Takut Miskin Selepas Kahwin
Takut Miskin Selepas Kahwin
"Realitinya pada hari ini, golongan muda sekarang takut nak berkahwin kerana khuatir tidak mampu menyara isteri dan anak-anak nanti.."
Perkahwinan menutup pintu-pintu kemaksiatan dan dengan itu, pintu keberkatan dan limpahan rahmat akan terbuka dengan luasnya. Ini kerana mereka yang bernikah itu adalah di kalangan mereka yang telah melaksanakan salah satu sunnah Nabi S.A.W sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Nikah itu sunnahku, barang siapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan golonganku
(HR. Ibnu Majah dan Aisyah R.A)
Realitinya pada hari ini, golongan muda sekarang takut nak berkahwin kerana khuatir tidak mampu menyara isteri dan anak-anak nanti. Lain pula ceritanya bagi kaum wanita, mereka bimbang tidak mampu hidup susah dengan suami kelak. Itu belum lagi termasuk dengan keluarga yang masuk campur urusan perkahwinan anak. Ada ibu bapa yang meletakkan pelbagai syarat kepada calon lelaki sebelum mereka berkahwin dan inilah juga antara punca mereka takut untuk berkahwin.
Persepsi Negatif Tentang Perkahwinan
Anak muda sekarang sering dimomokkan dengan kehidupan selepas kahwin yang mengerikan. Malah dengan teknologi yang semakin maju, kita sering dilaporkan oleh media-media tempatan mengenai isu rumah tangga selebriti yang sedikit sebanyak memberikan gambaran negatif terhadap institusi perkahwinan.
Misalnya baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita perceraian pasangan terkenal yang digemari ramai. Sebelum ini media melaporkan mengenai desas-desus hubungan mereka yang sedang retak namun dakwaan itu disangkal oleh tuan punya badan. Namun siapa sangka semuanya sudah tertulis jodoh mereka setakat itu sahaja.
Malah disebabkan isu ini juga, ramai anak muda yang meninggalkan komen ‘takut untuk berkahwin’ kerana fobia dengan apa yang berlaku. Walhal dalam agama, bernikah itu sesuatu perkara yang digalakkan bagi mengelakkan berlakunya maksiat. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Wahai generasi muda! Bila di antaramu sudah mampu menikah hendaklah ia nikah, kerana mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Suriani Sudi mengatakan, pernikahan itu sendiri sebenarnya kunci untuk membuka pintu rezeki. Dengan menikah, orang akan jadi kaya.
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”
(Surah An Nur Ayat 032)
Berdasarkan firman Allah di atas, Dr Suriani Sudi menjelaskan, setiap daripada umat Islam perlu beriman dengan kalamullah itu seyakinnya. Jadi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sepatutnya tidak takut kemiskinan menjengah setelah mereka berumah tangga nanti. Jika memang Allah S.W.T sudah berjanji demikian, kenapa harus kita meraguinya? Jika memang janji dari Zat yang Maha Benar itu sudah jelas tertulis di dalam al-Quranul karim, mengapa mesti ada ketakutan untuk menikah?
Apa yang sepatutnya mereka lakukan adalah, sediakan ilmu sebaik mungkin sebelum berkahwin dan jadikan ikatan yang terjalin itu sebagai jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Maka dengan itu pintu-pintu rezeki akan terbuka dengan seluas-luasnya. Sepertimana firman-Nya,
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Allah akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka sangka.”
(Surah At-Talaq: 2)
Rezeki Allah Itu Luas
Dr Suriani menjelaskan bahawa rezeki yang dimaksudkan itu luas. Ianya bukan jenis material atau kebendaan semata-mata. Sebaliknya rezeki Allah S.W.T itu merangkumi pelbagai aspek. Miskin harta tapi dikurniakan dengan ikatan kekeluargaan yang penuh kebahagiaan. Malah juga kaya dengan jiwa tenang yang dikecap selepas berumah tangga. Ketenangan itu dapat dicapai melalui perkongsian hidup antara dua insan yang sudah halal. Mereka sudah boleh menyelami hati masing-masing tanpa had dan batasnya.
Rezeki juga boleh datang dalam bentuk ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri serta dikurniakan kesihatan yang baik, keselamatan yang baik dan seumpamanya. Nabi S.A.W pernah menyebut tentang Saidatina Khadijah,
“Aku telah direzekikan cintanya.”
(HR Muslim)
Justeru ia dapat dijelaskan di sini bahawa mendapat jodoh juga merupakan rezeki Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Bayangkan berapa ramai yang di luar sana masih sabar menanti jodoh mereka datang.
Rahsia Rezeki
Hakikatnya antara sebab terbukanya pintu rezeki yang luas selepas berkahwin adalah disebabkan oleh berkurangnya perbuatan maksiat. Jika sebelum berkahwin, banyak perkara yang kita lakukan boleh menghampiri kepada zina kerana ianya terjadi tanpa sedar. Antaranya apabila berjumpa berdua-duaan, saling merindu, saling berhubung sehingga masing-masing leka sekaligus menjadi penghalang untuk doa seseorang itu diangkat dan dimakbulkan Allah S.W.T.
Tambah Dr Suriani lagi, jangan sesekali kita menyoal tentang bagaimana bentuk rezeki yang Allah akan berikan tetapi bersedia dan berusahalah untuk mencari rezeki di samping memohonnya kepada Allah S.W.T.
Malah pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias dalam ceramahnya turut menjelaskan jangan sesekali memberi alasan miskin sehingga takut untuk berkahwin. Tambahnya lagi, usah khuatir tentang rezeki kerana Allah S.W.T sudah menjanjikan kemudahan apabila kita berkahwin nanti. Sesungguhnya rezeki Allah S.W.T itu luas dan Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki.
Kewajipan kita ialah untuk mempercayai dan yakin dengan janji Allah S.W.T. Jangan sampai bisikan-bisikan syaitan menyusup ke dalam hati. Ianya akan dapat mengugat keimanan kita terhadap kebenaran janji Allah S.W.T, termasuk ketika Allah S.W.T. berjanji akan mencukupkan hamba-Nya yang miskin apabila menikah. Tiada yang sulit bagi Allah S.W.T. jika ingin memberikan kurnia kepada hamba-Nya. Sungguh, Allah S.W.T. Maha Pemurah dan pemberi rezeki. Kemudian, terserah kepada kita meyakini atau tidak. Dengan keyakinan itu, hidup kita akan lebih optimis dan selalu memikirkan yang positif.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?