Sebab Lambat Kahwin: Pengaruh Budaya Barat

Sebab Lambat Kahwin: Pengaruh Budaya Barat

"Apabila sudah selesa mengamalkan perbuatan bersekedudukan antara lelaki dan wanita, ia akan membuatkan golongan ini tidak memikirkan soal kahwin.."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

 

Fenomena kahwin lewat telah menyumbang kepada ketidaksuburan dan ketidakseimbangan struktur umur dalam populasi penduduk di Malaysia. Jumlah populasi warga emas yang tidak diimbangi oleh kelahiran kanak-kanak menyebabkan negara bakal menjadi sebuah negara tua menjelang 2030. Generasi milenium yang merupakan 40 peratus daripada populasi penduduk adalah pendukung kepada aspirasi pembangunan dan kesejahteraan negara.

Satu kajian telah dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai kebarangkalian berkahwin lewat dan faktor yang mempengaruhi adalah dalam kalangan generasi milenium. Golongan ini rata-ratanya memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka pada usia yang agak lewat. 

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan bahawa bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 adalah 184,589, menurun 9.4 peratus daripada 203,661 pada 2019. Trend penurunan kadar perkahwinan di Malaysia ini adalah selari dengan negara lain seperti Australia, Singapore, Japan, Kuwait, Palestine dan Turkey. 

Situasi ini amat membimbangkan kita sebagai umat Islam di Malaysia. Ini kerana berkahwin lewat mengundang pelbagai masalah seperti pergaulan bebas, hubungan seks luar nikah, pengguguran janin, pembuangan bayi dan lain- lain lagi. Kajian yang dilakukan oleh satu kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas.

Lebih Fokus Kepada Kerjaya Dan Kestabilan Kewangan

Senario semasa menunjukkan bahawa kecenderungan perkahwinan lewat adalah di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan penduduk yang bekerja. Mereka  berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar sebelum berkahwin. Ini sejajar dengan pertumbuhan kadar urbanisasi di Malaysia daripada 70.9 peratus (2010) kepada 76.2 (2019) dan penyertaan wanita dalam tenaga buruh.

Ramai golongan muda lebih menumpukan kepada kerjaya dan kestabilan kewangan berbanding perkahwinan serta memiliki anak yang secara tidak langsung menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di negara ini. Malah, memiliki anak yang sedikit seolah-olah sudah menjadi trend di negara-negara maju yang menjadi ikut-ikutan masyarakat di negara-negara membangun. Malaysia juga turut menunjukkan peningkatan ini memandangkan ramai yang memilih untuk berkahwin lambat dan menghadkan jumlah anak bagi setiap keluarga.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ramai generasi muda terpengaruh dengan trend berkenaan. Beliau berkata, ramai yang memilih untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Ini adalah kerana untuk memberi lebih fokus bagi mengukuhkan kerjaya berbanding mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak.

Terdahulu, dilaporkan kadar kelahiran di negara ini menunjukkan penurunan yang ketara yang memberi kesan masa panjang daripada aspek pembangunan sumber manusia. Ini dapat dilihat melalui kadar pertumbuhan penduduk yang menurun daripada 2.1 peratus pada 2010 kepada hanya 1.7 peratus pada 2020.

Bersekedudukan Dengan Bukan Muhrim - Pengaruh Budaya Barat

Setiap manusia khususnya umat Islam mempunyai matlamat dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Matlamat hidup yang utama adalah beriman, beribadat dan beramal kepada Allah S.W.T. Apa yang membuat seseorang itu lalai adalah berpunca daripada kesibukan dunia yang sementara sehingga menyebabkan amalan yang baik terabai. 

Budaya barat jelas menunjukkan satu contoh yang tidak elok dari segi akhlak serta melalaikan kehidupan di dunia ini. Budaya barat meresap dengan pantas melalui gaya hidup yang menjadi ikutan remaja atau generasi muda. Apa yang kita dapat lihat sekarang, pengaruh lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kian meresap walaupun isu ini sukar dikesan dalam kehidupan masyarakat.

Apa yang bertambah buruk, bersekedudukan antara bukan mahram juga dijadikan seperti norma biasa dalam kalangan masyarakat. Perkara ini nampak sebati jika dibandingkan dengan negara barat namun ianya jelas melanggar hukum syariat. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya):

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Hikmah daripada larangan ini adalah, supaya perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau mukadimah zina (permulaan) dapat dielakkan. Ini kerana, perbuatan khalwat (berdua-duaan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka.

Apabila sudah selesa mengamalkan perbuatan bersekedudukan antara lelaki dan wanita, ia akan membuatkan golongan ini tidak memikirkan soal kahwin. Utusan Malaysia ada melaporkan pasangan yang sudah enam tahun bersekedudukan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Meskipun tetap mengakhirinya dengan perkahwinan namun perbuatan bersekedudukan itu tetap haram di sisi Islam. 

Pengaruh Filem Barat 

Tidak dinafikan, kemasukan filem-filem barat juga telah membawa kesan-kesan negatif kepada masyarakat Malaysia. Setiap lapisan masyarakat terutama golongan remaja perlu mengelak dan menjauhi perbuatan yang tidak baik. Pengaruh filem yang bercorak tidak senonoh seperti isu kemaksiatan dan persekitaran yang tidak sihat mendorong ke arah keruntuhan akhlak masyarakat.

Unsur-unsur tidak baik dalam filem barat mungkin menjadi salah satu punca yang mendorong ke arah unsur jenayah atau seks bebas yang sepatutnya tidak dipandang ringan. Akhlak masyarakat terutamanya remaja semakin teruk dari masa ke semasa. Pengaruh filem barat juga telah memberi kesan kepada leburnya jati diri ketimuran dalam diri masyarakat. 

Setiap aksi, gaya dan budaya dalam filem asing menjadi ikutan remaja masa kini tanpa memikirkan akibat yang akan mereka tanggung atas perbuatan tersebut. Lambakan filem dan drama yang bercorak bebas ini nampaknya telah merobek benteng nilai agama dan ketimuran yang tinggi sesebuah masyarakat.

Oleh sebab itu, perihal budaya perlu diberikan perhatian serius agar kita tidak membawa budaya barat yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai agama dan bangsa setempat. Hal ini supaya kita dapat dapat mengurangkan perkara-perkara negatif seperti pergaulan bebas, hubungan seks luar nikah, pengguguran janin, pembuangan bayi dan lain- lain lagi. Terapkan ilmu dan hikmah perkahwinan yang secukupnya kepada mereka yang masih bujang agar tidak terpengaruh dengan budaya barat.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar