fbpxJodoh Itu Ketentuan Allah?

Jodoh Itu Ketentuan Allah?

Jodoh Itu Ketentuan Allah?

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan kita. Sebagai contoh kalau mak dan ayah kita kahwin awal, tidak semestinya kita mesti mengikut jejak langkah mereka...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan kita. Sebagai contoh kalau mak dan ayah kita kahwin awal, tidak semestinya kita mesti mengikut jejak langkah mereka. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang sana. Jika panjang jambatannya, maka jauhlah perjalanan kita. Ada sesetengah orang jodohnya cepat kerana jambatannya yang singkat.

Di usia 25 tahun bukanlah usia yang terlalu lewat jika belum berkahwin dan di usia 35 tahun juga bukanlah ada apa-apa masalah jika sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda di dalam doa-doa lewat solat kerana Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat seperti yang terdapat di dalam firmanNya:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia”.

 (An Nur : Ayat 26) 

Tidak mengapa jodoh lambat sekalipun asalkan ditemukan jodoh dengan orang yang tepat dan biarlah seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita sering menyangka yang kita pasti bahagia jika kita mendapat apa yang kita mahu. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Sebagai contoh, kita sering melihat orang memandu kereta yang agak mewah lalu terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Namun, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah itu, kita ditimpa pelbagai masalah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa berjaga malam demi mengelakkan keretanya dicuri.

Ketika anda terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, motosikal dengan mudah mencelah-celah sehingga mampu untuk berada jauh di hadapan. Maka anda pun mengeluh, alangkah baiknya jika aku hanya menunggang motosikal itu, sudah pasti aku cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang bersama. Semua perkara pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga dengan perkahwinan. Ia adalah baik sebagai saluran yang betul dan halal untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki ke alam perkahwinan.  Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah?

Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa dan seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata? 

Jika diri tidak sanggup bergelar isteri atau suami tidak usah berkahwin dahulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu dan ayah, belajarlah dahulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dahulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu kerana kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya diri jatuh terjerumus ke bawah.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi orang yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus-putus bagi orang yang menjadikan syurga sebagai matlamat mereka. Berkahwin itu juga merupakan sempadan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Tidak perlu dirisaukan soal jodoh kerana apabila tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka jalan-jalannya agar jemputan itu mudah untuk sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, kemudian Dia datangkan petir dan kilat lalu kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana hilangnya sinar, rupa-rupanya Allah ingin hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pasti akan sembuh selagi iman tersemat di dada.

Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat. Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tidak berguna adanya hati jika tidak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana sebesar-besar perkara bermula dengan sekecil-kecil niat yang bertempat di hati.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: