Jangan Tersalah Pilih Jodoh!

Jangan Tersalah Pilih Jodoh!

"Jangan sampai tersalah pilih orang dalam membuat teman hidup. Berkahwin dengan orang yang salah adalah lebih memeritkan berbanding kekal bujang..."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Jodoh dari segi bahasa bermaksud pasangan hidup. Jodoh biasa digunakan bagi merujuk kepada pasangan kita sama ada suami atau isteri. Ada yang belum kahwin dan masih bujang, kemudian dia bertemu jodoh dengan seseorang. Itu namanya jodoh. Ada yang sudah kahwin bertahun-tahun kemudian bercerai atau pasangan mereka meninggal dunia, itu juga namanya jodoh. Bezanya adalah jodoh mereka tidak panjang.

Jodoh kita dengan siapa dan bila semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Kalau boleh kita memang mengharapkan agar dipertemukan dengan seorang lelaki ataupun perempuan yang bukan sahaja menyayangi tetapi mencintai kita sepenuh hati. Namun bagaimana jika kita tersalah pilih suami atau isteri yang betul-betul sesuai dengan kita? 

Ketika bercinta memang sikapnya lain. Bahkan selepas berkahwin barulah sedar perangai sebenar masing-masing. Namun itulah realiti. Selagi tak duduk sebumbung, tidur sebantal selagi itulah kita tak kenal siapa dia yang sebenar. Mungkin dia jenis kaki pukul atau yang leka bab agama terutama bab solat. Alangkah malangnya mendapat lelaki seperti ini. Bak kata Prof Muhaya, 

“Wanita paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami. Sebab hidup seorang perempuan itu berubah semuanya mengikut acuan suaminya. Setelah bernikah, bermakna selangkah kaki ke neraka atau ke syurga.”

Pilih Yang Mampu Membimbing Ke Jalan Yang Baik

Pilihlah insan yang mampu membawa kita menjadi insan yang baik. Dia mampu menegur kita untuk kebaikan dan mempunyai pegangan agama. Terutama bagi kaum wanita, sekiranya ketua keluarga tidak mempunyai pegangan agama, pasti sukar baginya untuk mengemudi bahtera perkahwinan kan? Ustaz Hanafi ada menjelaskan mengenai hadis Nabi:

"Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama (berpegang dengan tuntutan agama), pasti engkau beruntung." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis itu, jelas menunjukkan wanita dikahwini atas empat perkara berkenaan. Namun, apabila seseorang wanita itu hendak berkahwin dengan lelaki, panduan tersebut boleh digunakan tetapi ia bermula daripada belakang ke hadapan. Pertama ialah agamanya yang mana wanita perlu cari lelaki yang soleh. Tambah beliau lagi, sekiranya lelaki itu boleh jaga solatnya iaitu hubungannya dengan Allah S.W.T, insya-Allah dia boleh jaga kita (wanita).

Ustazah Siti Fatahiyah berkata dalam ceramah beliau, pemilihan jodoh yang baik adalah sangat penting bagi memastikan keluarga yang akan kita bina dapat membawa kita sama-sama menghuni syurga milik Allah S.W.T nanti. Beliau menegaskan lagi, dalam soal memilih pasangan, usahlah tergesa-gesa untuk jatuh cinta. YB Senator Haji Idris Haji Ahmad dalam ciapan beliau berkata, ‘keluarga yang baik bermula dengan pasangan yang kuat dengan agama, Insya-Allah akan bahagia hingga akhirat’. 

Pilihlah yang mampu bersusah-payah dengan kita

Bak kata orang tua-tua, ‘mencari teman ketawa itu mudah, tetapi mencari teman menangis itu yang sukar’. Fikirkan kembali adakah insan yang anda kenal atau pilih itu sentiasa berada di sisi anda ketika anda susah mahupun senang? Jika dia hanya ada ketika anda senang, pastinya dia bukanlah yang terbaik. 

Mencari seseorang yang sanggup susah senang bersama adalah agar sukar. Ia ibarat satu dalam seribu. Ia bukan hanya sekadar lafaz kosong tetapi jika pasangan anda dan anda sendiri adalah orang yang sanggup susah senang bersama, anda adalah pasangan yang serasi. Insya-Allah akan kekal bersama.

Malah sekiranya ada yang sanggup susah senang bersama kita, maka jagalah dia sebaiknya. Selebriti terkenal tanah air, Aeril Zafril turut mengingatkan para pengikutnya supaya ‘sekiranya ada wanita yang sanggup susah senang bersama, jagalah dia. Jangan sesekali menduakan cintanya.’ Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen itu dengan kata-kata setuju dengan peringatan tersebut. 

Serius Dalam Perhubungan

Setiap hubungan pastinya mempunyai matlamat. Setiap perhubungan pastinya ingin diakhiri dengan sebuah perkahwinan. Sekiranya dia tidak mempunyai matlamat yang jelas dan sekadar ingin main-main, dia bukanlah pilihan yang terbaik. Ianya juga dapat dikenalpasti dari segi komitmen yang dicurahkan. Komitmen adalah salah satu perkara yang paling penting dalam mengekalkan sesuatu hubungan. 

Komitmen juga berupa janji-janji yang harus ditunaikan dan ditepati. Mereka yang serius dengan hubungan yang dibina harus memiliki komitmen agar boleh meneruskan hubungan ke arah yang lebih serius. Misalnya komitmen dalam soal kewangan. Soal selidik membabitkan kelompok bujang berusia 25 hingga 49 tahun telah dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).  

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Md Noh Saiman berkata, masalah utama bagi lelaki gagal melangsungkan perkahwinan adalah kerana faktor kewangan. Ianya jelas menunjukkan tidak ada perancangan yang betul mengenai kewangan demi masa depan menandakan seseorang itu belum bersedia untuk berkahwin.

Mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga

Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga. Namun apabila seseorang itu berkahwin, itu bukan sahaja bermakna kita bersatu dengan orang yang kita kahwini, malah kita juga bersatu dengan keluarganya. 

Jika dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga kita terutamanya kedua ibu bapa kita, pastinya sesuatu hubungan itu akan menjadi sukar tanpa restu keluarga. Jika dia tidak mempunyai usaha untuk menambat hati keluarga anda, lebih baik anda berfikir semula tentang pilihan yang anda lakukan.

Istikharah 

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah S.W.T. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh Allah S.W.T. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai ‘pelakon’ mereka akan diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. 

Oleh yang demikian, umat manusia hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang itu membuat keputusan, mereka dianjurkan solat istikharah. Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk terutama apabila seseorang dalam keraguan untuk memutuskan antara dua perkara. Misalnya soal jodoh. Ia adalah perkara yang penting di mana setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jodoh, maka sandaran dan kebergantungan kita pada akhirnya ialah hanya kepada Allah S.W.T.  

Jangan sampai tersalah pilih orang dalam membuat teman hidup. Berkahwin dengan orang yang salah adalah lebih memeritkan berbanding kekal bujang. Oleh sebab itu kita mestilah berhati-hati agar tidak tersalah langkah. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: