Susahnya nak move on!

Susahnya nak move on!

"Sebelum seseorang remaja menemui cinta sejati, dia akan ‘patah hati’ sekurang-kurangnya 10 kali - Pakar Psikologi".

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

 

Ianya seolah-olah sudah menjadi adat dalam perhubungan bahawa tidak semua hubungan akan kekal atau berjaya. Bagi yang bernasib baik, ada kalanya cinta pertama yang dibina kekal hingga ke jinjang pelamin. Lain pula nasibnya bagi mereka yang kurang bernasib baik. Berdasarkan kajian yang dilakukan di negara bukan Islam, England, sebelum seseorang remaja menemui cinta sejati, dia akan ‘patah hati’ sekurang-kurangnya 10 kali - Pakar psikologi. 

Mengalami patah hati memang sangat menyakitkan. Lebih-lebih lagi kalau ianya terjadi berulang kali. Patah hati yang dimaksudkan boleh disebabkan oleh kekacauan dari pihak ketiga atau berpunca daripada si dia sendiri. Hingga akhirnya menyebabkan mereka sendiri fobia untuk bercinta lagi. Sudahnya, mereka cuba belajar melepaskan dan melangkah ke fasa ‘move on’ dari cinta bertepuk sebelah tangan. 

Tidak semua berjaya melupakan yang disayangi apatah lagi ianya melibatkan kenangan dalam masa bertahun-tahun. Disebabkan itulah kami menerima banyak direct message terutama dari gadis-gadis yang mengadu “dirinya susah nak move on”. Mereka seolah-olah sudah penat untuk memulakan hidup baru kerana takut bayangan lama menghantui kembali. Maka dari situlah wujudnya tips untuk mengatasi masalah susahnya nak ‘move on’.

Beri masa pada diri sendiri

Tidak dinafikan melupakan seseorang yang pernah bertakhta di hati bukannya perkara yang mudah namun ianya bukanlah mustahil. Cuba bagi masa pada diri sendiri dan andai kata kamu berjaya meloloskan diri dari masalah ini, apakah kesannya? Sudah pasti hidup kamu akan lebih bahagia. 

Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah misalnya seperti keluar bersenam, membaca buku dan sebagainya. Luangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan misalnya dengan melancong. Ianya sangat digalakkan supaya hati dan perasaan dapat terisi dengan ‘tugasan’. Lantas ia tidak akan melalut pada kisah lalu yang tidak memberi faedah. Cari kawan yang ‘sekepala’ yang boleh membuatmu ketawa.

Jangan sesekali berseorangan kerana ia akan mengingatkan kamu kepada si dia. Jangan bazirkan masa dan perasaan kerana penantian itu memenatkan dan sia-sia. Mulakan hidup baru dan cekal dengan prinsip sendiri. Itu sebaiknya. 

Dekatkan diri pada Allah

Selain pendekatan sosial, kita perlu ingat untuk sentiasa memohon keredaan Allah agar diberi kekuatan dalam menerima takdir yang ditetapkan-Nya. Allah SWT telah memperingatkan kita supaya manusia hanya berserah diri kepada-Nya semata-mata. Berharap kepada manusia belum tentu dibalas dengan kebaikan. Adakalanya kita akan dikecewakan. 

Usah tangisi akan takdir ini kerana setiap orang lain ujiannya. Pernahkah kamu terdengar  kalimah, “La Tahzan, Innallaha Ma’ana” yang membawa maksud ‘Jangan bersedih sesungguhnya Allah bersama kita’?

Kalimah tersebut dapat disimpulkan bahawa Allah SWT tidak menuntut kita untuk bersedih dalam pelbagai masalah kehidupan duniawi. Ini adalah kerana sesungguhnya Allah itu ada untuk kita dan InshaAllah kamu akan lebih tenang dan bersemangat untuk hari-hari yang mendatang. Jangan buruk sangka pada takdir Allah kerana setiap ketentuan-Nya pasti ada hikmah atau dalam erti kata lain, husnudzon kepada takdir Allah.

"Maka sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" Surah Al-Insyirah: 5-6

Luahkan pada orang terdekat

Tidak seharusnya malu untuk meluahkan perasaan kepada mereka yang terdekat dengan kamu, misalnya ibu bapa atau adik-beradik. Mereka adalah darah daging kamu dan pastinya tidak akan membiarkan kamu bersedih. Sekadar pelukan sahaja pun sudah memadai untuk menenangkan kamu daripada terus berduka. Mereka juga sudah menempuh fasa ini dan pastinya tahu bagaimana jalan keluarnya. 

Selain itu, kawan-kawan rapat juga boleh membantu kamu dalam menangani masalah ini. Mereka mungkin boleh menenangkan kamu dengan cara yang berbeza berbanding darah daging kamu sendiri. 

Justeru itu, bagi mereka yang mengalami hal seumpama ini, janganlah terlalu bersedih dan perlahan-lahan cuba untuk ‘move on’. Bak kata Ustaz Zul Pandan, ‘move on’ mengajar seseorang untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi perpisahan yang akan datang. Ianya juga dapat mendidik kamu untuk menjadi lebih matang dalam menerima setiap perpisahan. Prinsipnya mudah, jangan mudah putus asa hanya kerana gagal mempertahankan hubungan. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar