SOALAN DARI PEMBACA: WAJAR KAH PEREMPUAN MELAMAR LELAKI?

SOALAN DARI PEMBACA: WAJAR KAH PEREMPUAN MELAMAR LELAKI?

"Saya pernah terfikir untuk melamar beliau menjadi suami saya. Adakah tindakan yang saya fikirkan itu berasas?"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Kongsi artikel ini: 

Soalan dari pembaca: 
Assalamualaikum tuan/puan.

Saya berumur 25 tahun, seorang #### di selatan tanah air. Saya masih belum bernikah. Saya pernah berniat tak mahu bernikah disebabkan sejarah keluarga yang melarat disebabkan penceraian ibu bapa serta pernah dikecewakan lelaki. Tetapi hujung tahun lepas, saya telah menghadiri walimah seorang rakan karib. Semasa majlis tersebut, keluarga rakan saya telah berkenan untuk memperkenalkan saya dengan seorang saudara lelaki yang masih belum berkahwin. Saya menolak dengan baik. Tetapi rakan dan keluarga mereka tetap mengusik untuk memperkenalkan saya dengan lelaki tersebut.

Saya risik-risik tentang lelaki tersebut dari rakan saya ni. Dia katakan yang lelaki tersebut baik dan sangat bertanggungjawab dengan keluarganya. Saya lembut hati untuk berkenalan dengan lelaki tersebut setelah rakan saya yakinkan lelaki tersebut amat menjaga ibunya. Saya mendapatkan nombor handphone lelaki itu.

Saya mulakan mesej dengan lelaki tersebut dan menyatakan untuk berkawan dengan dia. Dalam hal ini, saya berniat untuk berkenalan dan kemudian bernikah. Saya tak mahu lagi bercinta sebelum nikah. Tetapi selepas mesej yang diatas, saya tak tahu nak mulakan perbualan tentang isu lain. Maksudnya untuk lebih mengenali.(saya tak pernah lagi mulakan perkenalan dengan lelaki)

Saya selalu lakukan solat istiharah untuk minta petunjuk. Tetapi waktu yang sama, saya selitkan nama lelaki tersebut dalam istiharah saya kerana saya harap dapat bernikah dengannya memandangkan saya berkenan dengan peribadi beliau. Soalan saya, wajarkah saya istiharah dengan berharap lelaki itu jadi suami saya? Apakah patut saya lakukan kerana lelaki tersebut tak memberikan apa-apa tanda kepada saya sama ada dia suka atau tidak dengan cadangan keluarga rakan saya untuk menyatukan kami. Saya pernah terfikir untuk melamar beliau menjadi suami saya. Adakah tindakan yang saya fikirkan itu berasas?

Mohon pertolongan dan penjelasan. Terima kasih.

Jawapan dari pihak baitulmuslim:
Waalaikumsalam. Terima kasih atas kepercayaan cik mengenai masalah ini. Pertama saya harus berterus terang bahawa kami masih belum mempunyai pakar untuk permasalahan ini di sini. Dan segala apa yang saya cadangkan atau maklumkan hanyalah pandangan peribadi admin sahaja.

Mengenai masalah memasukkan nama lelaki tersebut di dalam istikharah, itu adalah cara yang lebih tepat. Istikharah bukan bermaksud tiada kecenderungan pada nak atau tak nak, tetapi maksud yang lebih tepat, apabila kita ingin melakukan keputusan, maka kita memohon agar keputusan yang di beri adalah tepat. Dan keputusan itu sendiri adalah kecenderungan. Untuk kes ini, kecenderungan cik adalah memilih lelaki tersebut.

Berkenaan dengan tidak tahu cara bersembang, cik cubalah bersembang perkara asas. Jangan bersembang perkara yang cik sendiri rasakan pelik dan bukan diri cik kerana pastinya ayat yang cik gunakan dan cara cik akan terasa janggal menyebabkan lelaki tersebut mungkin merasa kurang selesa. Perkara yang terbaik adalah cik maklumkan pada lelaki tersebut bahawa cik di perkenalkan oleh kawan cik mengenai lelaki tersebut dan cuba untuk berkenalan kerana ingin menjadikan dia calon suami cik. Tidak perlu malu untuk memulakan bahkan melamar. Sekiranya lelaki tersebut terbuka dan faham, pastinya dia akan menerima soalan cik dengan terbuka.

Bagi masalah keluarga cik, penceraian yang berlaku dalam rumah tangga ibu bapa cik bukanlah bererti mereka membuat salah atau mereka bermasalah. Pastinya ada banyak cerita di sebalik penceraian itu yang kita tidak tahu. Dan janganlah hanya kerana berlaku masalah perkahwinan mereka, cik memilih untuk menutup hati pada perkahwinan. Perkahwinan adalah perkara yang di tuntut dan Rasulullah berbangga akan umatnya yang ramai pada hari akhirat. Akhir kata, kami doakan agar cik bertemu jodoh dan bertemu dengan lelaki yang soleh. Moga Allah permudahkan urusan cik.

Kongsi artikel ini: