Kenapa Agaknya Kita Masih Lagi Bujang?

Kenapa Agaknya Kita Masih Lagi Bujang?

Ada yang teruja untuk mendirikan rumah tangga tetapi asyik bertemu dengan orang yang salah. Ada pula yang kerap ditanya "bila nak kahwin?"...

Dikarang oleh asyrafjemaat | Motivasi

 

 

           Setiap manusia dilahirkan dengan perasaan cinta dan kasih sayang di dalam hati. Walaupun perasaan tersebut merupakan satu fitrah, kita mestilah pandai mengawal diri supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif. Apabila Allah S.W.T mengurniakan perasaan ini kepada kita, Dia juga menciptakan alam perkahwinan agar kita dapat memenuhi fitrah tadi. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Perkahwinan menjadikan ikatan antara seorang lelaki dan perempuan sah di sisi agama. 

Walaupun begitu, dengan pelbagai cabaran dalam dunia moden ini, ramai antara kita yang menghadapi kesukaran untuk mencari jodoh. Ada yang teruja untuk mendirikan rumah tangga tetapi asyik bertemu dengan orang yang salah. Ada pula yang kerap ditanya "bila nak kahwin?" oleh pak cik dan mak cik tetapi masih tidak ada insan yang menghampiri. Oleh itu, sesetengah kita pasti tertanya, “Kenapa agaknya aku ni masih bujang? Tak ada orang yang suka ke?” Di sini kami sertakan beberapa sebab yang mungkin relevan buat anda. Insya-Allah, sama-sama kita perbaiki diri supaya jodoh yang baik mendatang. Ingat, yang baik datang daripada Ilahi dan yang buruk adalah daripada kelemahan kita sendiri. 

1) Allah Beri Peluang Untuk Berbakti Kepada Ibu Bapa

Dalam satu ceramah agama, Dato’ Ustaz Kazim Elias ada menegaskan bahawa mungkin seseorang itu masih lagi bujang kerana Allah mahu mereka berbakti kepada ibu bapa terlebih dahulu. Selagi ibu bapa kita masih ada, tidak salah untuk kita jadikan mereka sebagai ‘lubuk pahala’ yang mendekatkan kita dengan syurga Allah. Jika kita sudah berkahwin kelak, fokus kita akan beralih kepada keluarga sendiri dan masa yang diperuntukkan untuk ibu bapa sudah menjadi terhad terutamanya buat wanita. Atas sebab itu, Allah bukakan dahulu jalan untuk kita membalas jasa kedua orang tua sebelum Dia mempertemukan kita dengan seorang pasangan yang soleh atau solehah.  

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:

“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” 

(Riwayat Muslim [2551])

Berdasarkan hadis ini, kita dapat lihat betapa pentingnya memuliakan ibu bapa dalam kehidupan kita. Maka kalau kita masih lagi bujang dan mempunyai kedua ibu bapa di sisi, tak usahlah gusar. Jalankanlah tanggungjawab sebagai seorang anak dengan hati yang terbuka dan minta ibu bapa untuk mendoakan yang terbaik buat kita. Doa ibu bapa itu ‘mahal’ harganya. Siapa tahu, dengan kita berbakti kepada mereka, jodoh yang ditakdirkan buat kita itu pun semakin mendekat. 

2) Allah Beri Jodoh Pada Masa Yang Dikehendaki-Nya 

Jangan bersangka buruk dengan Tuhan. Pengetahuan-Nya melangkaui batas pemikiran kita. Ini bermaksud Dia mengetahui apa yang bakal berlaku, apa yang membuatkan kita bahagia dan apa yang kita perlukan untuk mendekatkan diri kita pada-Nya. Jadi jika kita masih belum berpunya, mungkin waktunya bukan sekarang. Mungkin Allah berikan waktu itu untuk kita ubah sesuatu. Barangkali Allah mahu kita berubah menjadi insan yang lebih baik atau Dia berikan ujian ini agar kita memperoleh nikmat yang lebih besar di kemudian hari.

Ayat al-Quran ada menyebut,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: Ayat 216)

Justeru, berlapang dadalah dengan ketentuan Tuhan. Kalau kita menerima hakikat bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik, hati kita pasti akan berasa tenang. Dia tahu hamba-hambanya ingin dicintai oleh insan lain. Maka teruskan ikhtiar kita dalam mencari jodoh. Buatlah ibadah-ibadah sunat semampunya dan luaskan kenalan kita. Insya-Allah, Allah melihat amalan-amalan yang kita lakukan.

3) Belum Bersedia (Lahiriah Dan Rohaniah) 

Di samping itu, barangkali kita masih bujang kerana kita sendiri yang belum bersedia untuk memulakan komitmen sebagai seorang suami atau isteri. Kadang-kadang keinginan itu ada, tetapi persiapannya belum lengkap. Alam perkahwinan bukanlah satu fasa yang mudah. Perjalanan tersebut memerlukan kesabaran yang tinggi, sistem kewangan yang stabil, ilmu agama yang mencukupi dan lain-lain lagi. Kalau salah satunya kurang, macam mana kita hendak pastikan yang kita mampu untuk membahagiakan pasangan kita? Betul, kita sentiasa ada ruang untuk berubah sesudah berkahwin nanti, tapi mungkin saja kemampuan kita tidak menepati garis panduan yang Allah tetapkan. 

Rumah tangga seharusnya berkekalan sehingga ke akhir hayat kita. Sebab itulah kita disarankan untuk sekurang-kurangnya mengetahui asas dalam perkahwinan. Contohnya, solat lima waktu perlulah cukup dan keterampilan diri mestilah terjaga. Itu maksudnya dengan persediaan lahiriah dan rohaniah. Bawa bersabar dan ambil masa sebaiknya untuk kita bentuk diri kita ke arah yang diredhai Allah. Bila tiba masanya nanti, jodoh kita akan menyusul.

4) Tiada Daya Penarik

Zaman sekarang, kebanyakan daripada kita tidak sabar-sabar mahu menjalinkan ikatan yang sah dengan seseorang yang istimewa. Di Malaysia ini, orang kata “bunganya bukan sekuntum, kumbangnya pula bukan seekor.” Semuanya segak-segak dan cantik-cantik belaka. Tanpa daya penarik, sudah tentu orang ramai tidak akan perasan kehadiran kita. Memang rupa fizikal bukanlah tanda aras yang baik dalam mencari teman hidup yang sejati, tetapi itu tidak bermakna kita boleh lepas tangan dalam hal ini.

Setiap daripada kita dilahirkan dengan kelebihan masing-masing. Maka gunakanlah kelebihan itu sebaiknya supaya orang nampak siapa kita. Tak semestinya kita perlu sekacak selebriti untuk meraih perhatian. Ada orang yang celik mindanya. Maka dia didekati kerana ilmu yang dia ada. Ada pula yang ramah lisannya, jadi semua orang mudah bergaul dengannya. Oleh itu, gunakan anugerah yang Allah berikan dengan sebaiknya termasuklah sewaktu mencari jodoh. Kalau si dia sukakan kita, lambat-laun dia akan menghampiri.

5) Terlalu Melindungi Diri 

Ada antara kita yang takut bercinta kerana bimbang hati terluka. Individu sebegini biasanya akan cuba menjauhkan diri daripada mempunyai hubungan yang serius. Jika ada yang menghampiri, dia akan berasa curiga tidak bertempat. Sebetulnya, tidak salah untuk kita melindungi diri sendiri kerana tiada sesiapa yang mahu bertemu dengan orang yang salah. Akan tetapi, jika kita tidak membuka peluang kepada orang lain, bagaimana kita mahu tahu bahawa dialah orang yang kita nantikan selama ini, kan?

Nasihat kami, jaga hati kita seeloknya. Jangan sampai kita mengetepikan semua orang. Lihat tingkah laku seseorang itu dahulu. Kalau niatnya baik dan caranya baik, cuba berkomunikasi dengannya dan tengok ke mana arah hubungan tersebut. Jika tidak sesuai, undur diri secara sopan. Kita juga perlu ingat bahawa setiap daripada kita mempunyai keburukan sendiri. Oleh itu, aturlah langkah dengan teliti atau tanya pendapat orang yang rapat dengan kita. Kadang-kadang, terlalu memilih salah, bersikap terlalu terbuka pun salah. Memang urusan mencari jodoh ini bukan mudah, tetapi bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” 

Penulisan ini hanyalah sebahagian daripada pendapat kami berdasarkan bacaan dan sedikit kajian yang kami lakukan. Mungkin ada lagi alasan-alasan lain mengapa kita masih lagi bujang. Apapun alasannya, yakinlah dengan ketentuan Allah kerana Dia sentiasa memberikan kita yang terbaik. Kita sahaja yang tidak nampak. Selain itu, jangan berputus asa untuk berusaha dan memperbaiki diri. Biasalah kita ini manusia biasa. Kita nak bercinta tapi adakala kita lupa untuk memohon bantuan Ilahi atau memohon restu ibu bapa. Betulkan kesilapan kita dan insya-Allah urusan lain akan menjadi mudah.

Akhir sekali, betulkan niat mencari jodoh kerana mencari redha Ilahi. Terdapat banyak keberkatan dalam kehidupan berkeluarga. Kahwinlah kerana keberkatan itu. Sesungguhnya pegangan kita kepada agama akan membawa kita ke arah syurga-Nya. Buat mereka yang masih mencari, kami doakan agar permintaan anda terjawab suatu hari nanti. 



 

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar