JODOH: APABILA HATI BERBELAH BAHAGI

JODOH: APABILA HATI BERBELAH BAHAGI

"jika seseorang sampai menyeksa dirinya, anda memang seorang yang rugi!"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Jodoh, Apabila, Hati, Berbelah, Bahagi

Pernahkah para pembaca berada di dalam dilema, antara dua perkara, tidak tahu mana satu hendak dipilih? Tidak kira sama ada antara dua helai baju, tetapi hanya mahukan satu sahaja, bagaimana mahu memilihnya? Bagaimana pula dengan pekerjaan, diberi dua pilihan sama ada pekerjaan A  atau B, dua-dua mempunyai kriteria yang dikehendaki, namun yang harus dipilih, cumalah satu sahaja? Bagaimana pula kalau dikaitkan tentang hati dan perasaan manusia? Baca artikel ini selanjutnya…

"Sarah, seorang gadis yang berusia 28 tahun, seorang arkitek yang sudah mempunyai calon pilihan hati sendiri. Ramai lelaki yang melamarnya, tetapi semuanya ditolak. Tapi kenapa? Kerana dia hanya menanti calon pilihannya itu melamarnya. Tapi, sampai bila harus menanti? Umur Sarah pun dah makin meningkat usia, bila asyik menanti sahaja, sedangkan si lelaki masih lagi tidak menyampaikan hasrat untuk melamarnya, jadi, tak akan nak tunggu sahaja kan?

Sarah masih setia menanti, sampai satu masa, dia dikhabarkan bahawa lelaki yang diminatinya itu sudah berkahwin dengan perempuan lain, iaitu sepupu lelaki itu sendiri. Berkecai hati Sarah, seorang yang setia namun kesetiaannya itu diuji dengan perkara ini."

Apa yang Sarah harus lakukan? Menangis mengenangkan sahaja nasib yang menimpa dirinya? TIDAK! Itu bukan penyelesaiannya.

Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Walaupun ianya memang menyakitkan, jika seseorang sampai menyeksa dirinya, anda memang seorang yang rugi! Sehinggakan anda sendiri tidak sedar bahawa selama ini anda telah memenjarakan diri anda sendiri. Lelaki, kalau dia kata nak berkahwin dengan anda, dan sudah serius memikirkan soal perkahwinan dengan anda, ternyata dia ikhlas ingin mengahwini anda, namun sekiranya dia hanya sekadar menjalinkan hubungan cinta dengan anda tanpa ada sebarang niat untuk menghalalkan hubungan dengan anda, ternyata dia masih belum bersedia ataupun tidak serius dengan anda.

Itulah yang terjadi pada Sarah, si lelaki langsung tidak pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin, tetapi Sarah, dek kerana terlalu sayangkan si lelaki, dia sanggup menanti dengan penuh kesabaran untuk si lelaki itu melamarnya, walhal si lelaki sudah mempunyai pilihan hati sendiri. Buktinya, si lelaki telah menikahi gadis lain, mungkin bermacam alasan yang diberinya, namun, sejauh mana kebenaran itu?

Apa patut Sarah lakukan? Buka pintu hati untuk lelaki lain mengenalinya. Jangan sesekali membanding-bandingkan lelaki lain dengan si dia, kerana anda akan menganiaya diri anda sendiri, dan juga menganiya orang lain. Anda tidak layak untuk membanding-bandingkannya dengan setiap lelaki yang hendak melamar anda. Ianya dikhuatiri sekiranya selepas anda menikah dengannya nanti, anda akan menemukan peribadi yang berbeza dengan lelaki yang pernah anda kenali itu. Meskipun dia telah mengkhianati anda, namun peribadi itulah yang anda puja bertahun-tahun itu!

Anda hendaklah bincang dengan keluarga anda, minta pendapat daripada mereka, anda haruslah menghadapinya dengan sifat terbuka dan hati yang lapang sebelum membuat apa-apa keputusan. Apa yang perlu diingati; sikap menerima, merasa puas dan menunjukkan perasaan sedikit tertarik kepada lelaki lain mampu membina kehidupan yang indah selepas bernikah nanti. Jangan sesekali berputus asa dan meletakkan noktah untuk tidak berumah tangga lagi dek kerana pernah dikhianati oleh si lelaki yang bertahun lama dikenalinya!

Ianya ternyata tidak benar sekiranya anda merasakan hanya ada satu lelaki sahaja yang boleh memahami anda. Jangan jadikan itu sebagai alasan anda untuk tidak menerima lamaran lelaki lain. Hidup harus diteruskan, sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasang-pasangan. Kalau anda putus asa, ibarat anda sudah menyeksa diri anda sendiri!

Apa yang telah terjadi adalah takdir Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang. Apa yang dilakukanNya, pasti ada hikmah disebaliknya. Kejadian ini juga mungkin disebabkan Allah mahu umatNya mendekatkan diri kepadaNya dengan meningkatkan amal ibadah, supaya kita sentiasa mengingatiNya. InshaAllah, ada lagi yang terbaik menanti anda di luar sana, hanya terus berdoa meminta pertolongan daripada Allah SWT.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar