JODOH: TIDAK BOLEH DIPAKSA
JODOH: TIDAK BOLEH DIPAKSA
Apabila sesuatu perkara berkait tentang jodoh, ianya merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dipaksa...
Apabila sesuatu perkara berkait tentang jodoh, ianya merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dipaksa. Kita tidak boleh mengikut kehendak kita semata-mata, kerana Jodoh adalah ketentuan yang Maha Esa. Siapa kita untuk bersuara tentang jodoh sekiranya Allah masih belum temukan kita dengan jodoh kita?
Apa yang telah diberitahu oleh Allah SWT di dalam al-Quran adalah:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Baqarah ayat 216)
Untuk menyukai seseorang, ianya adalah terlalu mudah. Pergi mana-mana sahaja anda mampu bertemu dengan seseorang dan perasaan ‘suka’ itu senang sahaja untuk muncul dalam diri kita. Pergi ke kedai makan pun, jumpa lelaki/perempuan yang menepati ciri-ciri idaman anda, secara automatik perasaan ‘suka’ itu akan muncul tanpa anda sedari. Namun, dapatkah anda memiliki mereka? 1 dalam 1000, mungkin ya.
Di tempat kerja pula, apabila anda sudah mengenali seseorang, anda memulakan langkah untuk berkenalan dengannya secara lebih mendalam. Proses perkenalan dimulakan dengan jayanya. Malangnya, perhubungan itu tidak nampak akan penghujungnya, tidak pasti sama ada patut diteruskan ataupun tidak. Mungkin disebabkan tidak ada keserasian antara anda dan si dia, apa yang harus anda lakukan? Memaksa agar hubungan itu berhasil?
Maka, hubungan itu terputus.
Terasa peritnya bukan?
Sudah pasti setiap keretakan dalam perhubungan akan mengundang kepada kekecewaan. Pasti jauh di lubuk hati akan berasa teramat perit. Untuk merawat hati yang terluka juga bukan sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kekuatan dan semangat agar perasaan sedih dan kecewa itu dapat dipulihkan. Keretakan itu juga akan lagi terkesan sekiranya hubungan yang dibina sudah diberi harapan tinggi menggunung, mungkin setinggi gunung kinabalu? Hmmm.
Apa yang dialui oleh setiap individu adalah ketetapan yang ditulis oleh Allah SWT. Apabila kita sudah menebalkan muka untuk mengenali seseorang itu, namun apabila sudah tertulis jodoh kita bukan bersama mereka, pasti akan terputus jua walaupun sudah bermacam-macam usaha dilakukan.
Hidup kita ini cuma perlu Allah kerana sekiranya hidup tanpa Allah, jiwa akan terasa sangat sunyi dan sepi, apa yang dirasai oleh umat-Nya, Allah lebih Maha Mengetahui. Setiap yang sudah tertulis pasti ada hikmahnya kepada umat manusia. Jangan kita menyalahkan akan takdir sekiranya kita masih belum dipertemukan jodoh oleh-Nya.
Setiap perhubungan yang tidak berhasil, percayalah pasti ada yang lebih baik menanti anda. Jangan sesekali wujud perasaan paksa memaksa kerana JODOH, TIDAK BOLEH DIPAKSA. Kita hanya boleh merancang, tidak lebih daripada itu. Diharap kepada pembaca semua yang masih belum bertemu jodoh jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah atas setiap apa yang direncanakan. Jangan sesekali meletak harapan tinggi menggunung kerana apabila jatuh kita yang akan berasa peritnya.
Wallahualam.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?