“SAYA MAHU BERKENALAN, TAPI SAYA MALU”

“SAYA MAHU BERKENALAN, TAPI SAYA MALU”

"hanya orang bijak mengambil kesempatan akan mendapat peluang tersebut"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

Wanita mahupun lelaki pasti wujud perasaan malu dalam diri mereka, terutama golongan wanita. Untuk mereka memulakan sesuatu yang melibatkan hati dan perasaan pasti akan menjadi sedikit sukar. Kami di baitulmuslim.com, sering menerima email, mesej daripada kaum wanita yang mengatakan mereka malu atau segan untuk memulakan perbualan dengan kaum lelaki.

Namun, adakah ianya salah untuk kaum wanita memulakan perbualan dengan kaum lelaki? Adakah ianya mendatangkan persepsi yang kurang menarik kepada kaum lelaki? Tidak, tidak ada salahnya kalau si wanita mahu memulakan perbualan dengan kaum lelaki. Memang sudah fitrah seorang wanita yang dilahirkan dengan perasaan ‘malu’, namun jangan biarkan perasaan itu menyebabkan anda sukar memulakan sesuatu terutama dalam hal berkaitan jodoh.

Kami menggalakkan kaum wanita untuk memulakan perbualan anda dengan calon lelaki. Anda mungkin boleh mulakan dahulu dengan memberi salam dan bertanya khabar. Kalau tidak menerima apa-apa respon daripada mereka, hantar kepada calon lain pula. Tak salah untuk melakukan begitu. Kalau anda tak mulakan, macam mana hubungan itu mampu dibina? Cuba beranggapan bahawa ada sesetengah lelaki  juga malu untuk memulakan perkenalan atau memulakan perbualan, jadi kalau anda yang mulakan dahulu, ianya ibarat seperti bulan jatuh ke ribalah jawabnya.

Zaman sudah berubah, ada juga lelaki yang pemalu dan tidak ada salahnya pun untuk perempuan memulakan dahulu perkenalan. Ustaz pernah mengatakan, hanya orang bijak mengambil kesempatan akan mendapat peluang tersebut. Jadi, kalau anda ada menaruh hati pada mana-mana lelaki, mulakan langkah yang sepatutnya selagi ianya tidak melanggar batas agama.

Seperti yang ditekankan di atas, wanita boleh memulakan dengan memberi salam perkenalan, bertanya latar belakang, malah anda juga boleh berjumpa sekalipun,  dalam erti kata lain, bertaaruf. Namun semasa berjumpa, si wanita haruslah membawa bersama ahli keluarga atau teman.  Ianya dilakukan agar perbualan tidak meleret-leret atau terlalu terperinci yang boleh membawa kepada fitnah dan kelekaan.

Selain itu, wanita juga berhak memulakan dengan menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada seorang lelaki yang diminatinya. Disebabkan bilangan lelaki yang makin sedikit, ianya menjadi semakin wajar bagi seorang wanita untuk berbuat demikian. Hanya orang bijak dan pandai sahaja yang berani merebut peluang ini.

Sebagai contoh, kisah Saidatina Khadijah yang telah memulakan dahulu perkenalan terhadap peribadi Rasulullah SAW melalui hambanya, Maisarah. Malah, Saidatina Khadijah juga yang melamar baginda, Rasulullah SAW. dan mereka hidup bahagia. Yang paling penting adalah dari segi pemilihan pasangan. Sekiranya ini dapat diamalkan oleh sesetengah individu, maka lenyaplah tanggapan negatif terhadap ungkapan “perigi mencari timba”, perempuan memulakan sesuatu perkenalan.

Ingat, malu merupakan halangan terbesar bagi wanita untuk memulakan langkah pertama. Cuba membina kenyakinan diri sendiri melalui penampilan dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi, kerana ada sesetengah wanita, nak berkomunikasi dengan lelaki pun dia tidak reti!

Lakukannya secara perlahan-lahan. Jangan mengharapkan kejayaan terus datang bergolek, kerana setiap langkah yang diambil, pasti ada kesannya. Biar sikit demi sedikit langkah yang diambil, supaya tidak nampak seperti mendesak. Biarkan ianya berlalu secara normal sahaja. Namun, kalau ianya membuahkan hasil, sudah tentu mereka akan cukup gembira, cinta yang selama ini bukan hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Berusaha dan terus berusaha :)

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar