jika diri bijak menahan nafsu dan sentiasa ingat pada pasangan. Perhubungan yang jujur, ikhlas dan tanpa pihak ketiga akan berakhir dengan bahagia. 

Risiko

Sudah jadi adat dalam hubungan, ada kesudahan yang menyedihkan berlaku jika terdapat salah faham. Normal jika kita katakan pasangan yang berjauhan akan sentiasa 'break' dan kemudian hubungan itu boleh terjalin kembali. Tapi bagi mereka yang gusar dengan jarak, hal ini mungkin boleh jadi lebih serius. 

Bagi anda yang mempunyai dilema cinta jarak jauh ini, ambillah risiko sebagaimana anda percaya pada pasangan. Justeru, jika ada rasa tidak serasi dan tidak mampu faham pasangan walaupun sudah lama menjalinkan hubungan, bersedialah dengan apa saja kemungkinan untuk melepaskannya pergi. 

Selain itu, faktor wujudnya orang ketiga juga adalah salah satu risiko yang perlu diambil kira. Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah berkata, salah satu punca hubungan jarak jauh menemui kegagalan adalah disebabkan kehadiran pihak ketiga termasuklah bagi mereka yang sudah berkahwin. 

Namun, sekiranya hubungan anda bermula di alam maya, pastikan kesahihan si dia. Zaman sekarang zaman teknologi, ada kalanya mereka hanya berniat untuk memperdaya anda. Misalnya ‘scammer’. Macam-macam taktik yang mereka guna demi memuaskan hati mereka. Jadi, anda perlu hati-hati.

Lebih perhatian

Berbeza dengan hubungan jarak dekat kerana apabila anda dekat, anda boleh berjumpa dengan pasangan dan perhatian dapat diberikan sepenuhnya pada pasangan. Namun lain pula bagi mereka yang berjauhan. 

Jika berjauhan, berilah perhatian pada pasangan untuk memberikan rasa selesa dan kepercayaan padanya. Namun, ini tidak bermakna anda perlu sentiasa habiskan 24 jam sehari melayannya tanpa kesudahan. Cukuplah memberikan perhatian ibarat anda berada dekat dengannya dan seterusnya mampu wujudkan kepercayaan kepada pasangan anda.

Menurut Psychology Today, jarak jauh sudah tentu akan meletakkan jurang antara pasangan. Ruang kosong ini terisi dengan kesunyian dan ini menyebabkan hilangnya sokongan yang diperlukan. Disebabkan kurang perhatian juga akan membuatkan salah seorang mungkin akan berasa kurang percaya dengan pasangan mereka. 

Bila terdetik sahaja perasaan begini, cepat-cepatlah beristighfar dan bersangka baik kerana ia mungkin boleh mendorong kepada sebuah keretakan. Elakkan perasaan cemburu yang berlebihan dan berprasangka buruk kerana dua sifat ini akan mengeruhkan lagi hubungan anda dan pasangan. 

Jaga batas pergaulan

Ianya tidak ada salahnya untuk seseorang itu memulakan hubungan jarak jauh tetapi mestilah selari dengan batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (iaitu tiada hubungan mahram atau hubungan suami isteri). 

Ini kerana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara kedua-duanya hanya kepada keperluan (bukan kebebasan). Kebebasan akan mendorong seseorang itu kepada zina. Meskipun pasangan yang berjauhan ini kurang berisiko dalam perbuatan ini tapi masih ada segelinitir yang menyalahgunakan kemudahan yang ada dengan melakukan perkara yang tidak bermoral. Misalnya dengan berkongsikan gambar-gambar yang tidak sepatutnya kepada pasangan. 

Selain daripada itu, elakkan daripada bersembang perkara-perkara yang boleh menjurus kepada maksiat. Ustaz Bakhtiar Fitri dalam Sinar Harian ada menegaskan bahawa, segala perlakuan yang boleh membawa zina, hukumnya ialah haram seperti berbual, bermesej atau WhatsApp yang bukan keperluan. Justeru, elakkan interaksi yang boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Dengan merujuk kepada tips-tips ini, ianya dapat memudahkan anda untuk melalui sebuah hubungan berlandaskan jarak yang jauh. Apa yang paling utama, jaga batas pergaulan anda dengan si dia meskipun masing-masing sedang berjauhan. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia



 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar