Pahit Manis Hubungan Jarak Jauh

Pahit Manis Hubungan Jarak Jauh

Pahit Manis Hubungan Jarak Jauh

"Faktor usia, kewangan dan kesetiaan sering menjadi cabaran besar dalam menjalinkan perhubungan jarak jauh pada usia muda ini.."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Usia yang semakin meningkat dewasa terutama bagi mereka yang mencapai 20-an adalah salah satu fasa yang penuh mencabar. Malah pada ketika ini juga mereka sedang membina hidup dan pada masa yang sama memberi fokus pada cinta. Ianya seperti perkara biasa yang harus dititikberatkan bagi mereka yang sedang melalui fasa ini. 

Namun ianya akan lebih mencabar bagi mereka yang memilih untuk bercinta melalui hubungan jarak jauh. Ini mungkin disebabkan oleh faktor tersendiri misalnya sedang menyambung pengajian tinggi ataupun mereka sudah mula bekerja yang menyebabkan faktor jarak menghalang mereka. Hal ini membuatkan masing-masing sudah komited pada gaya hidup sendiri dan sukar untuk bertemu. Ia dianggap sukar bagi sesetengah pihak kerana hubungan ini memerlukan tahap kesetiaan yang tinggi dan kepercayaan sepenuhnya antara satu sama lain. 

Faktor usia, kewangan dan kesetiaan sering menjadi cabaran besar dalam menjalinkan perhubungan jarak jauh pada usia muda ini. Tambahan pula, hubungan jarak jauh pada masa kini seolah-olah sudah menjadi seperti sebuah trend untuk anak muda zaman sekarang. Bagi yang tabah untuk mengharunginya mungkin perhubungan boleh sampai ke jenjang pelamin namun jika tidak tabah mengharunginya pasti ia boleh terhenti di tengah jalan.

Artikel kali ini kami akan merungkaikan kemanisan dan juga cabaran bercinta jarak jauh pada usia muda.

Kebaikan

Jaga batas pergaulan

Ianya tidak ada salah untuk seseorang itu memulakan hubungan jarak jauh tetapi mestilah selari dengan batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (iaitu tiada hubungan mahram atau hubungan suami isteri). 

Ini kerana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara kedua-duanya hanya kepada keperluan (bukan kebebasan).

Lebih menghargai si dia

Apabila berjauhan anda akan lebih menghargai pasangan anda terutama ketika berpeluang berhubung melalui telefon apatah lagi bertemu. Apabila anda dan si dia saling menghargai antara satu sama lain, ianya sekaligus akan mendidik diri untuk setia dan percaya antara satu sama lain. Malah perasaan sayang dan rindu juga semakin bercambah membuatkan hubungan kian erat.

Mengenali dirinya

Percaya atau tidak, apabila jarang bertemu bukan rasa rindu saja yang kian menebal malah anda semakin mengenali peribadi pasangan. Anda boleh melihat bagaimana si dia berkelakuan dan mengenali karakternya apabila berjauhan.

Pupuk sifat sabar

Berjauhan dapat menanam sifat sabar dalam diri apabila kebanyakan perkara terutama komunikasi bakal menguji kesabaran. Malah sebagai umat Islam juga, kita digalakkan untuk sentiasa bersabar. Kita bukan sahaja dituntut bersabar ketika menghadapi ujian sahaja, bahkan juga dalam memerangi hawa nafsu.

Ada masa untuk diri sendiri 

Bila tidak selalu berjumpa, anda ada masa untuk diri sendiri lantas boleh juga fokus pada perkembangan diri sendiri. Pensyarah Kanan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Dr Noor Aishah Rosli berkata, masih ramai tidak memahami keperluan masa untuk diri sendiri dan mengabaikan rutin itu yang hakikatnya mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan mental individu.

Belajar jujur dan setia 

Lokasi yang jauh boleh memupuk sifat setia untuk satu jalinan yang sah. Apabila anda memilih untuk menjalin hubungan cinta jarak jauh, ianya bukan tiket untuk anda berlaku curang dengan pasangan. Kejujuran adalah perlu dalam setiap hubungan kerana ia boleh dijadikan pengukur selama manakah hubungan itu mampu bertahan. 

Jujur dalam Islam bukan hanya dalam percakapan, tetapi termasuklah apa yang difikirkan dan juga perbuatan. Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah An-Najm yang bermaksud: 

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” 

(Surah An-Najm: Ayat 4-5)

Cabaran

Salah faham

Apabila hanya berkomunikasi melalui teks, ia boleh menimbulkan salah faham dan salah komunikasi yang boleh mengeruhkan hubungan. Sudah jadi adat dalam hubungan, ada kesudahan yang menyedihkan berlaku jika terdapat salah faham. Normal jika kita katakan pasangan yang berjauhan akan selalu 'break' dan kemudian hubungan itu boleh terjalin kembali hanya disebabkan ‘salah faham’. 

Selalu rindu 

Berjauhan membuatkan perasaan rindu pada si dia dan hari anda pun boleh jadi tidak ceria. Kajian membuktikan bahawa menanggung rasa rindu mampu memberi impak buruk kepada kesihatan mental seseorang.

Scientific American mendapati berjauhan daripada orang tersayang boleh memicu rasa kebimbangan melampau, kemurungan dan gangguan tidur. Meskipun rasa rindu itu normal, namun sebagai orang Islam, kita masih perlu mengawal perasaan itu.  Menerusi ciapan Ustaz Bakhtiar Fitri di Twitter miliknya, minat dan rindu seseorang itu tidak salah kerana ia fitrah manusia. Namun, jangan sampai obses hingga minat dan rindu yang membawa kepada 'zina' hati. Tambah beliau lagi, jika rindu, berdoa agar Allah SWT jaga dan berharap Allah SWT permudahkan urusan perkahwinan. Jangan jadikan rindu sebagai alasan untuk berbual dan berjumpa. Takut berlaku 'zina' hati dan akhirnya membawa kepada 'zina' kemaluan.

Tidak percaya 

Bila berjauhan dan kurang kepercayaan anda akan sering merasa curiga terhadap si dia dan selalu dibelenggu perasaan takut sekiranya si dia akan curang. Kepercayaan dalam sebuah perhubungan sangatlah penting. Disebabkan oleh perhubungan jarak jauh, faktor kepercayaan menjadi perkara utama dalam setiap percintaan. Jika rasa percaya pada pasangan sudah hilang, maka sebuah perhubungan yang dibina akan musnah.

Lagi banyak godaan 

Selalunya orang yang bercinta jarak jauh akan selalu berhadapan dengan lebih banyak dugaan dan godaan persekitaran. Ini kerana anda akan berasa keseorangan setiap kali melihat pasangan lain keluar bersama. Namun itulah yang dikatakan ujian bercinta jarak jauh sekaligus menjadikan anda individu kuat dalam menghadapi apa jua cabaran.  

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: