Kenapa Tidak Ada Orang Mahukan Aku?
Kenapa Tidak Ada Orang Mahukan Aku?
"Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun rezekinya dalam hal jodoh masih belum berpihak kepadanya..."
“Kenapa tidak ada orang mahukan aku? Aku ni tak cantik ke? Apa kurangnya aku? Sampai bila aku akan hidup bujang?”
Barangkali itulah antara persoalan yang bermain di minda seseorang apabila merasakan jodoh mereka begitu lambat atau ‘berat’. Belum pun reda dengan segala persoalan yang bermain di fikiran itu, orang di sekeliling pula yang menambahkan lagi keresahan mereka. Sehinggakan soalan mengenai jodoh sudah tidak terjawab lagi.
Malah ada yang sanggup menjauhkan diri dari saudara-mara semata-mata untuk mengelak dari ditanya tentang soal jodoh. Sampai bila asyik nak menjauhkan diri dari mereka? Lambat laun pasti berjumpa jua.
Benar jodoh itu adalah ketentuan Allah SWT tetapi pasti ada hikmahnya disebalik ketentuan ini. Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun rezekinya dalam hal jodoh masih belum berpihak kepadanya.
Setiap orang sudah ditetapkan jodohnya
Seperti yang sudah diketahui umum, rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan oleh Allah SWT sebelum seseorang itu lahir ke dunia. Kita sebagai manusia pasti sering tertanya-tanya mengenai rezeki kita. Bagaimana bentuk rezeki yang akan Allah kurniakan pada kita. Apabila sudah tiba masanya pula, kita pasti akan memikirkan mengenai jodoh kita pula. Siapa yang paling layak untuk dijadikan sebagai pasangan kita walhal semuanya sudah ditetapkan oleh Allah.
“Maha suci Allah yang menciptakan semuanya berpasangan daripada yang ditumbuhkan di bumi dan diri mereka, juga daripada apa yang mereka tidak ketahui” (Surah Yasin, ayat 36)
Pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek berkata, jodoh seseorang itu pasti ada, sama ada di dunia ataupun di akhirat. Perbincangan di antara kalangan ulama, jodoh setiap orang ada sebagaimana rezekinya. Tambah beliau lagi, sebelum seseorang itu lahir telah ditetapkan empat perkara buatnya iaitu rezeki, umurnya, amalnya dan bahagianya.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim- dari abu abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anh, katanya:
Telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w dan ia benar lagi dibenarkan (ertinya ia (Rasulullah) yang benar dan dibenarkan segala tindakannya) ; sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari air mani, kemudian jadi segumpal darah seperti demikian itu empat puluh hari, kemudian jadi seketul daging seperti demikian itu juga iaitu empat puluh hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimah, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya serta celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada tuhan selainnya, sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah ia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal dengan ahli neraka sehinggar antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, mungkin terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan pula dengan amal ahli syurga, maka masuklah ia ke dalamnya. -Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ada orang mungkin sudah lakukan pelbagai usaha tetapi masih tiada jodoh. Kemungkinan jodoh yang Allah telah tetapkan itu telah meninggal dunia atau syahid dan mereka akan bertemu dalam syurga nanti.
Penyebab Jodoh Lambat atau ‘Berat’
Kemungkinan besar jodoh seseorang itu ‘berat’ kerana Allah SWT ‘memberatkan’ jodohnya dan kedua barangkali kerana sikap individu itu sendiri. Mungkin mereka sendiri yang terlalu memilih atau malas mencari jodoh. Hanya sekadar menanti jodoh datang kepadanya. Dalam bab jodoh, ianya sama ada dua iaitu terjumpa jodoh atau mencari jodoh.
Hasil kajian yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN), 35.7% bagi golongan wanita yang belum berkahwin menyatakan punca utama adalah tiada pasangan yang sesuai. Konsep tiada pasangan yang sesuai boleh dirumuskan di sini sama ada mereka (perempuan) terlalu memilih atau sebaliknya.
Jodoh juga seperti suatu perjalanan. Kalau jauh destinasinya, maka jauhlah perjalanannya sebelum tiba ke destinasi. Ada orang jodohnya cepat malah ada orang sudah ditakdirkan jodohnya lambat. Tidak ada sesiapa yang mampu melawan takdir Allah, ternyata setiap kelewatan pasti ada hikmahnya.
Allah melambatkan jodohnya untuk mereka sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran dan ujian selepas berkahwin. Sebagai manusia, kita sudah tahu sememangnya jodoh adalah takdir Allah maka kita hendaklah menyatakan perasaan dan keinginan itu dalam setiap doa terutama selepas solat.
Jangan Salahkan Takdir
Biar lambat jodoh asalkan mendapat pasangan yang betul-betul tepat untuk dijadikan pasangan hidup. Sekuat manapun kita mencintai seseorang tetapi kalau sudah tidak ditakdirkan bersama maka pasti tidak akan bersatu jua.
Jika anda lewat bertemu jodoh sekalipun, usahlah menyalahkan takdir. Kita akan hilang kebahagiaan hidup. Kebahagiaan itu letaknya di hati. Kalau tidak bertemu jodoh tetapi kita reda dan faham dengan ketentuan Tuhan, kelewatan dalam bertemu jodoh bukan menjadi satu masalah besar. Usah sesekali mengeluh. Mengeluh hanya akan meletihkan dan menyakitkan hati.
Nasihat Ustaz Hanafi kepada mereka yang sedang diselubungi masalah ini, “jangan sesekali mengeluh. Terus berusaha dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Sebaliknya teruskan berdoa dan senyum selalu. InshaAllah jodoh ada”. Ujar beliau lagi, lambat atau cepat jodoh seseorang itu ia sebenarnya ialah urusan Allah SWT.
Kesimpulan
Tiada hamba yang boleh menolak kekuasaan Tuhannya. Begitu juga dalam soal mencari pasangan atau jodoh ini. Manusia boleh berusaha tetapi yang menentukan kejayaan sesuatu rancangan itu adalah Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa muhasabah diri dan perbaiki diri untuk jadi lebih baik.
Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik pula adalah untuk wanita-wanita yang baik."
(Surah An-Nur : Ayat 26)
Belum ada jodoh?