Kalau Dah Ada Calon, Jangan Tangguh Pernikahan!
Kalau Dah Ada Calon, Jangan Tangguh Pernikahan!
“Jangan fikir lama-lama, nanti lama-lama dia diambil orang”
Pernah tak dengar lagu nyanyian kumpulan Sweet Charity yang popular pada zaman 80an dahulu, “Jangan tunggu lama-lama”? Antara liriknya yang bersahaja:
“Jangan fikir lama-lama,
Nanti lama-lama dia diambil orang”
Ungkapan lagu itu sebenarnya memberi satu mesej yang penuh makna. Mesej yang cuba disampaikan dari lagu itu adalah sebagai peringatan kepada para lelaki di luar sana yang sudah mempunyai pasangan untuk tidak melewatkan pernikahan mereka agar kekasihnya itu tidak diambil orang. Meskipun lagu itu sudah berlegar di corong radio kira-kira sejak 20 tahun lalu, masyarakat masih lagi tidak mengambil mesejnya kerana apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Malah Islam sendiri menyeru umatnya untuk mempercepatkan perkahwinan. Ianya bukan bimbang kekasih diambil orang tetapi kerana itu adalah salah satu tuntutan agama. Perkahwinan juga dipercayai dapat menjauhkan manusia dari maksiat. Statistik yang ada juga menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia berkahwin di usia yang semakin lewat. Laporan yang diperolehi dari Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia menjelaskan rata-rata penduduk memilih untuk berkahwin pada umur lewat 20-an berbanding pada umur awal 20-an pada tahun 1980-an. Apa yang mengejutkan pada tahun 2021, statistik bagi kes perceraian pula yang semakin meningkat.
Punca-Punca Perkahwinan Ditangguhkan
Seperti soal selidik yang telah dijalankan oleh Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, statistik menunjukkan banyak sebab mengapa perkahwinan ditangguhkan. Malah antara punca-punca yang dinyatakan juga sama sahaja baik di kalangan wanita mahupun lelaki.
Pendidikan
Salah satu faktor revolusi ini adalah kerana pendidikan. Kalau dibandingkan dengan zaman mak ayah kita, majoriti orang muda kini memilih untuk melanjutkan pelajaran mereka sehingga ke peringkat universiti. Jadi mereka perlu menunggu sehingga habis belajar. Selepas habis belajar, baru mereka akan fikir soal kahwin. Kebiasaannya, purata umur setiap orang yang habis pengajian tinggi dalam lingkungan umur 23 - 25 tahun.
Sesudah mereka tamat belajar, barulah mereka akan fikir soal pekerjaan dan mereka akan memikirkan soal wang ringgit sebelum menamatkan zaman bujang.
Peluang Pekerjaan
Seperti yang dinyatakan pada point di atas, rata-rata penduduk memberi alasan untuk membina kerjaya mereka terlebih dahulu sebelum mereka memikirkan soal kahwin. Dengan bekerja, mereka mempunyai sumber pendapatan sendiri yang membolehkan mereka berdikari tanpa perlu bergantung kepada keluarga mahupun pasangan.
Malah ada yang memilih untuk bekerja dahulu bagi mereka menyelesaikan komitmen seperti pinjaman pendidikan dengan agensi-agensi yang terlibat semasa mereka belajar dahulu. Ini adalah kerana selepas berkahwin, komitmen mereka akan semakin bertambah kerana melibatkan komitmen-komitmen lain seperti rumah, kereta dan anak-anak.
Tanggungjawab Terhadap Keluarga
Ada di antara lelaki dan wanita terutama bagi mereka yang berstatus anak sulung, mereka terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana masih mempunyai tanggungjawab untuk menyara atau membantu keluarga. Lebih-lebih lagi sekiranya kedua ibu bapa mereka sudah tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi. Merekalah yang menjadi tulang belakang keluarga untuk meringankan beban keluarga. Namun apabila adik-beradik mereka telah menamatkan persekolahan, barulah mereka boleh memikirkan tentang perkahwinan.
Harapan Yang Tinggi Tentang Perkahwinan
Perkahwinan juga akan tertangguh sekiranya individu tersebut, baik lelaki mahupun wanita, mempunyai jangkaan-jangkaan yang terlalu tinggi tentang perkahwinan. Misalnya, seorang wanita mengidamkan sebuah perkahwinan yang gah yang menelan belanja ribuan ringgit. Tambah merisaukan, ramai pasangan masa kini seolah-olah berlumba untuk mengadakan majlis resepsi yang mewah sehingga menjadi ikutan dalam masyarakat terutamanya bagi mereka yang berkemampuan.
Apabila kita terlalu meletakkan jangkaan yang hebat atau high expectation dalam perkahwinan, sudah tentu banyak masa yang diperlukan untuk kita menjayakan konsep seperti yang kita idamkan.
Kewangan
Dalam satu kajian, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengenal pasti tiga sebab utama seseorang melambatkan perkahwinan dan kekal hidup membujang sehingga hari tua. Antara salah satu faktor yang telah dikenal pasti dalam kajian tersebut ialah kewangan yang kurang stabil. Ada pasangan yang belum berkahwin terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka hanya disebabkan sumber kewangan yang belum mencukupi.
Ini kerana komitmen sebelum dan selepas berkahwin akan berbeza malah semakin bertambah terutama bagi kaum lelaki. Mereka perlu menyediakan tempat tinggal, makan dan minum kepada isteri dan anak-anak mereka. Bagi yang sudah bertunang pula, apabila masih tidak berkemampuan dari segi kewangan, tempoh pertunangan juga terpaksa dipanjangkan.
Kesan Perkahwinan Yang Ditangguhkan
Satu daripada kesan atau akibat dari fenomena kahwin lewat ini ialah masalah ketidaksuburan. Berita Harian melaporkan, kira-kira 690,000 orang iaitu 6.4 peratus daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan memerlukan rawatan fertiliti. Kadar kesuburan jumlah Malaysia telah menunjukkan penurunan bagi kelahiran anak daripada 2.1 ke 1.7 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2019. Ini menunjukkan bahawa purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada angka ini menurut Ketua Pengarah LPPKN dalam laporan tersebut ialah penangguhan umur perkahwinan wanita (hingga 23 tahun) yang menjadi kecenderungan dalam masyarakat negara ini. Pakar sosiologi merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, jumlah bujang senja pada tahun 2020 mungkin lebih tinggi memandangkan trend berkahwin lewat semakin menjadi kebiasaan dan sudah diterima masyarakat berbanding 20 tahun dahulu.
Walau apapun, berkahwin awal ataupun lambat, semuanya bergantung kepada pilihan hidup masing-masing. Tidak perlu menuding jari pada mana-mana pihak sekiranya situasi sebegini berlaku dalam kalangan ahli keluarga mahupun kenalan rapat.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?